Sembelihan Dalam Islam Tidak Kejam Berbanding Kaedah Matikan Haiwan Di Negara Barat

Ajaran Islam tidak terlepas dengan pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak yang membencinya. Ini termasuklah dengan kaedah atau amalan sembelih binatang dalam Islam.

Ada sebilangan individu yang mengatakan kaedah sembelihan yang diamalkan dalam Islam bersifat kejam dan menyakitkan binatang. Bagaimana untuk menjawab persoalan ini?

Sembelih binatang dalam ajaran Islam

sembelih binatang

Dalam Islam, kita tidak boleh menyembelih haiwan sesuka hati kita. Ada beberapa peraturan yang mesti dilakukan untuk memastikan sembelihan itu diterima.

Syarat sah sembelihan adalah seperti berikut:

  • Alat sembelihan mestilah berada dalam keadaan yang tajam tidak kiralah anda menggunakan pisau, parang atau kapak. Tujuan penggunaan alat sembelihan yang tajam adalah untuk mempercepatkan sembelihan agar haiwan tersebut mati dengan serta merta.
  • Saluran pernafasan, kerongkong dan saluran darah haiwan tersebut mestilah dikerat. 
  • Darah perlu dikeluarkan sepenuhnya sebelum kepala haiwan tersebut dibuang. Pengeluaran darah ini bertujuan mengelakkan haiwan daripada mudah dijangkiti bakteria. 

Ini sebab sembelih binatang perlu dilakukan

sembelih binatang

Antara tujuan sembelihan ini dilakukan adalah supaya haiwan tersebut mati dengan cepat tanpa menyiksanya.

Jika menggunakan kaedah selain sembelihan seperti menghempas kepalanya, atau mengetuk kepalanya dengan batu, haiwan tersebut belum tentu akan mati dengan segera, bahkan mungkin akan menyakitinya sebelum ia menemui ajalnya. Hal ini pasti akan menyakitkan haiwan.

Dalam Islam, kita digalakkan berbuat ihsan bukan sahaja terhadap manusia, tetapi juga terhadap makhluk lain walaupun binatang tersebut akan dijadikan sumber makanan.

Selain itu, tujuan sembelihan adalah untuk mengeluarkan segala darah daripada tubuhnya. Ini kerana darah boleh menjadi medium untuk pembiakan kuman dan bakteria.

Dengan menyembelih, darah haiwan yang mungkin mengandungi bakteria, kuman atau juga toksin dapat dikeluarkan daripada daging haiwan tersebut sebelum dimasak dan dimakan.

Ini menjadikan haiwan tersebut lebih bersih keadaannya.

Sembelih binatang jadikan daging lebih segar

Apabila darah dikeluarkan daripada tubuh binatang yang disembelih, daging haiwan tersebut akan menjadi lebih segar dan bertahan lama.

Ini kerana kehadiran darah boleh menjadi satu medium untuk mikroorganisme membiak dengan aktif. Kewujudan banyak nutrien dalam darah akan menjadi sumber makanan bagi mikroroganisme yang membiak pada haiwan tersebut.

Apabila banyak bakteria dan kuman berada dalam daging haiwan, daging haiwan tersebut akan mudah menjadi rosak atau tidak bertahan lama. 

Haiwan tidak berasa sakit ketika disembelih

sembelih binatang

Apabila sembelihan dilakukan secara pantas, keratan pada leher binatang tersebut akan menghentikan aliran darah ke saraf otak yang boleh menyebabkan kesakitan.

Dengan itu, haiwan tidak akan berasa sakit apabila disembelih. Haiwan yang meronta, menggeliat atau menggelupur selepas disembelih bukanlah disebabkan ia berasa sakit.

Tetapi ototnya sedang mengalami pengenduran dan penegangan akibat kekurangan darah setelah darah mula keluar meninggalkan tubuhnya. 

Kesimpulan

Jelas sekali, kaedah sembelih binatang yang diamalkan dalam agama Islam amat menitik beratkan soal kebajikan haiwan itu sendiri.

Kaedah Islam juga jauh lebih baik dan terhormat berbanding kaedah lain yang digunakan untuk mematikan haiwan seperti tembakan pada kepala atau penggunaan air berarus elektrik yang banyak diamalkan di negara-negara Barat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *