Wajibkah Golongan Mualaf Belajar Membaca Al-Quran?

Golongan mualaf diibaratkan sebagai seorang anak kecil yang baru berpeluang mempelajari ajaran Islam. Kemampuan mereka untuk belajar semua perkara dalam satu masa semestinya terbatas. Begitu juga dengan mempelajari bacaan Al-Quran. Bagi golongan mualaf, adakah mereka diwajibkan untuk belajar membaca Al-Quran?

Kesukaran mualaf belajar membaca Al-Quran

Kita sememangnya memahami keadaan semasa golongan mualaf yang mungkin mengambil banyak masa untuk mempelajari sesuatu.

Ini termasuklah kemampuan mereka untuk mempelajari Al-Quran.

Ia seolah-olah satu perkara yang sangat berlainan untuk dipelajari.

Berbanding Muslim yang telah beragama Islam sejak dilahirkan, mereka baru mengenali Al-Quran pada usia yang sudah lanjut.

Mereka tidak berpeluang mengenali dan mendalami Al-Quran sejak kecil berbanding mereka yang sedia Muslim.

Sudah tentu agak sukar untuk mereka menghafal huruf-huruf dalam Al-Quran, menyebutnya satu-persatu, apatah lagi membaca ayat Al-Quran dalam bahasa Arab.

Sepertimana keadaan kita belajar membaca Al-Quran semasa kecil, semua individu mengambil sedikit masa untuk mempelajarinya. 

Realiti semasa masyarakat berkenaan mualaf

Tidak dinafikan, ada dalam kalangan kita yang sering memandang rendah kepada golongan mualaf berkenaan kemampuan mereka membaca Al-Quran.

Mereka berpendapat, apabila telah memeluk Islam, golongan mualaf mestilah tahu bagaimana untuk membaca Al-Quran dengan betul.

Namun, mereka tidak sedar bahawa masih ramai lagi di luar sana yang tidak tahu atau terkial-kial membaca Al-Quran walaupun dilahirkan sebagai seorang Islam.

Oleh itu, jika gologan mualaf tidak tahu membaca Al-Quran, ia bukanlah satu perkara yang besar kerana kita memahami keadaan mereka yang baru memeluk Islam.

Malah, ada juga yang mencadangkan kepada golongan non-Muslim yang berhasrat memeluk Islam agar belajar Al-Quran terlebih dahulu sebelum memeluk Islam.

Adakah golongan mualaf wajib belajar membaca Al-Quran?

Perlu diketahui, bahawa belajar membaca Al-Quran bukanlah satu kewajipan utama.

Perkara yang perlu diutamakan dan didahulukan ialah pemantapan akidah Islam.

Jika mualaf belum berkesempatan untuk mempelajari Al-Quran, ia tidak mengapa.

Jika mualaf perlu mengambil masa yang lebih lama untuk mempelajari Al-Quran, ia juga bukanlah satu perkara yang perlu dirisaukan.

Islam tidak pernah menetapkan tempoh tertentu untuk golongan mualaf belajar membaca Al-Quran.

Jika perlu mengambil masa sehingga bertahun-tahun sekalipun, ia juga bukanlah satu masalah. 

Belajar Surah Al-Fatihah terlebih dahulu

Jika golongan mualaf mahu atau sudah mula belajar membaca Al-Quran, belajar dan hafal Surah Al-Fatihah terlebih dahulu.

Ini kerana, Surah Al-Fatihah adalah bacaan wajib dalam solat dan merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat.

Surah-surah lain boleh dipelajari kemudian kerana surah-surah lain tidak diwajibkan untuk dibaca dalam solat.

Surah Al-Fatihah adalah surah yang mesti menjadi keutamaan bagi golongan mualaf ketika hendak belajar membaca Al-Quran.

Kesimpulan 

Golongan mualaf disarankan untuk mempelajari Al-Quran walaupun perlu mengambil masa atau mempelajarinya secara perlahan-lahan.

Apa yang dilihat oleh Allah itu adalah usaha anda, bukannya hasilnya.

Allah akan menilai setiap usaha anda untuk mempelajari Al-Quran walaupun mungkin tidak sempat menghabiskannya kerana faktor usia.

Rujukan: 

  • Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *