fbpx

Apakah Kaitan Memahami Fiqh Awlawiyyat Dengan Keadaan Semasa Golongan Mualaf?

Kongsi ilmu:

Salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk memahami keadaan semasa golongan mualaf ialah melalui fiqh Awlawiyyat.

Apakah maksud fiqh Awlawiyyat?

Apakah kepentingannya untuk saudara baru?

Maksud fiqh Awlawiyyat

Fiqh Awlawiyyat adalah konsep fiqh keutamaan yang memberikan keutamaan kepada sesuatu perkara terlebih dahulu.

Konsep ini telah lama wujud dalam perbincangan fiqh Islam, dan ia diperkenalkan kembali oleh Dr. Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi.

Apabila seseorang itu memahami konsep fiqh Awlawiyyat ini, ia akan mengetahui apakah perkara-perkara yang perlu didahulukan berbanding perkara lain dalam fiqh Al-Hayah.

Dengan itu, perkara yang sepatutnya dilakukan terlebih dahulu tidak dikemudiankan, dan perkara yang kurang penting tidak didahulukan.

Dengan istilah yang lebih mudah, kita meletakkan sesuatu perkara mengikut peringkatnya yang sebenar kerana kepentingannya melebihi perkara lain. 

Pendakwah mesti mengetahui prinsip fiqh Awlawiyyat

Golongan Mualaf

Dalam dunia dakwah, para pendakwah mestilah mengetahui konsep fiqh Awlawiyyat ini.

Ini kerana, para pendakwah mesti mengetahui perkara yang menjadi keutamaan mereka dalam berdakwah.

Antara prinsip dalam fiqh Awlawiyyat yang mesti didahulukan ialah mendahulukan kepentingan agama berbanding kepentingan diri sendiri.

Selain itu, pendakwah perlu mendahulukan perkara-perkara yang wajib berbanding perkara-perkara sunat.

Pendakwah juga perlu memilih darurat yang paling ringan atau sedikit jika terdapat dua darurat yang berlaku.

Dengan erti kata lain, pendakwah mesti mengetahui perkara yang paling penting atau mustahak berbanding perkara yang kurang penting untuk dilaksanakan.

Apakah kepentingan fiqh Awlawiyyat kepada golongan mualaf?

Golongan mualaf adalah mereka yang baru sahaja memeluk Islam.

Selepas memeluk Islam, ada banyak perkara yang perlu diketahui dan dipelajari oleh mereka mengenai ajaran Islam.

Namun, kesemua perkara ini tidak boleh dilakukan dalam satu masa sahaja.

Mereka masih baharu dengan ajaran Islam, maka proses pembelajaran juga perlulah dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Sebagai contoh, apabila pendakwah mengajarkan ibadah solat kepada golongan mualaf, maka pendakwah mesti mengajarkan mereka dengan perkara-perkara yang wajib terlebih dahulu.

Bacaan Surah Al-Fatihah perlu diajarkan kepada mereka berbanding doa Iftitah dan surah-surah lain.

Ini kerana bacaan Surah Al-Fatihah adalah bacaan wajib dalam solat, manakala doa Iftitah dan surah-surah lain adalah sunat sahaja.

Para pendakwah tidak boleh mengajarkan kesemua perkara dalam satu masa kerana golongan mualaf pasti berasa agak sukar untuk mempelajarinya.

Oleh itu, utamakan perkara yang wajib terlebih dahulu berbanding perkara-perkara sunat.

Setelah mereka sudah dapat mempelajari dan mengikutinya dengan baik, barulah diajarkan perkara-perkara sunat yang lain. 

Fiqh Awlawiyyat sebagai strategi dakwah

Golongan Mualaf

Fiqh Awlawiyyat mengajarkan para pendakwah untuk melaksanakan sesuatu perkara secara berperingkat-peringkat.

Dalam situasi berdakwah kepada masyarakat bukan Islam yang cenderung hati mereka kepada Islam, pendakwah perlu bijak untuk melakukan dakwah secara berperingkat-peringkat.

Ini bertujuan agar golongan sasaran tidak berasa terpaksa dan terbuka hati mereka secara perlahan-lahan untuk menerima Islam.

Naluri dan fitrah semula jadi manusia sememangnya amat sukar untuk berubah dalam masa yang singkat.

Apatah lagi untuk menerima ajaran agama yang baharu, pastinya ia akan lebih memakan waktu.

Dengan itu, pendakwah perlu melakukan kerja-kerja dakwah mereka sedikit demi sedikit.

Sebagai contoh, datang menziarahi perkampungan Orang Asli terlebih dahulu dengan kerap.

Menyampaikan bantuan makanan kepada mereka atau membuat kenduri makan di perkampungan mereka.

Setelah daripada itu, barulah diperkenalkan ciri agama Islam itu sedikit demi sedikit.

Cara seperti ini sememangnya memakan masa yang lebih panjang, namun ia adalah lebih berkesan kerana kita memperkenalkan Islam sedikit demi sedikit dalam hati mereka.

Rujukan:

http://spaj.ukm.my/jalhikmah/index.php/jalhikmah/article/view/260/pdf

Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *