Golongan mualaf pastinya mempunyai kesukaran untuk membaca Al-Quran dengan baik. Adakalanya huruf yang disebut tidak bersama dengan sebutan yang tepat atau betul. Namun, kita memahami keadaan semasa mereka yang masih mencari rentak mempelajari Al-Quran. Adakah golongan mualaf perlu membaca Al-Quran dengan tajwid atau boleh dibaca tanpa tajwid?
Tajwid, satu keutamaan atau tidak?

Bukan sahaja golongan mualaf, tapi ada juga individu yang sedia Muslim tidak membaca Al-Quran kerana risau bacaan Al-Quran dengan tajwid, tidak dibaca dengan tajwid.
Mereka berasa malu jika ada orang lain yang mendengarnya membaca Al-Quran tidak mengikut tajwid yang betul.
Sebenarnya, tajwid bukanlah satu keutamaan utama.
Apa yang menjadi keutamaan ialah belajar membaca Al-Quran sedikit demi sedikit walaupun mengambil masa yang panjang.
Bagi golongan mualaf, adalah agak mustahil untuk mereka belajar membaca Al-Quran bersekali dengan hukum tajwidnya.
Ini kerana, mereka masih lagi memerlukan masa untuk mengenali huruf, cara sebutan serta baris huruf yang betul.
Inikan pula untuk mempelajari hukum tajwid yang lebih rumit dan panjang lebar huraiannya.
Sedangkan ramai individu Muslim sendiri tidak mengetahui hukum tajwid yang betul, apatah lagi bagi golongan mualaf.
Pahala berganda untuk mereka yang berusaha mempelajari Al-Quran dengan tajwid
Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud;
“Orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan dia sudah mahir dengannya, maka dia akan bersama dengan para malaikat yang mulia dan taat pada hari akhirat kelak. Dan orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan dia gagap dan mengulangi bacaannya serta mempelajari Al-Quran itu berat baginya, maka dua pahala untuknya.”
Disini kita dapat lihat, bahawa mereka yang berada dalam proses atau fasa belajar membaca Al-Quran akan mendapat dua pahala.
Satu pahala kerana membaca Al-Quran, dan satu pahala lagi atas usahanya membaca Al-Quran.
Jelas sekali Allah menilai usaha seseorang hambanya berbanding melihat hasil yang dicapainya.
Belajar Al-Quran dengan tajwid mengikut kemampuan

Belajar membaca Al-Quran memerlukan satu proses yang agak panjang.
Apatah lagi Al-Quran itu dibaca dalam bahasa Arab yang mungkin sangat asing bagi golongan mualaf.
Bagi mualaf, anda tidak perlu risau mengenai bacaan Al-Quran dengan tajwid.
Belajar membaca Al-Quran terlebih dahulu.
Kemudian, jika berkesempatan atau sudah dapat membacanya dengan baik, belajarlah pula hukum tajwid.
Jika masih tidak mampu untuk mempelajari hukum tajwid atau memerlukan masa yang lebih panjang, maka ia tidak mengapa.
Belajarlah mengikut kemampuan diri sendiri kerana kemampuan setiap individu adalah berbeza.
Sesungguhnya, setiap usaha anda mempelajari Al-Quran akan dinilai dan diberikan ganjaran oleh Allah.
Semakin sukar untuk anda mempelajarinya, maka semakin besar ganjarannya untuk anda.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd