fbpx

Kisah Baju Besi Saidina Ali Contoh Sikap Adil Kepada Bukan Islam

Kongsi ilmu:

Salah satu perkara atau sifat yang amat penting dalam kehidupan bermasyarakat ialah sifat adil.

Apatah lagi, jika kita menetap dalam persekitaran yang wujud dengan pelbagai budaya dan juga agama.

Bagaimana Islam menekankan sifat adil dalam kehidupan bermasyarakat?

Maksud sifat adil

sifat adil

Adil bermaksud seimbang. Dengan kata lain, ia bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya atau tempat yang sepatutnya.

Sifat lawan bagi adil ialah zalim. Jika sifat adil ini diabaikan, maka zalimlah gantinya.

Dalam kehidupan bermasyarakat, konsep atau sifat adil ini bermaksud memberikan hak kepada seseorang berdasarkan kebenaran.

Walaupun berbeza agama dan bangsa, kita tidak boleh membeza-bezakan antara satu sama lain kerana ia dianggap sebagai menzalimi pihak lain.

Dalam Surah Al-Maidah, ayat ke-8 ada menyebut berkenaan sifat keadilan. Mafhumnya: 

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Allah telah menyuruh kita untuk sentiasa berlaku adil kepada semua pihak.

Kita juga dilarang bersifat berat sebelah sehingga menzalimi pihak lain hanya disebabkan kebencian kita kepada mereka.

Allah menerangkan bahawa sifat adil dalam diri manusia ini adalah satu sifat yang begitu hampir dengan sifat takwa. 

Ambil pengajaran kisah baju besi milik Saidina Ali

sifat adil

Kisah ini amat terkenal sebagai pengajaran mengenai keadilan dalam Islam.

Pada suatu hari, Saidina Ali kehilangan baju besi miliknya.

Dia kemudiannya menyedari bahawa baju besi tersebut berada bersama seorang lelaki bukan Islam.

Saidina Ali ingin mendapatkan kembali baju besi miliknya dengan membawa kes tersebut ke muka pengadilan.

Seorang Qadi bernama Qadi Syurayh menjadi hakim bagi kes tersebut.

Qadi Syurayh bertanya mengenai baju besi tersebut kepada lelaki bukan Islam itu.

Lelaki tersebut menyatakan bahawa baju besi tersebut adalah miliknya dan Saidina Ali dituduh berbohong.

Saidina Ali pula ditanya sekiranya dia mempunyai sebarang bukti bahawa baju besi tersebut adalah miliknya.

Namun, Saidina Ali tidak dapat mengemukakan bukti melain hanya saksi yang terdiri daripada hamba dan anaknya.

Qadi menerima persaksian hambanya, tetapi menolah persaksian anaknya untuk mengelakkan sifat berat sebelah.

Setelah itu, Qadi membuat keputusan bahawa baju besi tersebut adalah milik lelaki tersebut.

Setelah selesai kes tersebut, lelaki tersebut keluar daripada mahkamah, namun kembali semula untuk berjumpa Saidina Ali.

Lelaki tersebut sebenarnya telah tertawan dengan keadilan dalam Islam yang memenangkannya dalam kes tersebut walaupun dia tahu baju besi tersebut sebenarnya adalah milik Saidina Ali.

Beliau melihat hakim tidak menyebelahi Saidina Ali walaupun hakim itu sendiri dilantik olehnya.

Selepas itu, lelaki itu terus mengucapkan syahadah dan memeluk Islam disebabkan kejadian itu. 

Kisah ini jelas menggambarkan bagaimana Islam memelihara keadilan bagi setiap manusia walaupun berlainan agama.

Keadilan perlu ditegakkan tanpa mengira bangsa dan agama seseorang individu tersebut. 

Rujukan:


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *