Apakah hukum jika seseorang mualaf itu tidak berpuasa penuh? Adakah dia akan tetap mendapat pahala puasa atau berdosa jika tidak melakukan ibadah puasa dengan lengkap?
Syarat mendapat pahala daripada ibadah puasa
Untuk mendapat pahala ibadat puasa, seseorang itu perlulah melakukan puasa penuh.
Ini bermakna, seseorang itu perlulah berpuasa daripada terbit fajar sehingga terbenamnya matahari.
Namun, bagi golongan mualaf, pasti ada kelonggaran untuk mereka menunaikan ibadat puasa.
Adakah mualaf mendapat pahala jika tidak berpuasa penuh?

Golongan mualaf atau mereka yang baru sahaja memeluk Islam diberikan kelonggaran untuk melakukan ibadah puasa mengikut kemampuan mereka.
Mereka boleh sahaja mencuba untuk berpuasa separuh hari atau suku hari sebagi latihan untuk ibadat puasa pada tahun akan datang.
Bagi golongan individu yang sudah sedia menjadi Muslim sejak sekian lama, mereka tidak akan mendapat pahala jika tidak berpuasa kerana mereka sudah biasa berpuasa dan tidak mempunyai kesukaran untuk melakukannya.
Malah, mereka berdosa jika meninggalkan ibadah puasa tanpa sebab yang kukuh.
Berlainan pula bagi golongan mualaf, jika puasa mereka dilakukan setengah hari, puasa mereka sememangnya tidak sah.
Namun, ada ganjaran pahala untuk mereka atas usaha mereka berpuasa.
Mereka tidak berdosa jika tidak berpuasa penuh atas faktor kesukaran yang mereka alami.
Konsep ini sama denga usaha seseorang individu tersebut yang berusaha membaca Al-Quran.
Nabi Muhammad pernah bersabda yang bermaksud:
“Orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan dia gagap atau tidak pandai membacanya, maka dia mendapat dua pahala iaitu pahala membacanya dan pahala berusaha.”
Hadis ini menunjukkan bagaiman seseorang itu mendapat pahala atas sebab usahanya mempelajari Al-Quran.
Begitu juga dengan mualaf yang baru belajar berpuasa.
Puasanya mungkin tidak sah, namun, usahanya berpuasa itu tetap akan mendapat pahala walaupun tidak berpuasa penuh sekadar kemampuannya sahaja.
Niat dan usaha lebih dinilai berbanding hasil

Allah menilai amalan yang manusia lakukan itu berdasarkan niatnya.
Jika niatnya ikhlas, maka dia akan mendapat ganjaran sesuai dengan niatnya itu.
Allah juga melihat bagaimana seseorang itu berusaha sedaya upayanya untuk melakukan ibadah kepada Allah walaupun ia mungkin tidak sempurna.
Oleh sebab itu, katakanlah kepada golongan mualaf bahawa setiap apa yang mereka kerjakan kerana Allah, ia akan tetap diberikan pahala walaupun ia tidak sesempurna ibadat orang lain yang telah lama berada dalam agama Islam.
Allah menilai niat dan usaha melebihi hasil daripada amalan tersebut.
Bagi orang Islam yang lain pula, jangan sesekali memandang rendah atau memperkecilkan tindakan mualaf jika mereka tidak mampu berpuasa penuh.
Perkara seperti ini hanya akan merendahkan motivasi mereka untuk terus mengamalkan ajaran Islam.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/4472-irsyad-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-162-hukum-berpuasa-dan-qada-bagi-mereka-yang-memeluk-islam-pada-siang-ramadhan