fbpx

Benarkah Dosa Silam Mualaf Akan Terhapus Selepas Dia Memeluk Islam

Kongsi ilmu:

Bagi seorang mualaf, adakah dosa silam mereka sebelum memeluk Islam akan diampunkan setelah memeluk Islam?

Benarkah pandangan yang menyatakan bahawa individu yang baru memeluk Islam adalah seperti bayi yang baru dilahirkan, iaitu suci tanpa dosa?

Allah ampunkan dosa silam mualaf?

Dalam Surah Al-Anfal, ayat ke-38, Allah Taala ada menyebut, yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti daripada kekufurannya, nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi ingkar maka Kami akan menyeksa mereka, kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.”

Menurut Imam Ibn Katsir, istilah ‘berhenti daripada kekufurannya’ membawa maksud orang-orang kafir menghentikan segala perbuatan kekufurannya.

Kemudian, mereka hendaklah memeuk agama Islam dan taat kepada suruhan dan perintah Allah Taala.

Dengan itu, barulah Allah Taala akan mengampunkan segala dosa silam mereka.

Maksud dosa silam ini ialah segala kesalahan dan dosa yang dilakukannya sebelum memeluk agama Islam. 

Hadis Nabi mengenai pengampunan dosa silam sebelum memeluk Islam

dosa silam

Selain daripada bukti Al-Quran, Rasulullah S.A.W juga pernah meriwayatkan beberapa hadis mengenai pengampunan dosa silam seseorang individu sebelum mereka memeluk Islam.

Ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus daripadanya semua keburukan yang pernah dia lakukan. Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; iaitu satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali Allah mengampuninya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah S.A.W juga pernah bersabda kepada Amru bin Al-As R.A, yang bermaksud:

“Apakah kamu tahu bahawa Islam telah menghapuskan dosa sebelumnya? Hijrah boleh menghapus dosa semuanya? dan Haji boleh menghapuskan dosa sebelumnya.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan maksud daripada hadis ini, Imam An-Nawawi pernah berkata, besarnya kedudukan Islam, hijrah dan haji sehingga kesemua amalan ini boleh menghapuskan dosa silam manusia yang dilakukan sebelumnya. 

Mualaf seperti bayi yang baru lahir

dosa silam

Berdasarkan dalil-dalil daripada Al-Quran dan juga hadis nabi tersebut, ia menunjukkan bahawa dosa seseorang individu yang dilakukannya akan diampunkan Allah selepas dia memeluk Islam.

Dia perlulah memeluk Islam daripada segi luaran dan dalaman, iaitu daripada segi fizikal dan juga keikhlasan hatinya.

Setelah itu, segala dosa-dosanya sama ada dosa yang kecil atau dosa yang besar pasti akan diampunkan oleh Allah.

Maka benarlah pendapat bahawa mualaf itu boleh diibaratkan seperti bayi yang baru dilahirkan, suci daripada segala dosa dan perkara yang buruk.

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/4010-al-afkar-82-bagaimana-status-dosa-dengan-makhluk-selepas-memeluk-islam

Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *