Adakah anda tahu, bahawa ada sebilangan kecil golongan mualaf yang kembali kepada agama asalnya setelah memeluk Islam? Ia mungkin kes terpencil, namun ia pernah berlaku. Apakah yang menyebabkan isu seperti ini berlaku? Kami terangkan sedikit faktor yang menyumbang kepada kes murtad di Malaysia.
Faktor penyumbang kes murtad di Malaysia
Sebenarnya, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan ada sebilangan mualaf kembali kepada agama asal mereka.
Berikut adalah antara faktor utamanya.
Perceraian atau kegagalan rumah tangga

Kebanyakan kes mualaf yang kembali kepada agama asal mereka adalah disebabkan faktor perceraian.
Pada awalnya, mereka yang baru memeluk Islam ini berkahwin dengan pasangan yang sedia ada Muslim.
Namun, sepanjang perkahwinan mereka, dia tidak mendapat bimbingan agama yang mencukupi atau yang sepatutnya daripada pasangannya.
Pasangan Muslim sepatutnya memberikan tanggungjawab dan perhatian yang lebih kepada pasangan mualaf mereka.
Akibat daripada kelalaian seperti ini, pasangannya tidak begitu mendalami ajaran Islam.
Apabila berlaku keretakan rumah tangga dan terjadinya perceraian, maka individu mualaf tersebut cenderung untuk kembali ke pangkuan keluarganya dan kembali kepada agama asalnya.
Kes-kes seperti inilah yang menyebabkan ramai mualaf kembali semula kepada agama asalnya kerana keimanan yang tidak dimantapkan sewaktu berkahwin.
Lebih teruk lagi, ada sesetengah pasangan Muslim melakukan penderaan dan keganasan rumah tangga kepada pasangan mualaf.
Apabila individu mualaf ini kembali ke pangkuan keluarga mereka, ia memperlihatkan seolah-olah Islam adalah agama yang ganas.
Sedangkan ia adalah tindakan bersifat individu, bukannya ajaran Islam.
Putus cinta
Tidak dinafikan, ada golongan mualaf yang mengambil keputusan untuk memeluk Islam kerana ingin berkahwin dengan pasangannya yang beragama Islam.
Ada kes di mana, seseorang mualaf kembali murtad setelah pasangannya tidak jadi untuk mengahwininya.
Ini kerana pasangannya telah membuat keputusan untuk berkahwin dengan calon isteri pilihan keluarga.
Pasangan meninggal dunia

Ada juga kes di mana golongan mualaf yang ingin kembali kepada agama asalnya setelah kematian pasangan.
Mereka mengakui bahawa mereka berasa sedih dan kesunyian setelah pasangan meninggal dunia.
Golongan mualaf ini mngakui bahawa mereka memeluk Islam hanya kerana mengikuti agama pasangannya sahaja.
Oleh itu, apabila pasangannya sudah tiada, maka mereka sudah tidak tertarik kepada ajaran agama Islam.
Desakan keluarga
Selain itu, ada juga desakan daripada pihak keluarga yang mahukan mualaf untuk murtad dan kembali kepada agama asal.
Ada mualaf yang mengakui bahawa dirinya masih bergantung kepada tanggungan keluarga.
Oleh sebab itu, ada yang memohon untuk kembali murtad bagi memastikan kelangsungan hidupnya yang bergantung kepada bantuan kewangan daripada keluarga.
Kesimpulan
Faktor-faktor yang disenarikan di atas ini adalah antara punca utama mengapa golongan mualaf memilih untuk kembali kepada agama asal mereka.
Ada yang berpunca daripada keimanan yang belum kuat, kurang mendalami ajaran Islam, serta desakan hidup.
Sebagai seorang Muslim, jika kita ada mengenali mana-mana mualaf di sekitar kita, sentiasalah bertanya khabar mereka.
Mungkin ada beberapa masalah dan cabaran yang sangat kuat sedang dilalui oleh mereka.
Hulurkan bantuan atau dapatkan bantuan daripada pihak bertanggungjawab bagi menyelamatkan akidah mereka selagi masih sempat.
Jangan sesekali kita tidak mengambil berat mengenai mereka seolah-olah mereka bukan saudara kita.
Rujukan: