fbpx

Ini Sebab Kenapa Islam Melarang Bukan Muslim Memasuki Kota Mekah

Kongsi ilmu:

Ada sesetengah daripada rakan-rakan kita yang bukan Muslim bertanya, benarkah orang bukan Islam tidak dibenarkan untuk memasuki Kota Mekah? Apakah sebab di sebalik larangan tersebut?

Untuk memastikan anda dapat menjawabnya dengan tepat, kami sediakan sedikit fakta mengenai larangan tersebut di bawah ini.

Larangan daripada ayat Al-Quran dan undang-undang Kerajaan Arab Saudi

kota mekah

Orang bukan Islam sememangnya dilarang untuk memasuki Kota Mekah berdasarkan dalil daripada ayat Al-Quran dan peruntukan undang-undang Kerajaan Arab Saudi Sendiri.

Dalam Al-Quran, larangan ini dinyatakan melalui Surah At-Taubah, ayat ke-28 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Menurut Imam Syafie, ayat tersebut melarang orang bukan Islam daripada memasuki Masjidil Haram sahaja, manakala masjid-masjid lain masih boleh dimasuki oleh mereka. Pandangan Imam Syafie ini juga sama dengan pendapat Ibn Hazm dan juga Imam Nawawi.

Sesetengah ulama berpendapat, ayat tersebut bukan hanya merujuk kepada kawasan atau bangunan Masjidil Haram semata-mata. Ia merujuk kepada keseluruhan tanah haram yang dianggap sebagai sebahagian daripada Masjidil Haram.

Manakala bagi peruntukan undang-undang, Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa mereka yang bukan Islam dilarang sama sekali untuk memasuki kedua-dua tanah haram iaitu Kota Mekah dan juga Madinah.

Jika kita dalam perjalanan menuju ke Kota Mekah, sebelum tibanya di sempadan tanah haram, akan terdapat papan tanda yang mengarahkan orang bukan Islam untuk melalui susur jalan yang lain yang tidak akan melalui kawasan tanah haram. 

Anologi kem tentera sebagai tempat larangan, sama seperti Kota Mekah

kota mekah

Sebagai seorang rakyat Malaysia, kita dibenarkan untuk bergerak ke mana-mana bahagian negara ini dengan bebas. Namun, ada beberapa kawasan yang dilarang sama sekali kepada orang awam untuk dimasuki seperti kem tentera.

Hanya mereka yang berdaftar sebagai pekerja atau askar di kem tentera tersebut sahaja yang dibenarkan masuk. Kem merupakan kawasan istimewa untuk askar dan tidak logik jika kita sebagai orang awam untuk membantah larangan tersebut.

Begitu juga dengan agama Islam, dua tanah haram iaitu Kota Mekah dan Madinah merupakan kawasan istimewa khusus untuk orang Islam sahaja.

Adalah tidak munasabah jika orang bukan Islam membantah larangan tersebut kerana Mekah dan Madinah merupakan kawasan istimewa untuk orang Islam beribadat.

Ini visa yang diperlukan untuk memasuki Kota Mekah dan Madinah

kota mekah

Jika anda berkunjung ke negara-negara asing yang lain, visa negara tersebut adalah satu keperluan sebagai pas keizinan bagi memasuki negara tersebut.

Visa setiap negara itu perlulah dimohon terlebih dahulu dan negara yang mengeluarkan visa terbabit mempunyai peraturan dan keperluan mereka tersendiri yang perlu dipenuhi sebelum visa dikeluarkan.

Sebagai contoh, jika kita ingin memasuki Singapura, borang imigresen mereka akan menyatakan hukuman mati bagi mereka yang mengedarkan dadah.

Oleh itu, sebelum kita memohon visa mereka, kita perlu memastikan bahawa kita mematuhi segala syarat, peraturan dan larangan Negara Singapura.

Kita tidak boleh mempertikaikan hukuman yang dikenakan mereka dengan mengatakan hukuman mati tersebut sebagai kejam atau zalim. Visa hanya akan dikeluarkan kepada kita jika kita bersetuju dengan semua syarat-syarat mereka.

Untuk visa bagi memasuki Kota Mekah dan Madinah ialah, dengan mengucap kalimah syahadah dan mengakui segala apa yang terkandung dalam ucapan syahadah tersebut.

Kemudian, barulah individu tersebut boleh memasuki dua tanah haram ini.

Rujukan:


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *