“Dah Masuk Islam, Tapi Tak Tutup Aurat”. Kita Tidak Seharusnya Berkata Seperti Ini, Ini Sebabnya!

Mungkin kita pernah melihat golongan mualaf yang telah memeluk Islam, tetapi kurang sempurna pemakaian mereka. Dengan kata lain, mereka mungkin tidak menutup aurat dengan sempurna seperti tidak memakai tudung kepala.

Adakah hal seperti ini dibolehkan?

Menutup aurat: Kepentingan memahami konteks mualaf

Jawapannya di sini bukanlah soal hukum iaitu haram atau harus.

Jika kita bertanya kepada soal hukum, semestinya hukum tidak menutup aurat dengan sempurna adalah haram.

Namun, dalam soal seperti ini, kita perlu melihat kepada soal akidah terlebih dahulu kerana akidah adalah yang lebih utama.

Bagi golongan mualaf, mereka mungkin perlu beradaptasi secara perlahan-lahan dalam bertukar pakaian mereka.

Ia mungkin bukanlah satu proses yang boleh diikuti secara drastik atau tergesa-gesa.

Sebagai seorang yang sedia Muslim, kita perlu memahami bahawa soal pemakaian memerlukan satu komitmen dan azam yang tinggi di dalam hati manusia.

Kita tidak seharusnya memandang rendah, apatah lagi mengeluarkan kata-kata yang kurang sesuai terhadap mereka.

Perkara yang paling penting sekali adalah akidah mereka.

Berilah mereka sedikit masa untuk menutup aurat dengan sempurna. 

Nasihat untuk para mualaf

menutup aurat

Bagi para mualaf pula, anda semua tidak perlu berasa tersinggung jika ada yang mempertikaikan pakaian anda setelah memeluk Islam.

Ini kerana, tidak semua Muslim sedia ada memahami dengan tepat konsep keutamaan atau Awlawiyat dalam Islam.

Malah, mereka juga tidak memahami keadaan semasa yang dilalui oleh golongan yang baru memeluk Islam.

Untuk para mualaf, utamakan pemantapan akidah anda terlebih dahulu selepas memeluk Islam.

Perkara yang paling penting ialah dengan mempelajari ibadah solat sebaik mungkin.

Daripada sudut berpakaian pula, anda boleh belajar untuk berpakaian sopan secara perlahan-lahan.

Walaupun anda mungkin belum bersedia untuk bertudung, tetapi usaha anda untuk melabuhkan pakaian terlebih dahulu sudah cukup dibanggakan.

Jangan berasa risau risau kerana Allah Taala menilai usaha lebih daripada hasil yang kita usahakan. 

Nasihat untuk orang-orang Islam yang lain berkenaan menutup aurat

Menutup aurat

Sebagai seorang Muslim, kita tidak memerlukan sebarang bentuk sindiran, kritikan apatah lagi cercaan dalam hidup beragama.

Kita tidak boleh mendakwa bahawa amalan kita adalah yang terbaik.

Ini kerana, kita tidak mengetahui ibadah individu lain yang terselindung selain hanya Allah yang menilai sesuatu perbuatan dan amal manusia.

Oleh itu, jangan sesekali memandang rendah golongan mualaf yang masih belum menutup aurat dengan sempurna.

Semestinya mereka sedang berusaha ke arah itu.

Sebagai individu yang sudah lama bersama Islam, kita perlu menggalakkan mereka dan memberikan rangsangan untuk mereka terus berusaha walaupun prosesnya agak perlahan.

Berikan kata-kata yang baik dan bersifat positif kepada golongan mualaf.

Cara ini lebih mendekatkan hati mereka kepada Islam.

Nabi juga berdakwah secara berperingkat

Kita boleh melihat bagaimana Rasulullah melakukan dakwah Islam secara berperingkat-peringkat.

Rasulullah pernah meminta Muadz Bin Jabal agar sunah tadarruj atau berperingkat-peringkat diamalkan ketika diutus ke Yaman.

Muadz Bin Jabal diminta untuk memberikan fokus kepada perkara berkaitan akidah terlebih dahulu.

Kemudian, sekiranya diterima oleh masyarakat Yaman, barulah ditekankan kepada ibadah solat pula.

Setelah itu, barulah diajarkan perkara-perkara yang lain.

Di sini ditunjukkan bahawa dakwah Islam itu dilakukan mengikut keutamaan.

Barulah golongan sasaran berasa mudah dan tertarik untuk menerima Islam. 

Rujukan: 

  • Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *