Mungkin kita biasa melihat mualaf menukarkan nama bapa atau keluarga mereka kepada Bin Abdullah.
Persoalannya di sini, adakah Bin Abdullah ini adalah satu kewajipan atau satu pilihan bagi mualaf?
Terdapat dua keadaan penambahan lafaz Bin Abdullah
Dalam kalangan mualaf, terdapat dua keadaan di mana lafaz Abdullah ini ditambah kepada nama mereka.
Pertama, lafaz ‘Abdullah’ ditambah kepada nama asal mereka. Sebagai contoh, Abdullah Chan.
Kedua, lafaz ‘Abdullah’ menggantikan nama bapa atau nama keluarga asalnya.
Dengan kata yang lebih tepat, namanya dibinkan kepada Abdullah dan menghapuskan nama keluarga atau nama bapa yang asal.
Sebagai contoh, Muhammad Yap Bin Abdullah.
Wajibkah mualaf menukarkan nama bapa atau keluarga kepada Bin Abdullah?

Bagi pertambahan kalimah Abdullah sebagai sebahagian daripada nama asal, ia adalah diharuskan.
Ini kerana ia melambangkan bahawa dirinya sudah menganut agama Islam.
Orang Islam terutamanya akan lebih mudah mengenalinya sebagai seorang Muslim kerana terdapat kalimah Abdullah pada namanya.
Namun, adakah mualaf juga wajib menukarkan nama keluarga atau bapa kepada Bin Abdullah? Jawapan sebenarnya adalah tidak.
Walaupun ia menjadi satu amalan yang sering dibuat oleh golongan mualaf, tidak bermakna ia adalah perkara yang wajib dilakukan.
Islam tidak pernah menyuruh atau mewajibkan golongan mualaf untuk menukarkan nama keluarga atau bapa kepada Bin Abdullah.
Jika mana-mana individu yang baru memeluk Islam ingin mengekalkan nama asal mereka beserta nama keluarga, ia dibolehkan dan bukanlah menjadi satu masalah.
Cuma dipastikan bahawa nama mereka sendiri tidak mempunyai unsur-unsur kekufuran seperti nama berhala atau nama Tuhan sebelum mereka memeluk Islam.
Sahabat Nabi juga tidak pernah menukar nama mereka
Dalam Sirah Rasulullah, para sahabat beliau juga tidak pernah menukarkan nama bapa mereka setelah mereka memeluk Islam.
Sebagai contoh, Saidina Umar Bin Al-Khattab, Saidina Ali Bin Abi Talib, Saidina Bilal Bin Rabah dan lain-lain lagi.
Malah, Ikrimah Bin Abu Jahal juga tetap mengekalkan nama bapanya walaupun bapanya sendiri adalah antara individu yang kuat menentang dakwah Islam di Mekah.
Kekalkan nama asal untuk memelihara nasab keturunan

Sebenarnya, penukaran nama bapa atau keluarga kepada Bin Abdullah boleh memberikan kesan atau implikasi yang kurang baik kepada nasab keturunan kelak.
Dikhuatiri jika amalan ini dilakukan, maka ia menjadi sebahagian daripada maksud hadis Nabi seperti di bawah ini:
“Barangsiapa yang mengaku anak dari selain ayahnya, sedangkan dia tahu bahawa yang diakuinya itu bukan ayahnya, maka haram baginya syurga.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud).
Selain itu, amalan menukar nama kepada Bin Abdullah ini seolah-olah tidak mengiktiraf bapa kandungnya sendiri.
Kesimpulan
Bukanlah menjadi satu kesalahan jika seseorang itu mahu berbinkan Abdullah dengan tujuan mengelakkan salah faham dalam masyarakat.
Namun, ia juga bukanlah satu kewajipan bagi mualaf untuk menukarkan nama bapa atau keluarga kepada Bin Abdullah.
Adalah lebih baik untuk mengekalkan nama asal bagi mualaf selagi mana nama tersebut tidak bertentangan dengan akidah Islam.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3953-al-kafi-1509-hukum-menukar-nama-bagi-mualaf-setelah-memeluk-islam
- https://muis.org.my/2014/05/ukum-menukar-nama-dan-berbinkan-kepada-abdullah-kepada-mereka-yang-baru-masuk-islam/