“Saya ingin memeluk Islam. Namun, saya mempunyai tatu di badan saya. Adakah saya wajib membuang tatu terlebih dahulu sebelum mula memeluk Islam?”
Definisi tatu
Tatu ialah satu perbuatan mencacah kulit pada tubuh dengan cara mencampurkan darah yang keluar dengan dakwat.
Tujuannya adalah untuk membentuk atau melukis corak tertentu yang bersifat kekal pada permukaan kulit.
Ia dianggap sebagai satu hiasan dan perbuatan membuat tatu ini adalah haram di sisi agama Islam.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda, yang bermaksud:
“Daripada Ibnu Umar R.A, sesungguhnya Rasulullah S.A.W bersabda “ Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan rambutnya, perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu.” (Riwayat al-Bukhari)
Bolehkah memeluk Islam jika masih mempunyai tatu?

Boleh dan tiada masalah.
Syarat sah untuk memeluk Islam tidak terhalang dengan kewujudan tatu.
Seseorang individu tersebut dianggap sah keislamannya walaupun tatu masih berada pada kulitnya.
Bagi golongan mualaf, apabila dia telah memeluk Islam, segala dosa yang dilakukan sewaktu sebelum Islam akan terhapus dan diampunkan oleh Allah.
Oleh itu, kewujudan tatu pada badan bukanlah satu masalah besar untuk memeluk Islam.
Perlukah golongan mualaf membuang tatu pada badan?
Bagi mereka yang telah mempunyai tatu sebelum memeluk Islam, mereka perulah berusaha untuk membuangkan tatu tersebut setelah memeluk Islam.
Mereka boleh berikhtiar dengan menggunakan beberapa kaedah atau teknologi yang selamat untuk menyingkirkan tatu tersebut.
Namun, sekiranya kaedah tersebut boleh menyebabkan kemudaratan kepada dirinya, maka tatu tersebut tidak perlu dibuang dan ia dimaafkan.
Antara kemudaratan yang mungkin boleh berlaku akibat proses membuang tatu ialah seperti menyebabkan luka pada kulit, menyebabkan kulit menjadi terbakar atau prosesnya yang sangat menyakitkan.
Ini kerana Islam mengelakkan sebarang perkara yang boleh menyakiti atau berbahaya kepaa manusia.
Bagi mereka yang sudah meninggal dunia tetapi masih mempunyai tatu pada badan, tatu tersebut tidak wajib untuk dibuang kerana ia akan menyakitkan jenazah tersebut.
Mereka yang bertatu tetapi sudah bertaubat, maka tidak perlulah membuang tatu tersebut jika proses amat menyakitkan.
Ibadah-ibadah seperti solat masih boleh dilakukan dan dikira sah dan diterima, namun mereka perlulah bertaubat dengan sebaiknya.
Tidak perlu memandang rendah orang yang bertatu

Bagi orang-orang Islam yang lain, tidak perlu memandang rendah mereka yang masih mempunyai tatu walaupun dirinyaseorang Islam.
Boleh jadi mereka yang masih mempunyai tatu ini sudah bertaubat dan tidak dapat membuang tatu pada badannya.
Boleh jadi juga bahawa mereka adalah golongan yang baru memeluk Islam, dan tidak dapat membuangnya.
Jika kita tidak pasti mengenai situasi atau keadaan seseorang individu, maka tidak perlulah memandang rendah atau berpandangan buruk kepada mereka.
Apatah lagi mengatakan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah.
Bersangka baik adalah lebih baik bagi seorang Muslim.
Rujukan:
- https://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/194-hukum-bertatu-mengikut-pandangan-islam
- http://mufti.pahang.gov.my/index.php/perkhidmatan/bahagian-fatwa/keputusan-fatwa/26-keputusan-fatwa-2009/95-hukum-bertatu-mengikut-pandangan-islam
- https://saudara.org/2020/01/10/tatu-dari-sisi-pandangan-islam/