Bolehkah orang Islam membela anjing untuk tujuan menjaga rumah?
Bagaimana pula kalau sengaja membelanya di rumah sepertimana kita membela kucing?
Hukum membela anjing sebagai haiwan peliharaan
Isu mengenai membela dan menyentuh anjing ini acapkali kedengaran.
Sebelum ini, terdapat kumpulan yang menganjurkan program seperti ‘I want to touch a dog’ dengan tujuan menormalisasikan sentuhan dan belaan anjing dalam kalangan orang Islam.
Berlaku beberapa perselisihan pendapat berkenaan penganjuran program ini.
Sebenarnya, tiada sebarang khilaf dan ulama’ telah bersepakat bahawa hukum membela anjing di rumah sebagai haiwan peliharaan adalah haram.
Sebagai orang Islam, kita tidak dibenarkan untuk membela anjing seperti kucing yang dibelai, dipeluk atau dicium.
Hukumnya adalah haram kerana tidak mempunyai tujuan tertentu.
Dibolehkan membela anjing dengan 5 tujuan ini

Namun, anjing masih lagi dibela bagi tujuan tertentu sahaja.
Dalam Islam, kita dibenarkan untuk membela anjing bagi perkara-perkara seperti berikut:
- Memburu: anjing yang digunakan untuk berburu adalah jenis anjing yang garang dan lasak, bukannya anjing kecil yang comel yang hanya sesuai dibuat belaan. Namun, tujuan perburuan yang dibenarkan dalam Islam ini hanyalah untuk tujuan mendapatkan sumber makanan sahaja. Berburu dengan tujuan suka-suka atau tujuan sukan adalah tidak dibenarkan. Ini kerana Islam mengharamkan perburuan haiwan dengan tujuan suka-suka sahaja.
- Menunjukkan jalan: anjing juga boleh dibela atau digunakan bagi tujuan menunjukkan jalan. Seperti orang buta yang menjadikan anjing sebagai petunjuk jalan baginya kerana tiada orang lain yang dapat membantunya setiap hari.
- Tujuan keselamatan: selain itu, anjing juga boleh digunakan untuk menjaga keselamatan rumah kediaman kita. Anjing juga dibenarkan untuk dibela bagi kegunaan pihak berkuasa seperti polis, tentera dan juga bomba
- Menjaga ternakan: anjing juga boleh digunakan untuk menjaga haiwan ternakan di ladang
- Menjaga tanaman: anjing juga dibenarkan untuk menjaga tanaman di ladang daripada dicerobohi oleh pihak yang berniat jahat
Dalil haramnya membela anjing dalam Islam
Setiap penentuan hukum dalam syariat Islam itu adalah berdasarkan dalil atau hujah yang diambil daripada sumber-sumber hukum Islam seperti Al-Quran dan juga hadith.
Antara dalil yang dirujuk bagi hukum membela anjing ini ialah seperti berikut:
Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barang siapa yang memelihara anjing bukan untuk tujuan menjaga ladang atau ternakan, maka setiap hari pahalanya berkurangan satu qirath.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Daripada Abdullah bin Umar, dia berkata: “Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesiapa memelihara anjing selain anjing untuk berburu atau anjing menjaga binatang ternak, maka pahalanya akan berkurang dua qirath setiap harinya.”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Meraikan budaya setempat yang bermazhab Syafie

Majoriti penduduk Islam di Malaysia berpegang kepada Mazhab Syafie.
Selain itu, membela anjing di rumah walaupun bertujuan untuk melindunginya bukanlah menjadi satu budaya bagi orang-orang Islam di negara ini.
Oleh itu, membela anjing atau menganjurkan program seperti ‘I want to touch a dog’ oleh orang Islam hanyalah akan mencetuskan keresahan penduduk Islam lain di negara ini.
Ini kerana ia bertentangan dengan Mazhab Syafie dan juga ‘uruf atau budaya setempat.
Dalam Mazhab Syafie, kita dilarang untuk memegang anjing dengan sengaja kerana ia dianggap sengaja memegang najis tanpa sebab. Maka ia adalah haram.
Walaupun kita boleh mencucinya dengan kaedah penggunaan air mutlak dan air bercampur tanah, namun ia bukan alasan untuk kita memegang anjing dengan sengaja tanpa sebab.
Selain itu, ia juga bertujuan menjaga kebersihan diri dan kediaman daripada najis berat, yang mungkin boleh menjejaskan ibadat kita kelak.
Anjing tetap haiwan yang perlu dilayan dengan baik
Sebab pengharaman anjing ini bukanlah lesen untuk kita menganiaya anjing sewenang-wenangnya.
Anjing tidak boleh dipukul, disepak, dicederakan apatah lagi dibunuh walaupun ia dianggap sebagai haiwan najis.
Ia tetap perlu dilayan seperti mana kita melayan haiwan-haiwan lain dengan baik. Ini kerana anjing tetap makhluk Allah.
Ambillah pengajaran berkenaan kisah bagaimana seorang individu yang berbuat dosa, tetapi dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga hanya kerana jasanya memberi minum kepada anjing.
Rujukan: