fbpx

Profesor Maurice BUKTIKAN Kebenaran Kisah Firaun Tenggelam Di Laut Merah Dalam Al-Quran!

Kongsi ilmu:

Dalam Al-Quran Al-Karim, ada diceritakan berkenaan kisah Laut Merah terbelah dua pada zaman Nabi Musa A.S. Kisah ini adalah antara kisah terkenal daripada Al-Quran sejak daripada kecil. 

Dalam Al-Quran, kisah ini dirakamkan dalam Surah Yunus dan kisah bagaimana Firaun tenggelam dalam Laut Merah ini diceritakan secara lebih jelas daripada ayat ke-90 hingga ayat ke-92. Berikut adalah terjemahan ayat tersebut:

“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia pada saat yang genting itu: “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri iaitu menurut perintah; (Allah berfirman): “Adakah sekarang baru engkau beriman, padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?; Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau wahai Firaun terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu supaya mereka mengambil pengajaran. Dan ingatlah sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada memerhati dan memikirkan tanda-tanda kekuasaan Kami!”

Firaun ingkar dakwah Nabi Musa

Nabi Musa A.S telah diutuskan oleh Allah Taala untuk berdakwah kepada Firaun, Haman (menteri Firaun) dan juga kaumnya agar mengesakan Allah. Selain itu juga, Nabi Musa diutuskan bagi menyelamatkan Bani Israel daripada kekejaman dan siksaan oleh Firaun. 

Ada yang mengatakan, Firaun yang dihadapi oleh Nabi Musa semasa proses dakwahnya ini adalah Ramses II, yang merupakan Firaun ketiga daripada dinasti ke-19 firaun Mesir. Firaun ini mendakwa Nabi Musa adalah seorang penyihir dan menolak seruan dakwah tersebut secara mentah-mentah. 

Firaun ini juga tidak mahu memberikan kebebasan kepada Bani Israel yang dijadikan sebagai buruh dan dilayan dengan kejam. Selain itu juga, Firaun juga pernah mengarahkan Haman, iaitu menterinya untuk membina satu menara tinggi agar dia dapat menaiki menara tersebut dan berjumpa dengan Tuhan. 

Tindakan ini seolah-olah menghina atau merendah-rendahkan seruan Nabi Musa untuk mengesakan Allah.

Firaun tenggelam dalam Laut Merah yang terbelah

laut merah terbelah

Disebabkan keengganan Firaun menerima dakwah selain kekejamannya terhadap Bani Israel, Allah mengarahkan Nabi Musa untuk meninggalkan bumi Mesir pada pada waktu malam. 

Namun pada masa yang sama, Firaun dan pasukan tenteranya telah mengejar kumpulan Nabi Musa yang melarikan diri ini. Pada ketika Nabi Musa dan kumpulannya telah tiba di tepi Laut Merah, Allah telah memudahkan perjalanan mereka dengan menjadikan Laut Merah terbelah dua untuk dilalui kumpulan tersebut. 

Ada pendapat yang mengatakan air Laut Merah terbelah seperti dua dinding air, namun ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Nabi Musa menyeberang Laut Merah tersebut pada ketika airnya surut.

Pada ketika Nabi Musa dan kumpulannya telah selamat menyeberang Laut Merah, pasukan Firaun baru sahaja tiba dan cuba menyeberang lautan tersebut. Malangnya, dengan kuasa Allah air laut tersebut telah bercantum kembali dan menenggelamkan Firaun beserta pasukan tenteranya. Pendapat lain ada menyebut, Firaun tenggelam kerana air laut kembali berada dalam keadaan pasang dan menenggelamkan mereka yang cuba menyeberangnya. 

Pada ketika inilah, Firaun berasa menyesal dan mengakui keesaan Allah. Semuanya sudah terlambat dan penyesalan Firaun tersebut tidak diterima oleh Allah. Firaun mati di Laut Merah tetapi jasadnya dipelihara sebagai pengajaran kepada orang dan generasi yang lain.

Kisah Firaun lambang kebesaran Al-Quran

laut merah terbelah

Pada tahun 1898, iaitu kira-kira 122 tahun dahulu, mayat Ramses II telah ditemui dalam eksplorasi arkeologi di Lembah Raja (Valley of the Kings) yang terletak di Mesir. Namun, kisah berkenaan tenggelamnya Firaun ini telah lama dirakamkan dalam Al-Quran iaitu kira-kira 1400 tahun sebelum mayatnya dijumpai. 

Hal ini telah menimbulkan sedikit persoalan kepada Profesor Maurice Bucaille, salah seorang penyelidik yang terlibat dalam kajian keatas mumia Ramses II ini. Beliau berfikir bagaimana Al-Quran telah mengetahui berkenaan kisah Firaun ini lebih awal sebelum manusia menjumpai mayatnya pada tahun 1898.

Ini menunjukkan bahawa Al-Quran telah menukilkan dengan lebih awal berkenaan sejarah yang tidak lagi diketahui manusia pada ketika itu. 

Pada tahun 1974, Profesor Maurice Bucaille telah bekerjasama dengan penyelidik di Mesir untuk mengkaji berkenaan punca kematian beberapa mumia mesir, termasuklah mumia Ramses II. 

Hasil kajian beliau mendapati, terdapat sisa garam laut pada tubuh mumia Ramses II tersebut dan menjadi bukti bahawa Ramses II telah mati di laut. Berkemungkinan mayatnya dikeluarkan daripada laut dan segera dimumiakan untuk mengelakkan kerosakan pada jasad tersebut setelah tenggelam di dalam air.

Kajian oleh Profesor Maurice ini menguatkan lagi hujah bahawa Al-Quran tersebut adalah kalam Tuhan dan bukan dicipta oleh manusia. Garam yang ditemui pada tubuh Firaun tersebut membuktikan bahawa ia telah ditenggelamkan di laut. 

Mayatnya juga terpelihara sehingga hari ini dan tidak dihanyutkan air laut kerana telah disebutkan oleh Allah agar ia menjadi pengajaran untuk generasi akan datang. 

Rujukan:

Al-Quran Al-Karim

http://www.surah.my/10#90

https://muslimwriters.org/2011/02/25/understanding-the-splitting-of-the-sea/

https://www.thesciencefaith.com/ramses-ii-the-egyptian-pharaoh-during-the-time-of-the-prophet-moses-pbuh/

https://www.miraclesofthequran.com/historical_02.html

http://www.bucaillelegacy.com/Maurice%20Bucaille.html

https://www.nationalgeographic.com/culture/people/reference/ramses-ii/


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *