Jika salah seorang daripada ibu atau bapa memeluk agama lain, hak penjagaan anak jatuh kepada siapa?
Berikut adalah penerangan ajaran Islam mengenai hak penjagaan anak kecil.
Hadanah: hak penjagaan anak
Hadanah bermaksud penjagaan anak ketika mereka masih kecil.
Anak kecil adalah bayi atau kanak-kanak yang masih menyusu atau masih belum mumaiyiz.
Dengan istilah yang lebih mudah, anak kecil ialah kanak-kanak yang tidak mengetahui apa yang dilakukannya itu dan memerlukan perhatian dan pengawasan orang yang lebih dewasa.
Siapakah yang lebih berhak mendapat hak penjagaan anak?
Dalam Islam, hak hadanah ini biasanya diberikan kepada ibunya.
Keutamaan diberikan kepada si ibu kerana untuk menjaga kesejahteraan anak tersebut.
Sebagai contoh, bagi seorang kanak-kanak yang masih menyusu badan, pastinya dia lebih memerlukan seorang ibu berbanding bapanya.
Selain itu, sifat seorang ibu adalah lebih lembut, penyayang dan sebagainya.
Para ulama’ juga telah bersepakat bahawa sifat yang dimiliki oleh seorang ibu tersebut menjadi syarat asas hak penjagaan anak kepadanya.
Selain ibu, waris perempuan yang lain bagi kanak-kanak tersebut juga lebih diutamakan berbanding waris lelaki.
Antaranya nenek dan juga ibu saudara kepada kanak-kanak tersebut.
Namun, sekiranya kanak-kanak tersebut telah pun mumaiyiz, maka dia diberi pilihan sendiri untuk bersama sama ada bersama ibu atau bapanya.
Kemaslahatan kanak-kanak tetap menjadi keutamaan
Namun, dalam apa jua keputusan yang ingin diambil, ia mestilah mengambil kira kemaslahatan kanak-kanak terbabit.
Dalam susunan keperluan seorang kanak-kanak, kaedah fiqh Islam telah memberikan panduan mengikut keutamaan iaitu:
- Keperluan asas (dharuriyyat)
- Keperluan (hajiyyat)
- Kemudahan atau kesenangan (tahsiniyyat)
Dalam keperluan asas atau dharuriyyat, terdapat lima perkara yang perlu diutamakan.
Perkara-perkara tersebut ialah agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta.
Dalam Islam, semestinya agama Islam menjadi syarat keutamaan dalam penentuan hak penjagaan anak.
Dalam syarat penjagaan anak, penjaga kepada kanak-kanak tersebut mestilah seorang yang beragama Islam bagi tujuan memelihara agama kanak-kanak tersebut.
Mazhab Syafie dan juga Hanbali menetapkan syarat ini sebagai antara syarat utama hadanah.
Namun, bagi Mazhab Maliki dan Hanafi, seseorang penjaga tidaklah semestinya seorang Muslim.
Isu perebutan hak penjagaan anak
Dalam isu di mana salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, sering terjadi isu penjagaan anak.
Malah ia kerap menjadi isu hangat yang menarik perhatian seluruh rakyat di negara ini.
Bayangkan satu situasi di mana bapanya memeluk Islam, manakala ibunya masih berada dalam agama asalnya.
Daripada segi kelayakan penjaga, sudah tentunya bapanya lebih layak kerana bapanya seorang Muslim.
Namun, ibunya yang bukan Muslim masih mempunyai hak kerana dia adalah seorang ibu yang mengandungkan anaknya.
Ada kes di mana bapa yang Muslim bertindak merampas hak pengasuhan anak daripada ibunya dengan cara paksaan atau tidak wajar.
Prinsip hak penjagaan anak yang perlu diikuti
Secara kesimpulannya, terdapat beberapa prinsip atau panduan yang boleh diikuti dalam isu hak penjagaan anak.
Prinsip-prinsip tersebut ialah:
- Anak kecil atau bayi yang masih menyusu badan perlulah dijaga oleh ibunya walaupun ibunya bukan seorang Muslim. Namun, minuman dan makanan kanak-kanak tersebut perlulah dijaga rapi dengan mengelakkan makanan yang haram.
- Bagi kanak-kanak yang sudah mumaiyiz, mereka diberikan pilihan untuk bersama ibu atau bapanya.
- Kanak-kanak juga diberikan peluang untuk belajar agama Islam dan agama selain Islam. Namun, sebolehnya kanak-kanak tersebut dididik dengan pendidikan Islam dengan sebaiknya apabila telah mumaiyiz.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- http://www.esyariah.gov.my/Misc/htdocs/faqbm/FaqDisplayByGroupBM.jsp?FaqGroupId=253#topfocus