fbpx

Hukum Puasa: Adakah Mualaf Perlu Qada’ Puasa Mereka Sebelum Memeluk Islam?

Kongsi ilmu:

Berpuasa menjadi satu amalan yang wajib bagi semua umat Islam. Begitu juga dengan golongan mualaf yang telah memeluk Islam. Namun, adakah sama hukum puasa bagi golongan mualaf dengan individu mukallaf yang sudah lama menganut agama Islam?

Hukum puasa: mualaf boleh berlatih terlebih dahulu

hukum puasa

Seperti yang kita maklum, berpuasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum daripada terbit fajar matahari sehinggalah terbenamnya matahari.

Di Malaysia, tempoh berpuasa ini boleh mencapai antara 12 hingga 13 jam setiap hari, selama 30 hari lamanya.

Tidak dinafikan bahawa amalan berpuasa ini adalah satu amalan yang agak memenatkan. Apatah lagi jika kita terpaksa bekerja seperti biasa ketika berpuasa.

Namun, bagi golongan mualaf yang baru menemui Ramadan buat kali pertama, kewajipannya adalah tidak sama seperti mereka yang sudah lama berada dalam agama Islam.

Ia boleh dikatakan sesuatu yang drastik jika mualaf terpaksa berpuasa penuh dalam keadaan dirinya yang masih belum bersedia sepenuhnya.

Bagi golongan mualaf, mereka dibolehkan untuk berpuasa setakat yang mereka mampu. Golongan mualaf boleh berlatih untuk berpuasa setiap hari, bermula daripada bangun awal pagi untuk bersahur.

Selepas itu, disarankan untuk berpuasa selama beberapa jam pada minggu pertama seperti 6 jam sahaja.

Jika sudah berkemampuan untuk melakukannya, teruskan berpuasa dengan menambah bilangan jam pada minggu berikutnya.

Begitulah seterusnya sehingga mualaf ini dapat membiasakan untuk berpuasa penuh pada Ramadan yang akan datang.

Ini adalah satu bentuk latihan kepada mualaf agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan amalan berpuasa yang tidak pernah mereka lalui sebelum ini. 

Adakah mualaf perlu menggantikan puasa sebelum menjadi seorang Islam?

Kewajipan untuk berpuasa pada bulan Ramadan hanya dilakukan oleh umat Islam sahaja. Mereka yang bukan Islam atau yang belum memeluk Islam tidak diwajibkan dengan ibadah ini.

Setelah mereka menjadi Muslim, barulah kewajipan berpuasa Ramadan ini perlu dilaksanakan.

Begitu juga dengan persoalan sama ada puasa sebelum Muslim perlu diganti atau diqada’ setelah memeluk Islam.

Kewajipan untuk berpuasa Ramadan sebelum memeluk Islam adalah digugurkan dan ia tidak perlu digantikan.

Allah Taala telah berfirman dalam Surah Al-Anfal, ayat ke-38 yang bermaksud:

“Katakanlah wahai Muhammad kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti daripada kekufurannya, nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi ingkar maka Kami akan menyeksa mereka, kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang yang kufur ingkar dahulu kala.”

Selain itu, tiada sebarang dalil yang menunjukkan Rasulullah menyuruh sahabat-sahabatnya untuk menggantikan ibadah puasa selepas mereka memeluk Islam, walaupun pada ketika itu kewajipan berpuasa Ramadan sudah disyariatkan oleh Allah Taala.

Adakah mualaf akan mendapat pahala jika tidak berpuasa penuh?

hukum puasa

Salah satu syarat sahnya puasa seseorang itu ialah berpuasa penuh seperti yang telah ditetapkan. Namun, ada yang bertanya, adakah golongan mualaf akan mendapat pahala jika mereka tidak berpuasa penuh?

Sebenarnya, soal pahala ini hanya boleh ditentukan oleh Allah Taala memandangkan hanya Allah yang mengetahui keadaan diri mualaf yang sebenar.

Daripada segi syarat sahnya, sememangnya puasa seorang mualaf yang tidak penuh itu dianggap sebagai tidak sah.

Namun, Allah pasti akan memberikan ganjaran pahala atas niat dan usahanya untuk berpuasa Ramadan.

Dalam Islam, niat untuk melakukan amal soleh itu lebih diutamakan berbanding hasil amalan tersebut.

Niat menentukan sama ada sesuatu amalan itu mendapat pahala ataupun tidak.

Manusia biasa tidak boleh menjatuhkan hukum puasa bagi seorang mualaf memandangkan hanya Allah sahaja yang layak menilai usaha puasa seseorang individu tersebut. 

Rujukan:

Fiqh Muallaf, Antara Tuntutan Dan Keutamaan. Mohammad Nidzam Abd. Kadir


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *