Pada kebiasaannya, kita mengetahui siapakah yang layak menjadi wali bagi seseorang wanita Muslim yang ingin bernikah. Namun, adakah kita mengetahui siapakah wali nikah bagi wanita mualaf?
Adakah bapanya yang bukan Muslim layak menjadi wali?
Siapakah yang layak menjadi wali nikah?

Wali merupakan salah satu daripada rukun nikah.
Ini bermakna, tanpa wali, maka sesebuah pernikahan itu idak dapat dijalankan dengan sah di sisi Islam.
Untuk melayakkan seseorang itu menjadi wali juga mempunyai syarat-syaratnya.
Syarat sah untuk menjadi wali nikah ialah seperti berikut:
- Seorang yang Islam
- Baligh
- Orang yang berakal. Orang yang kurang siuman atau jahil tidak layak menjadi wali.
- Mestilah seorang lelaki. Orang perempuan tidak layak menjadi wali
- Seorang yang adil
- Seorang yang merdeka
Sudah jelas dalam syarat-syarat ini menyatakan, seseorang yang layak menjadi wali nikah mestilah seorang Muslim.
Dengan itu, mereka yang bukan Muslim tidak layak menjadi wali nikah anak atau saudara perempuannya yang Muslim.
Bagaimana dengan wanita mualaf yang ingin bernikah? Siapakah yang boleh menjadi walinya?

Daripada segi hukum, jika seseorang wanita mualaf itu ingin bernikah, tetapi bapanya masih lagi belum Muslim, maka bapanya tidak layak menjadi seorang wali.
Oleh itu, individu yang layak menjadi wali bagi wanita mualaf ialah saudara lelaki yang paling dekat hubungannya dengan wanita itu, dan mestilah seorang Muslim.
Berikut adalah susunan individu yang layak menjadi wali bagi wanita yang ingin bernikah:
- Bapa kandung
- Datuk sebelah bapa ke atas
- Saudara lelaki seibu-sebapa
- Saudara lelaki sebapa
- Anak saudara lelaki seibu-sebapa
- Anak saudara lelaki sebapa
- Bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa
- Bapa saudara sebelah bapa sebapa
- Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu-sebapa ke bawah
- Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
- Bapa saudara seibu-sebapa
- Bapa saudara bapa sebapa
- Anak lelaki bapa saudara seibu-sebapa
- Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
- Bapa saudara datuk seibu-sebapa
- Bapa saudara datuk sebapa
- Anak lelaki bapa saudara datuk seibu-sebapa ke bawah
- Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
- Muktiq (tuan kepada hamba perempuan yang dibebaskan).
Jika tiada seorang pun individu daripada senarai di atas yang layak menjadi wali atas sebab bukan beragama Islam, maka pemerintah boleh menjadi wali bagi wanita mualaf.
Wakil pihak pemerintah di sini boleh dirujuk sebagai pihak berkuasa agama di sesuatu kawasan tersebut.
Wali ini disebut sebagai wali hakim.
Minta izin bapa bagi menjaga adab dan hubungan
Walaupun seorang bapa yang bukan Islam tidak layak menjadi wali nikah, tidak bermakna kewujudannya boleh dihiraukan begitu sahaja.
Islam adalah agama yang amat mementingkan akhlak sesama manusia.
Biarpun seorang bapa itu tidak boleh menjadi wali, seeloknya untuk wanita mualaf itu meminta izin bapanya untuk bernikah.
Menyatakan hasrat untuk bernikah dengan baik kepada bapa ini adalah sebagai lambang kita menghormatinya sebagai seorang bapa.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://www.instun.gov.my/index.php/ms/docman/pangkalan-ilmu-1/artikel-1/tanah-3/273-bidang-kuasa-wali-dalam-pernikahan-1/file