Katakanlah anda dijemput untuk menghadiri satu majlis yang diadakan di rumah ibadat agama lain.
Adakah anda akan hadir ke sana atau berasa ragu-ragu berkenaan hukum sebenar hadir ke tempat ibadat bukan Islam?
Bolehkah orang Islam memasuki rumah ibadat agama lain?
Ini hukum sebenar yang anda mesti tahu.
Ada beberapa pandangan ulama’ berkenaan hukum masuk ke rumah ibadat bukan Islam
Mengenai hukum hadir atau memasuki tempat ibadat bukan Islam, ada beberapa pandangan ulama’ mengenainya.
Ada yang mengatakan hukumnya harus, namun ada juga yang menyatakan hukumnya adalah makruh dan juga haram.
Haram memasuki tempat ibadat bukan Islam

Di sisi Mazhab Syafie, umat Islam diharamkan untuk memasuki tempat ibadat bukan Islam jika mempunyai unsur-unsur seperti patung atau berhala di dalamnya.
Pendapat Mazhab Hanafi pula adalah lebih mutlak, iaitu haram memasuki tempat ibadat bukan Islam walaupun tempat ibadat itu tidak mempunyai patung-patung sembahan mereka.
Antara tokoh ulama’ lain yang berpandangan seperti ini termasuklah Imam Ibn Hajar Al-Haitami.
Makruh memasuki tempat ibadat bukan Islam
Mazhab Hanbali menyatakan hukum makruh bagi umat Islam untuk memasuki tempat ibadat bukan Islam jika tidak mengandungi sebarang patung atau berhala.
Ibn Nujaim pula menyatakan hukumnya adalah maruh tahrimi iaitu makruh yang hampir kepada hukum haram.
Harus memasuki rumah ibadat bukan Islam

Mazhab Syafie membenarkan umat Islam untuk memasuki tempat ibadat bukan Islam jika tidak terdapat patung sembahan di dalamnya.
Namun, ia mestilah mendapat kebenaran pemiliknya terlebih dahulu.
Beberapa ulama’ lain seperti Ibnu Qudamah Al-Maqdisi, Al-Mawardi dan Hasan Al-Basri juga berpendapat dengan hukum harus untuk memasuki rumah ibadat bukan Islam.
Adakah sah solat yang dilakukan di dalam tempat ibadat bukan Islam?
Solat yang dilakukan di dalam tempat ibadat bukan Islam adalah sah.
Ini kerana, perbuatan solat di lokasi ini tidak melanggar syarat sah atau rukum solat.
Namun, hukum perbuatan melakukan solat itu merujuk kembali kepada hukum orang Islam memasuki rumah ibadat bukan Islam.
Ibn Abbas R.A dan juga Imam Malik menyatakan hukum makruh untuk melakukan solat di tempat ibadat bukan Islam.
Kesimpulan
Berkenaan dengan hukum memasuki tempat ibadat bukan Islam, ia mempunyai beberapa pandangan ulama’ dan mazhab.
Kesemua pandangan ini juga mempunyai dalil dan hujah mereka yang tersendiri.
Ada yang menyatakan hukum harus, makruh dan juga haram.
Namun begitu, sebagai seorang Islam, adalah lebih baik kita mengelakkan diri daripada hadir ke tempat ibadat bukan Islam tanpa keperluan yang mendesak.
Jika ada keperluan untuk menghadirinya, maka dibolehkan untuk memasukinya berdasarkan kepada pandangan yang membenarkannya.
Berkenaan solat di rumah ibadat bukan Islam pula, adalah lebh baik untuk mengelakkannya juga.
Ini bagi mengelakkan diri kita daripada menimbulkan fitnah yang boleh mencemarkan nama baik Islam.
Rujukan:
- https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2647-irsyad-fatwa-248-hukum-memasuki-rumah-ibadat-agama-lain-dan-menghadiri-majlis-perkahwinan-orang-kristian-di-gereja
- https://www.sinarharian.com.my/article/34766/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Hukum-tunai-solat-memasuki-rumah-ibadat-lain