Ada wanita yang memakai niqab, tetapi ada juga yang tidak pakai niqab. Namun, apakah hukum sebenar memakai niqab? Adakah ia wajib?
Hukum aurat wanita mengikut mazhab
Isu pemakaian niqab ini boleh dilihat kepada batas aurat wanita di sisi empat mazhab terlebih dahulu.
Pendapat Mazhab Hanafi, Maliki dan sebahagian besar ulama’

Bagi golongan ini, mereka berpendapat bahawa seluruh anggota tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan juga tapak tangan.
Sebahagian daripada para sahabat dan tabiin juga berpendapat dengan pendapat ini.
Mereka berdalilkan ayat daripada Surah An-Nur, ayat 31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram, dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”
Menurut Imam Nawawi, bahawa Ibn Abbas mentafsirkan istilah ‘kecuali yang zahir’ itu adalah wajah dan juga tapak tangan wanita.
Pandangan Mazhab Syafie dan juga Maliki
Golongan ini pula memberikan pendapat bahawa keseluruhan tubuh wanita adalah aurat, termasuklah muka dan tapak tangan.
Ulama’ yang memberikan pendapat ini berpendapat bahawa, ayat ‘kecuali yang zahir’ itu membawa makna sesuatu yang terlihat dalam keadaan tidak sengaja.
Seperti ketika pakaian ditiup angin, terselak atau untuk tujuan perubatan.
Hukum berpurdah atau pakai niqab

Hukum berpurdah atau pakai niqab ini boleh dilihat berdasarkan pandangan mazhab terhadap aurat wanita.
Bagi pendapat yang menyatakan muka wanita sebagai aurat, maka wajib hukumnya memakai purdah.
Manakala bagi pendapat yang tidak menyatakan kawasan muka sebagai aurat, maka hukum memakai purdah atau niqab adalah harus atau sunat.
Tujuan pakai niqab yang perlu difahami
Namun, bagi mereka yang ingin memakai niqab, mereka perlu memahami dengan jelas tujuan pakai niqab.
Tujuan niqab atau purdah dipakai adalah untuk memelihara diri daripada fitnah yang mungkin wujud.
Selain itu, pakai niqab juga bertujuan memelihara akhlak seorang wanita.
Jika seseorang wanita memakai niqab, tetapi tidak menjaga tingkah lakunya, maka pemakaian niqab itu seolah-olah hanya sia-sia.
Kesimpulan
Hukum memakai niqab itu bergantung kepada pegangan yang dipegang oleh seseorang.
Jika dia berpegang kepada pendapat bahawa wajah itu aurat, maka hukum berniqab adalah qajib.
Begitu juga bagi mengelakkan fitnah, maka hukumnya juga adalah wajib.
Namun, bagi mereka yang berpegang dengan pendapat bahawa wajah bukanlah aurat, maka hukum memakai niqab hanyalah harus atau sunat.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2086-al-kafi-504-hukum-menanggalkan-niqab-kerana-mengikuti-program-yang-melarangnya