“Kenapa Islam Lebihkan Lelaki Dalam Pembahagian Harta Pusaka? Kenapa Tidak Sama Rata Sahaja?”

Dalam Islam, kita mempunyai sistem pembahagian harta warisan atau harta peninggalan si mati yang tersendiri. Ia disebut sebagai faraid.

Namun, ada juga rakan bukan Muslim di luar sana yang bertanya, mengapa Islam memberikan lebih banyak harta peninggalan kepada orang lelaki berbanding wanita?

Bukankah ia tanda Islam itu tidak adil?

Pembahagian harta peninggalan sudah dicatat dalam Al-Quran

Uniknya Islam, peraturan pembahagian harata juga sudah ditetapkan dalam Al-Quran.

Dalam Surah An-Nisa’, ayat ke-12 ada menyebut dengan maksud:

“Allah perintahkan kamu mengenai pembahagian harta pusaka untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang adik-beradik, maka bahagian ibunya ialah satu perenam. Pembahagian itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Daripada terjemahan ayat ini, dapat dilihat bagaimana telitinya Allah Taala membuat pembahagian dalam kalangan waris si mati.

Ini menunjukkan bahawa Islam sebagai ajaran yang mempunyai sistem yang lengkap untuk kesejahteraan penganutnya. 

Memang benar, wanita mendapat sebahagian daripada pembahagian untuk orang lelaki

harta peninggalan

Secara umumnya, dalam kebanyakan kes pembahagian harta peninggalan, seseorang wanita itu mendapat setengah sahaja daripada bahagian harta yang diperoleh orang lelaki.

Kita boleh melihat kepada contoh yang diberikan seperti berikut:

  • Anak perempuan akan mewarisi setengah daripada apa yang diwarisi oleh anak lelaki si mati
  • Isteri si mati pula akan mewarisi ¼, dan suami akan mewarisi ½ jika si mati tidak mempunyai anak
  • Isteri si mati akan mewarisi ⅛ dan suami akan mewarisi ¼ jika si mati mempunyai anak lelaki
  • Jika si mati tidak mempunyai ibu, bapa atau waris, saudara atau adik beradik perempuannya akan mewarisi setengah daripada bahagian saudara lelaki

Harta peninggalan lelaki lebih banyak kerana tanggungjawab menanggung keluarga

Perlu diingat, setiap apa yang diaturkan oleh Allah mempunyai sebab, tujuan dan hikmahnya yang tertentu.

Dalam Islam, wanita tidak mempunyai tanggungjawab kewangan dan tanggungjawab ini terpikul pada bahu seorang lelaki.

Sebagai contoh, jika seorang wanita itu masih bujang atau belum berkahwin, pihak yang bertanggungjawab keatasnya ialah bapa atau adik beradik lelakinya.

Manakala jika seseorang wanita itu telah berkahwin, tanggungjawab memeliharanya jatuh kepada suami atau anak lelakinya sendiri.

Tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kaum lelaki terhadap ahli keluarga perempuan ini termasuklah menyediakan segala keperluan hidupnya seperti makanan, tempat tinggal dan juga pakaian.

Dalam ajaran Islam, orang lelaki adalah individu yang bertanggungjawab mencari sumber kewangan untuk menanggung keluarganya.

Oleh sebab itu, dalam urusan pembahagian harta peninggalan si mati, orang lelaki tidak mengira dia seorang suami, bapa atau anak, dia akan memperoleh bahagian yang lebih besar berbanding wanita.

Ia bertujuan memudahkannya untuk menjalankan tanggungjawab menanggung ahli keluarganya yang lain. 

Harta milik lelaki belum tentu sepenuhnya menjadi miliknya

harta peninggalan

Walaupun seorang lelaki itu akan menerima jumlah harta yang lebih besar daripada wanita, harta yang diperoleh tersebut belum tentu akan dibelanjakan untuk tujuan dan manfaat dirinya sahaja.

Harta tersebut mungkin akan digunakan untuk memenuhi keperluan ahli keluarganya yang lain terlebih dahulu.

Jika ada baki, barulah dia akan menggunakannya untuk faedah dirinya.

Berbeza dengan wanita, walaupun harta peninggalan yang diterimanya lebih sedikit, namun harta tersebut menjadi miliknya sahaja.

Dia tidak perlu atau tidak berkewajipan untuk membelanjakan harta tersebut untuk memenuhi keperluan ahli keluarga yang lain.

Dia boleh menggunakan wang tersebut 100% untuk manfaat dirinya semata-mata.

Ini jelas menunjukkan betapa ajaran Islam sebenarnya amat memelihara diri dan maruah wanita pada satu tahap yang lebih tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *