Arak diketahui sebagai salah satu jenis minuman yang diharamkan dalam Islam. Arak didefinisikan sebagai sebarang minuman yang memabukkan peminumnya tanpa mengira jenis arak tersebut. Ramai rakan kita di luar sana yang mencari jawapan, mengapa Islam melarang penganutnya daripada minum arak.
Jika anda ditanya soalan sebegini, apakah jawapan yang paling bernas boleh anda berikan?
Larangan jelas oleh Islam berkenaan minum arak
Dalam Al-Quran, amaran dan pengharaman daripada minum arak ini sangat jelas. Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat ke-90. Mafhumnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, kesemuanya adalah kotor dan keji kerana dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
Selain daripada larangan berjudi, menyembah berhala dan menilik nasib, minum arak juga menjadi sebahagian daripada perkara yang dilarang dalam Islam.
Allah menyatakan bahawa minum arak itu adalah antara perbuatan yang dilakukan oleh syaitan selain dianggap sebagai najis.
Bukan hanya Al-Quran, Bible turut haramkan minum arak

Dalam ajaran Bible, minuman arak ini turut diharamkan sepertimana dalam ajaran Islam.
Antara bukti Bible mengharamkan minum arak ialah seperti berikut:
“Minuman keras membuatkan orang menjadi mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk.”
(Buku Proverbs, Bab 20, ayat 1)
“Janganlah kamu menjadi mabuk disebabkan oleh wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu.”
(Buku Ephesians, Bab 5, ayat 18)
Arak menyekat pusat kawalan manusia
Apakah bahagian tubuh yang menjadi pusat kawalan keseluruhan anggota tubuh? Jawapannya ialah otak. Namun, apabila seseorang itu mula meminum arak, ia akan menghalang atau menyekat pusat kawalan tersebut.
Apabila otak gagal berfungsi dengan baik, maka manusia akan bertindak hanya mengikut nafsu dan perasaan tanpa pertimbangan akal yang waras.
Orang yang mabuk akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan sifat peribadi mereka ketika mereka waras.
Ketagihan arak bermula daripada minum untuk tujuan sosial

Ramai yang akan mengatakan bahawa mereka meminum arak dengan tujuan untuk bersosial sahaja, bukan minum sehingga menjadi ketagih.
Golongan ini turut mengatakan bahawa mereka hanya minum arak segelas dua sahaja dan mampu mengawal diri mereka sendiri daripada menjadi mabuk.
Namun, kajian menyatakan setiap individu yang ketagihan arak sebenarnya bermula daripaa minum sekadar untuk tujuan bersosial.
Secara logiknya, tiada individu yang pertama kali meminum arak dengan tujuan untuk menjadi ketagih. Sebaliknya hanya sekadar cuba-cuba atau untuk bersosial sahaja.
Arak punca 1001 penyakit
Antara hikmah pengharaman minum arak adalah disebabkan oleh sifatnya yang memberi mudarat.
Ia bukan hanya menghilangkan pertimbangan akal yang waras, tetapi juga boleh menyebabkan beberapa penyakit serius yang lain.
Antara penyakit yang boleh berlaku disebabkan pengambilan arak ialah:
- Sirosis hati
- Pelbagai jenis kanser seperti kanser esofagus, kanser hati dan kanser usus
- Hipertensi
- Arteriosklerosis Koronari
- Strok
- Sawan
- Radang paru-paru
- Penyakit kulit seperti ekzema
- Pankreatitis (keradangan pada pankreas)
- Esofagitis (keradangan pada esofagus)
- Gastritis (keradangan pada dinding perut)
Arak punca banyak kemalangan

Jika dilihat kepada berita-berita terbaharu, banyak kemalangan berlaku disebabkan oleh pemandu kenderaan yang sedang mabuk. Mereka memandu pada ketika mereka sendiri tidak mampu berfikir dengan baik.
Sebagai contoh, pada 22 September 2020, seorang pelajar sekolah menengah yang berusia 17 tahun telah menemui maut akibat dilanggar pemandu mabuk yang memandu kereta jenis Myvi di Kuala Lumpur.
Akibat pemandu mabuk, nyawa individu lain yang tidak bersalah pula yang melayang. Kejadian seperti ini sudah banyak kali berlaku disebabkan oleh pemandu mabuk sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.
Kes ini juga menunjukkan bahawa, seseorang yang mabuk akan bertindak di luar kawalan mereka apabila melakukan sesuatu walaupun mereka rasa mereka boleh mengawal diri.
Kesimpulan
Kesan terhadap kesihatan, akal dan juga orang yang tidak bersalah sudah jelas membuktikan mengapa minum arak sangat dilarang dalam Islam.
Islam benar-benar menjaga kesejahteraan diri manusia, justeru pengharaman arak adalah sesuatu yang sangat logik.