Ini Sebab Mengapa Islam Berikan Zakat Kepada Mualaf

Golongan mualaf adalah antara kelompok yang layak menerima bantuan zakat. Namun, pernahkah anda terfikir, mengapa mualaf dimasukkan sebagai antara golongan penerima zakat? Apakah ciri mualaf yang dibenarkan menerima zakat?

Mualaf salah satu golongan penerima zakat yang disebut dalam Al-Quran

Dalam Al-Quran, terdapat lapan golongan yang diberikan keistimewaan untuk menerima zakat.

Dalam Surah At-Taubah, ayat ke-60, Allah ada memperincikan lapan golongan tersebut:

“Sesungguhnya, zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir yang dalam perjalanan. Ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datangnya dari Allah. Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Siapakah golongan mualaf yang sebenar?

golongan penerima zakat

Para ulama’ ada menerangkan mengenai beberapa kelompok golongan mualaf.

Mualaf boleh dibahagikan kepada tiga kelompok utama iaitu;

  • Individu yang diharapkan kelembutan dan kecenderungan hatinya untuk memeluk Islam
  • Individu yang ditakuti kejahatannya
  • Individu yang baru sahaja memeluk Islam

Daripada ketiga-tiga kelompok tersebut, kelompok yang paling berhak dan diutamakan untuk menerima zakat ialah mereka yang baru sahaja memeluk Islam.

Malah, ulama’ juga menyatakan bahawa golongan mualaf ini berhak menerima zakat walaupun mereka telah kaya. 

Mengapa mualaf berhak menerima zakat dan tergolong dalam golongan penerima zakat?

Kebanyakan mualaf yang baru sahaja memeluk Islam akan mengalami kesusahan hidup pada peringkat awal.

Banyak perkara yang tidak disangka oleh mereka akan berlaku. Sebagi contoh, keluarga mereka mungkin akan menyisihkan mereka.

Begitu juga dengan rakan-rakan lain kerana keputusannya meninggalkan agama yang sebelum ini dianutinya.

Dalam keadaan ini, pastinya dia tidak mempunyai sokongan di sekelilingnya yang boleh membantu dalam aspek fizikal dan juga mental.

Oleh itu, dengan bantuan zakat, ia sedikit sebanyak boleh membantu diri mereka daripada segi kewangan dan juga sokongan moral.

Bantuan zakat ini akan menunjukkan kepada golongan mualaf bahawa saudara seagama tidak akan meninggalkan mereka walaupun mereka bukanlah sebangsa.

Bantuan zakat juga memberikan kekuatan dan motivasi kepada mualaf untuk mempelajari Islam dengan lebih mendalam.

Ia secara tidak langsung akan menguatkan keimanan golongan mualaf kepada agama Islam.

Selain itu, bantuan zakat kepada golongan mualaf juga adalah salah satu bentuk medium dakwah.

Apabila golongan mualaf ini sudah mampu berdikari kesan bantuan zakat, maka dia secara tidak langsung akan menerangkan kebaikan Islam yang pernah dilaluinya kepada golongan bukan Muslim yang lain.

Apatah lagi kepada mereka yang masih ragu-ragu untuk memeluk Islam kerana bimbang kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Golongan mualaf ini akan menerangkan kepada golongan yang cenderung kepada Islam ini agar tidak bimbang mengenai sumber kewangan.

Ini kerana Islam pastinya akan membantu mereka menjalani kehidupan selepas memeluk Islam. 

Jangan cemuh, tetapi bantu mereka dapatkan bantuan zakat

golongan penerima zakat

Jika ada dalam kalangan kita yang mengetahui keadaan mualaf yang sedang dalam kesusahan, bawalah mereka ke pusat-pusat zakat berdekatan atau mana-mana pejabat Majlis Agama Islam Negeri.

Sememangnya ada peruntukan khas zakat untuk golongan mualaf memulakan kehidupan mereka kembali bersama Islam.

Jangan sesekali mencemuh atau menyindir golongan mualaf yang ingin mendapatkan bantuan zakat.

Ia sememangnya hak mereka yang telah dijamin oleh Allah Taala kepada mereka walaupun mereka kaya.

Adalah lebih baik jika jika membantu mereka berbanding hanya mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *