fbpx

Sebelum Berdakwah Ke Sabah, Ambil Tahu Dahulu Kepercayaan Asal Orang Kadazandusun Ini

Kongsi ilmu:

Kaum Kadazandusun merupakan kaum bumiputera yang terbesar di Negeri Sabah.

Komposisi penduduk berbangsa Kadazandusun ini adalah sebanyak hampir 18% daripada keseluruhan penduduk Sabah.

Dalam dakwah di Sabah, kaum Kadazandusun adalah kaum yang menjadi sasaran paling utama di sana.

Pun begitu, adalah lebih baik untuk mengenali sedikit sebanyak mengenai kepercayaan mereka terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang kerja dakwah.

Sedikit latar belakang kaum Kadazandusun

Kaum ini sebenarnya berasal daripada dua kaum yang utama iaitu Kadazan dan juga Dusun.

Namun, disebabkan wujudnya persamaan daripada segi bahasa dan budaya, maka wujudlah satu nama gabungan bagi tujuan menyatukan kedua-dua kaum ini.

Di bawah kaum Kadazandusun, terdapat pelbagai jenis suku kaum atau sub-etnik lain.

Ini termasuklah etnik Bisaya, Murut, Sungai, Bundu, Lingkabau, Rungus dan 45 etnik lain.

Agama dan kepercayaan kaum Kadazandusun

kaum kadazandusun
© CEphoto, Uwe Aranas

Sebelum hadirnya agama Islam dan agama Kristian ke negeri Sabah, orang Kadazandusun adalah mereka yang mengamalkan kepercayaan animisme atau Pagan.

Namun, pada masa kini, jumlah mereka yang mengamalkan kepercayaan ini sudah semakin berkurangan kerana ramai yang telah memeluk sama ada agama Islam atau Kristian.

Dalam kepercayaan animisme mereka, mereka percaya kepada kewujudan Tuhan bernama Kinorohingan. Kinorohingan ini berkuasa mencipta manusia. Namun, nama Tuhan ini berbeza mengikut suku kaum dan lokasi mereka.

Sebagai contoh, bagi orang Dusun yang tinggal di Tambunan, Tuhan mereka disebut sebagai Minomogun. Isteri kepada Minomogun pula bernama Suminundu.

Bagi orang Dusun Lotud pula, Tuhan mereka ialah Kinorohingan dan isterinya pula ialah Umunsumundu. Mereka percaya bahawa Kinorohingan telah mencipta segala adat istiadat Dusun Lotud pada masa yang sama bumi dan langit diciptakan.

Berbeza pula dengan orang Dusun yang tinggal di Ranau, mereka percaya bahawa Kinorohingan tidak mempunyai sebarang isteri dan tinggal berseorangan.

Orang Dusun di Ranau mempercayai kewujudan dua kuasa baik dan jahat dalam kehidupan manusia. Kuasa baik dinamakan Minomorun manakala kuasa jahat disebut sebagai Rogon.

Kinorohingan dipercayai berkuasa menghalang pengaruh kuasa jahat Rogon dan juga syaitan. 

Peranan Bobolian dalam masyarakat Kadazandusun

Bagi masyarakat Dusun, seorang pawang atau bomoh dikenali sebagai Bobolian. Dalam kalangan orang Kadazan, ia disebut sebagai Bobohizan.

Golongan Bobolian ini biasanya adalah seorang wanita. Bobolian atau Bobohizan ini berperanan sebagai perantara antara masyarakat dengan alam ghaib.

Bobolian akan membantu mereka berkomunikasi antara satu sama lain terutamanya apabila berhadapan dengan krisis yang berlaku terhadap masyarakat.

Selain itu, Bobolian juga berperanan sebagai perawat kerana mereka dipercayai mempunyai kebolehan untuk menyembuhkan penyakit.

Kaedah perubatan tradisional masyarakat Kadazandusun tidak boleh dilaksanakan tanpa penglibatan Bobolian. Ini kerana, ia melibatkan kepercayaan terhadap makhluk halus.

Disebabkan faktor ini juga, orang Kadazandusun sering menjaga hubungan baik mereka dengan alam ghaib seperti mengikuti segala peraturan dan pantang larang yang telah ditetapkan.

Bobolian juga dipercayai mempunyai kuasa sihir yang boleh menyebabkan bencana kepada individu lain. 

Kaum Kadazandusun sangat terbuka

kaum kadazandusun
© CEphoto, Uwe Aranas

Kebanyakan mereka yang masih berpegang kepada kepercayaan animisme ini tinggal di kawasan pedalaman Sabah.

Ramai daripada mereka kini sudah memeluk agama Islam dan juga Kristian. Akan tetapi, data ada menunjukkan bahawa, sebilangan kecil orang Kadazandusun juga memeluk agama selain Islam dan Kristian.

Ada di antara mereka ini yang memeluk agama Buddha dan juga Hindu. Namun, peratusan mereka yang tidak beragama jauh lebih tinggi daripada mereka yang menganut agama Buddha dan Hindu.

Kecenderungan kaum Kadazandusun untuk menganut pelbagai agama menunjukkan bahawa mereka tidak tertutup dan mudah berasimilasi dengan unsur luar daripada budaya mereka.

Mereka dilihat lebih terbuka dalam menerima kepercayaan lain sebagai pedoman hidup mereka.

Sikap mereka yang terbuka ini sebenarnya memberikan peluang yang amat besar kepada para pendakwah Islam untuk mula mendekati mereka. 

Lebih mudah didekati dengan Islam

Kehadiran agama seperti Islam dan juga Kristian telah menyebabkan ramai orang Kadazandusun tidak lagi mengamalkan kepercayaan Pagan.

Mereka kini lebih dikenali sebagai kaum yang berbilang agama.

Namun, kepercayaan mereka terhadap kewujudan Tuhan seperti Kinorohingan menyebabkan Islam lebih mudah diterima.

Ini kerana, secara asasnya mereka mempercayai kewujudan Tuhan dan mengakui bahawa Tuhan yang mencipta manusia. 

Rujukan:

Suraya Sintang, (2003). Penganutan Agama Islam Dan Kristian Di Kalangan Masyarakat Kadazandusun di Sabah.

https://www.academia.edu/41182736/ADAT_DAN_KEPERCAYAAN_ETNIK_KADAZANDUSUN_DI_SABAH

https://www.researchgate.net/publication/272357429_Kepercayaan_dan_Amalan_Masyarakat_Kadazandusun_dalam_Pemeliharaan_Alam_Sekitar


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *