Secara umumnya, kesemua agama di dunia ini mengajarkan penganutnya untuk melakukan kebaikan. Tiada agama yang menggalakkan penganutnya melakukan kejahatan. Namun, mengapa manusia mesti memilih ajaran Islam sebagai pegangan hidup mereka?
Tidak bolehkah jika seseorang itu menganut agama lain selain Islam?
Wujud perbezaan antara ajaran Islam dan ajaran agama lain

Tidak dinafikan, semua agama yang wujud di dunia ini menganjurkan penganutnya untuk berbuat baik dan menghindari perkara yang buruk.
Namun, ajaran Islam lebih daripada sekadar ajakan berbuat baik.
Agama Islam juga sebenarnya mengajar dan membimbing penganutnya ke arah cara yang praktikal bagi mencapai tujuan-tujuan tersebut.
Setiap cara yang ingin dilakukan itu, diberikan tunjuk ajar yang lengkap untuk melaksanakannya kerana mengambil kira fitrah dan kerumitan masyarakat manusia.
Ini cara Islam menghapuskan perbuatan merompak
Sebagai contoh, Islam turut mengharamkan penganutnya daripada merompak, tetapi dalam masa yang sama mengajarkan cara bagaimana untuk menghapuskan perbuatan keji tersebut.
Apakah yang Islam anjurkan bagi menghapuskan perbuatan ini? Islam menunjukkan satu cara yang praktikal bagaimana untuk membina satu struktur sosial yang menghindari perbuatan merompak.
Sistem tersebut adalah sistem zakat. Zakat boleh diibaratkan sebagai sumbangan wajib atau cukai tahunan bagi orang Islam.
Orang Islam yang mempunyai lebihan daripada wang simpanan mereka mengikut ketetapan nisbah tertentu, perlu mengeluarkan sebanyak 2.5% daripada simpanan mereka untuk tujuan zakat.
Apabila semua orang menunaikan tanggungjawab zakat mereka, isu-isu kemiskinan dapat dikurangkan dan dibasmi.
Hukuman bagi mereka yang masih merompak
Jika ada manusia yang masih melanggar larangan merompak, Allah telah menyediakan balasan dan hukuman yang setimpal untuk mereka.
Dalam Surah Al-Maidah, ayat 38, ia bermaksud:
“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka hukumnya potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, juga sebagai suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Apabila jenayah rompakan ini berlaku, Allah tidak membezakan hukuman bagi pesalah tersebut sama ada dia adalah seorang lelaki mahupun perempuan.
Kedua-dua jantina akan menerima hukuman yang sama iaitu hukuman dipotong tangan mereka.
Hukuman potong tangan ini adalah sebagai satu balasan atas apa yang telah mereka lakukan.
Selain itu, hukuman ini juga bertindak sebagai pencegah kepada individu tersebut daripada mengulangi kesalahan yang sama.
Ia juga memberikan pengajaran kepada orang lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama, seterusnya mencegahnya daripada terus berlaku.
Kemaslahatan akan tercapai melalui pelaksanaan syariat Islam

Amerika Syarikat dikenali sebagai negara yang maju dan terkehadapan dalam pelbagai aspek.
Namun, negara ini juga turut mencatatkan kadar jenayah yang tinggi seperti rompakan dan pembunuhan.
Cuba kita bayangkan jika syariat Islam ini dilaksanakan di Amerika Syarikat.
Setiap warganegara Amerika Syarikat perlu mengeluarkan zakat dan setiap perompak pula dihukum potong tangan apabila sabit kesalahan mereka.
Anda rasa, adakah kadar rompakan ini akan semakin meningkat atau menurun? Secara logiknya, pastilah ia akan berkurangan.
Hukuman yang berat seperti potong tangan akan menggerunkan individu yang berniat untuk melakukannya.
Ajaran Islam ternyata inklusif, menyeluruh
Islam bukan hanya mengajar berbuat kebaikan, tetapi mengatur sesuatu kaedah atau cara bagaimana untuk mencapai sesebuah tujuan kebaikan tersebut.
Selain itu, ajaran Islam juga bersedia dengan langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang kesalahan dan masalah yang sama daripada berulang.
Kesemua faktor ini menjadikan ajaran Islam itu sebagai satu ajaran yang inklusif atau menyeluruh dalam aspek kesejahteraan hidup manusia.
Maka terbuktilah bahawa ajaran Islam itu adalah ajaran yang terbaik dan bersifat syumul berbanding ajaran-ajaran lain.