Dalam sistem pengurusan harta orang Islam, terdapat satu kaedah yang telah disyariatkan iaitu kaedah hibah. Namun, adakah orang bukan Islam boleh menerima pemberian hibah harta milik orang Islam?
Ini penjelasannya.
Maksud hibah
Hibah adalah pemberian satu hak milik daripada seorang individu kepada individu yang lain tanpa sebarang balasan semasa hidupnya.
Dalam kata yang lebih mudah, konsep pemberian harta ini berlaku semasa tuan pemilik harta masih lagi hidup.
Hibah adalah satu kaedah yang telah disyariatkan dalam Islam.
Allah Taala telah berfirman dalam Surah-An-Nisa’, ayat keempat yang bermaksud:
“Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”
Syarat pemberi dan penerima hibah

Bagi memberi hibah, seorang pemilik harta mestilah memiliki syarat-syarat seperti berikut:
- Pemilik kepada harta yang ingin dihibahkan
- Mempunyai kelayakan untuk memberi hibah
- Berkuasa penuh untuk menggunakan hartanya
Manakala bagi penerima hibah, berikut adalah syarat-syaratnya:
- Seorang yang layak menerima hibah. Bagi penerima daripada kalangan kanak-kanak atau orang kurang upaya, boleh dilantik penjaga atau pemegang amanah bagi menjaga harta yang diterima mereka
- Penerima hibah wujud ketika hibah dilakukan
- Penerima hibah boleh menguasai harta yang dihibahkan kepadanya
Bolehkah orang bukan Islam menerima pemberian hibah?

Pemberian hibah bukanlah seperti konsep sedekah.
Dalam konsep sedekah, sedekah diberikan dengan tujuan untuk mendapatkan pahala.
Namun, dalam pemberian hibah, ia lebih kepada pemberian kerana tujuan kasih sayang.
Pemilik harta berhak untuk menghibahkan hartanya kepada sesiapan sahaja yang dia mahu.
Harta yang ingin dihibahkan juga tidak mempunyai had batasan.
Jika pemilik harta mahu menghibahkan keseluruhan hartanya, maka ia dibenarkan dalam Islam.
Bagi seorang mualaf, pastinya ada dalam kalangan ahli keluarga yang masih belum memeluk Islam.
Hibah boleh digunakan sebagai salah satu cara untuk memberikan hak milik harta kepada mereka selain daripada kaedah wasiat.
Ini kerana, hibah boleh diberikan semasa pemberinya masih hidup.
Jika pemilik harta sudah meninggal dunia, hartanya akan diuruskan mengikut hukum hakam faraid dan waris yang bukan Islam tidak berhak untuk mewarisi harta pusaka orang Islam.
Kesimpulan
Secara umumnya, orang bukan Islam seperti waris kepada golongan mualaf berhak menerima hibah yang dihibahkan kepadanya.
Bagi golongan mualaf, anda boleh menggunakan kaedah sebagai salah satu kaedah memberikan harta kepada waris sebelum anda meninggal dunia.
Namun, seeloknya, janganlah dihibahkan keseluruhan harta anda.
Ini kerana, masih ada waris lain yang boleh menerima harta menerusi faraid.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://www.mais.gov.my/hibah/
- https://wasiat.com.my/beza-hibah-dan-wasiat/