Adakah seorang bapa yang baru memeluk Islam terlepas daripada membayar nafkah anak hasil daripada perkahwinan terdahulu?
Ini penerangan ringkasnya.
Nafkah anak satu kewajipan
Nafkah anak merupakan satu kewajipan bagi seorang bapa. Ia adalah tanggungjawab dan bukannya satu pilihan.
Malah, Allah Taala telah menerangkan mengenai kewajipan nafkah anak ini dalam Al-Quran.
Daripada Surah Al-Baqarah, ayat ke-233 ada menyebut, yang bermaksud:
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya iaitu suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan yang telah dicapai oleh mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.”
Nafkah yang perlu diberikan oleh seorang lelaki bukan hanya kepada anaknya, tetapi juga kepada isterinya.
Adakah bapa mualaf tidak perlu membayar nafkah anak yang beragama lain?
Bagi seorang bapa mualaf yang mempunyai anak hasil perkahwinan terdahulu, tanggungjawab membayar nafkah tetap sama.
Jika si ibu mempunyai hak penjagaan anak terhadap anaknya, si bapa tetap perlu membayar nafkah untuk anaknya walaupun berbeza agama.
Perceraian atau perbezaan agama tidak melepaskan seseorang bapa daripada menunaikan tanggungjawabnya.
Ada yang mengambil kesempatan untuk tidak membayar keperluan sara hidup anak setelah memeluk Islam kerana berasa bahawa ia bukan lagi kewajipan.
Tanggapan ini ternyata salah dan ia bukanlah satu tindakan yang baik.
Seorang bapa perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada keluarganya dengan membayar nafkah anak dan tidak mengabaikan tanggungjawabnya.
Cara seperti ini juga merupakan salah satu kaedah dakwah kerana ia menunjukkan bahawa Islam tetap menyuruh berbuat baik kepada golongan bukan Islam.
Apatah lagi, jika ia adalah darah aging kita sendiri kerana perbezaan agama tidak pernah memutuskan tali dan hubungan kekeluargaan.
Nafkah yang tidak dibayar dikira hutang
Ingatlah, membayar sara hidup anak adalah satu kewajipan.
Jika seorang bapa menggunakan alasan berbeza agama untuk tidak membayar nafkah, ia tetap dikira sebagai hutang.
Nafkah anak atau nafkah kepada isteri yang tidak dibayar akan dikira sebagai hutang.
Janganlah berkira dengan anak kita sendiri kerana kita juga tidak mahu melihat anak-anak kita hidup melarat tanpa bantuan daripada kita sebagai seorang bapa.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://www.sinarharian.com.my/article/52722/LIFESTYLE/Sinar-Islam/Patuhi-perintah-bayar-nafkah-ia-dianggap-hutang-jika-ingkar