fbpx

Untuk Nafikan Keaslian Al-Quran, Ada Yang Kata Ia Dikarang Syaitan! Ini Jawapan Menangkisnya

Kongsi ilmu:

Ada juga sesetengah dakwaan melampau yang mengatakan bahawa syaitan sebagai pihak yang menulis dan mengarang Al-Quran. Dakwaan melampau ini hanyalah bertujuan untuk menafikan bahawa Al-Quran itu datangnya daripada Allah.

Disebabkan kehebatan isi kandungan Al-Quran, adalah amat mustahil jika ia dikarang manusia sehinggakan sanggup menyatakan bahawa syaitan yang mengarangnya.

Bagaimana untuk berhadapan dengan dakwaan ini?

Hanya mereka yang suci boleh menyentuh Al-Quran

syaitan

Dalam Surah Al-Waqiah, ayat 77 hingga 79, Allah ada menyatakan satu hal yang menarik. Mafhumnya: 

“Bahawa sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu) itu ialah Al-Quran yang mulia, (yang sentiasa memberi ajaran dan pimpinan), Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

Syaitan adalah makhluk yang keji dan sangat jahat. Ia bukanlah daripada golongan makhluk yang disukai Allah Taala. Sifat semula jadi syaitan juga menyukai perkara-perkara yang kotor dan keji.

Tempat tinggal syaitan juga di tempat-tempat yang kotor seperti pasar, tandas atau bilik mandi. Boleh dikatakan kehidupan syaitan ini bergelumang dengan segala perkara yang tidak elok.

Daripada maksud ayat Surah Al-Waqiah itu, Allah ada menerangkan bahawa Al-Quran tidak boleh disentuh oleh makhluk-makhluk yang kotor. Jika benarlah syaitan yang menulis Al-Quran, adakah logik jika syaitan melarang dirinya sendiri daripada menyentuh Al-Quran?

Syaitan itu sendiri tidak berkemampuan untuk menyentuh Al-Quran, apatah lagi untuk menulisnya. Ini kerana Al-Quran adalah sesuatu yang suci dan tetap dipelihara daripada makhluk-makhluk yang tidak suci dan bersih. 

Syaitan itu sendiri adalah musuh

syaitan

Dalam Al-Quran itu sendiri ada menyatakan bahawa syaitan itu adalah musuh bagi ummat manusia.

Dalam Surah Faathir, ayat ke-6, Allah ada menyebut dengan maksud seperti berikut:

“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh yang mesti dijauhi tipu dayanya; sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi sebahagian daripada penduduk neraka.”

Al-Quran dengan jelas menyatakan bahawa syaitan itu adalah musuh dan mestilah dijauhi dalam apa jua perkara sekalipun. Syaitan juga ingin mengajak manusia berbuat kejahatan untuk sama-sama dimasuki ke dalam neraka.

Jika benarlah Al-Quran itu ditulis oleh syaitan, tidak mungkin syaitan akan menulis hal sedemikian. Tambahan, syaitan tidak akan mengajak orang lain berbuat kebaikan kerana matlamat utama syaitan adalah untuk mengajak orang masuk ke dalam neraka melalui kejahatan yang mereka lakukan. 

Seruan berlindung daripada syaitan

syaitan

Selain itu, ada juga ayat Al-Quran yang menegaskan mengenai seruan untuk berlindung daripada ganguan syaitan. Hal ini ada dijelaskan dalam ayat-98, Surah An-Nahl yang bermaksud:

“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.”

Jelas sekali, Al-Quran menyatakan, jika seseorang daripada kita ingin membaca Al-Quran, hendaklah memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan.

Jika benarlah dakwaan syaitan yang menulis Al-Quran, pernyataan ini ternyata bercanggah dan sangat tidak masuk akal. Syaitan tidak akan sesekali menyuruh manusia untuk meminta perlindungan daripada hasutannya jika ingin membaca Al-Quran.

Syaitan ingin mendekati dan menghasut manusia, bukannya menjauhkan diri daripada mereka. 

Sangat tidak logik jika syaitan menulis Al-Quran

Ayat-ayat Al-Quran seperti yang dinyatakan di atas ini jelas menunjukkan percanggahan jika benarlah syaitan yang menulis Al-Quran.

Ayat-ayat Al-Quran hanya menyatakan bahawa syaitan itu makhluk yang keji, jahat, dan perlu dijauhi dan meminta pertolongan agar dilindungi daripada hasutannya.

Tiada ayat Al-Quran yang memuji syaitan atau menceritakan keperibadian mulia syaitan supaya diikuti oleh manusia. Jelas sekali, syaitan bukanlah pengarang Al-Quran seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *