Adakah mungkin bagi seseorang mualaf untuk meneruskan hubungan kekeluargaan bersama keluarganya setelah memeluk Islam?
Atau lebih baik jika tidak lagi berhubungan dengan keluarganya?
Adakah hubungan kekeluargaan akan terputus?

Antara tanggapan yang mungkin sering berlaku dalam kalangan mualaf ialah, terputus hubungan mereka bersama ahli keluarga mereka setelah memeluk Islam.
Mereka menganggap, selepas mereka memeluk Islam, maka hubungan kekeluargaan bersama ahli keluarga yang berlainan agama turut terputus.
Namun, perkara yang menjadi kerisauan ramai mualaf ini ternyata salah.
Salah satu faktor yang menyebabkan ramai mualaf dan orang bukan Islam berfikir seperti ini adalah disebabkan persekitaran.
Mereka melihat, jika mereka masuk Islam, maka mereka juga akan masuk Melayu dan meninggalkan kesemua kebudayaan serta keluarga mereka.
Ia juga adalah satu perkara yang tidak tepat.
Hubungan kekeluargaan antara mualaf dengan keluarganya masih tetap terjalin seperti biasa, apatah lagi terhadap kedua ibu bapanya.
Golonggan mualaf masih wajib berbuat baik kepada kedua ibu bapa mereka walaupun berbeza kepercayaan dan agama.
Wajib taat kepada ibu bapa selagi mana tidak bercanggah dengan akidah
Dalam Surah An-Nisa’, ayat ke-36, Allah ada menyebut, yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”
Perintah Allah untuk mentaati kedua ibu dan bapa ini tidak terhad kepada ibu bapa yang beragama Islam sahaja.
Selagi mana kedua-duanya bertaraf ibu dan bapa, maka wajiblah kita sebagai anak untuk mentaati mereka walaupun berbeza agama.
Kita juga wajib menuruti perintah mereka selagi mana suruhan mereka itu tidak menyuruh kepada perkara-perkara maksiat seperti menyekutukan Allah.
Allah Taala ada berfirman dalam Surah Luqman, ayat ke-15, yang bermaksud:
“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau – dengan fikiran sihatmu – tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan.”
Selagi mana ia tidak melibatkan perkara-perkara yang bercanggah dengan akidah Islam, maka wajib bagi golongan mualaf untuk terus mentaati kedua ibu bapa mereka.
Masuk Islam tidak jejaskan hubungan kekeluargaan

Masuk Islam tidak sekali-kali akan memutuskan hubungan kekeluargaan antara mualaf dan keluarga mereka.
Begitu juga dengan perkara-perkara lain seperti adat dan budaya yang masih lagi boleh diamalkan jika tidak bercanggah dengan akidah dan syariat Islam.
Ramai daripada kalangan mualaf beranggapan bahawa masuk Islam bermakna masuk Melayu.
Oleh sebab itu juga, ramai orang bukan Islam berasa ragu untuk mengenali dan mendekati Islam.
Kita perlu menerangkan kepada masyarakat di luar sana bahawa masuk Islam tidak bermakna masuk Melayu.
Ini kerana, Islam adalah agama manakala Melayu pula adalah bangsa atau kaum.
Kedua-duanya adalah berbeza. Mereka masih lagi boleh mengamalkan budaya mereka setelah memeluk Islam.
Bagi mualaf, hanya agama yang sahaja yang bertukar. Manakala adat budaya serta hubungan kekeluargaan masih tetap bersama mereka.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd