fbpx

Adakah Mualaf Wajib Berkhatan Selepas Memeluk Islam? Adakah Keislaman Mereka Tidak Sempurna Jika Tidak Mahu Berkhatan?

Kongsi ilmu:

Adakah mualaf yang baru sahaja memeluk Islam wajib bersunat atau berkhatan? Apakah hukum berkhatan yang sebenar bagi mereka yang baru sahaja memeluk Islam?

Ini penjelasannya.

Salah faham masyarakat mengenai hukum berkhatan

Kebanyakan daripada kita menganggap bahawa keislaman seseorang itu tidak sah jika tidak berkhatan.

Kita menganggap bahawa berkhatan adalah perkara pertama yang mesti dilakukan oleh seseorang individu tersebut setelah dia memeluk Islam.

Akibat daripada tanggapan yang kurang tepat ini, ramai daripada golongan mualaf di luar sana yang menangguhkan hasrat mereka untuk memeluk Islam.

Ada juga yang terus bertanya secara terang-terangan kepada mualaf sekiranya mereka sudah berkhatan atau belum.

Situasi seperti ini menjadikan mualaf berasa gerun dan tidak bersedia untuk memeluk Islam.

Mengapa ramai tersalah anggap mengenai hukum berkhatan ini?

hukum berkhatan

Ada dua faktor yang boleh dilihat mengenai hal ini.

Antaranya ialah pendapat ulama’ yang menyatakan bahawa keislaman seseorang individu itu tidak sempurna sehinggalah dia berkhatan.

Selain itu, ada juga pendapat ulama’ yang menyatakan bahawa ibadah solat orang yang tidak berkhatan tidak akan diterima.

Malah, ada juga yang berpendapat bahawa solat orang lain akan terbatal jika bersentuhan dengan mereka yang tidak berkhatan sewaktu solat.

Jadi, apakah hukum sebenar berkhatan? Adakah mualaf wajib berkhatan setelah memeluk Islam?

hukum berkhatan

Dalam soal hukum berkhatan ini, terdapat beberapa perbezaan pandangan ulama’ mengenainya.

Ada yang mewajibkan amalan berkhatan, tetapi ada juga yang menyatakan bahawa ia tidaklah wajib.

Sebagai contoh, terdapat satu hadis yang bermaksud:

“Amalan berkhatan itu adalah sunat bagi orang lelaki, dan satu kemuliaan bagi orang perempuan.” (Riwayat Ahmad)

Berikut adalah pendapat para ulama’ mengenai hukum berkhatan:

  • Menurut pandangan yang dinyatakan oleh Imam Syafie, wajib hukumnya bagi orang lelaki dan perempuan untuk berkhatan
  • Menurut pandangan Imam Abu Hanifah dan juga Imam Malik, hukum berkhatan adalah sunat bagi orang lelaki dan juga perempuan
  • Ada juga pendapat ulama’ yang menyatakan bahawa hukum bersunat ini adalah wajib ke atas lelaki, tetapi sunat kepada orang perempuan

Disebabkan wujudnya perbezaan pandangan ulama’ mengenai hukum berkhatan, individu mualaf mempunyai pilihan untuk melakukan khatan atau tidak.

Jika mualaf tersebut berkemampuan untuk berkhatan, maka lakukanlah.

Namun, jika tidak mampu atau tidak bersedia lagi untuk melakukannya, maka tangguhkanlah terlebih dahulu sehingga dia bersedia untuk melakukannya.

Imam Hassan Al-Basri ada menyatakan bahawa, individu dewasa yang baru sahaja memeluk Islam diringankan daripada amalan berkhatan. 

Paling penting adalah akidah

Perlu diketahui bahawa keislaman seseorang itu bukan dinilai daripada segi berkhatan atau tidak, tetapi daripada segi akidahnya.

Syarat yang menentukan keislaman dan keimanan seseorang hanyalah dua kalimah syahadah.

Berkhatan bagi mualaf bukanlah satu perkara utama, oleh itu ia boleh ditangguhkan terlebih dahulu agar mualaf ini tertarik untuk memeluk Islam.

Bagi kelompok masyarakat, jangan sesekali menakutkan mereka yang tertarik kepada Islam dengan isu berkhatan.

Jangan sesekali bertanya atau membicarakan hal ini tatkala mereka bertanya proses untuk memeluk Islam.

Tunjukkan mereka perkara yang perlu diutamakan terlebih dahulu iaitu mengucapkan dua kalimah syahadah.  

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1336-al-kafi-419-hukum-berkhatan-bagi-kaum-wanita
https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2017/01/230434/mazhab-shafie-tegas-wajib-ibadah-khatan


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *