Adakah terdapat pakaian tertentu yang wajib dipakai oleh orang Islam? Atau adakah cukup sekadar memakai pakaian mengikut syariat Islam sahaja?
Islam tidak mempunyai fesyen tertentu
Apabila melihat kepada golongan mualaf, ada yang mula berpakaian dengan pakaian seperti jubah hitam setelah memeluk Islam.
Begitu juga dengan mereka yang sudah insaf, mereka memakai sesuatu pakaian tertentu yang mungkin dirasakan sebagai ‘pakaian Islam’.
Dengan erti kata lain, mereka memakai sesuatu yang dirasakan sebagai satu kemestian, yang akan menjadi tanda bagi dirinya sebagai seorang Islam.
Namun sebenarnya, tiada satu pun pakaian yang boleh dinamakan sebagai pakaian Islam.
Ini kerana Islam tidak pernah menetapkan pakaian khusus yang wajib dipakai oleh orang Islam.
Selagi mana ia menutup aurat dan bersederhana, maka pakaian tersebut boleh dipakai.
Ciri berpakaian seseorang itu termasuk dalam perkara adat selain mengikut kesesuaian persekitaran yang didiaminya.
Sebagai contoh, kita menganggap bahawa memakai jubah adalah pakaian Islam.
Namun hakikatnya, jubah adalah pakaian adat yang menjadi kebiasaan orang-orang Arab sahaja.
Mereka berjubah dan berserban kerana untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran padang pasir yang berdebu dan panas.
Menjadi seorang Islam tidak semestinya memakai jubah.
Namun, perlulah memakai pakaian mengikut syariat Islam

Islam tidak menghalang pemakaian pakaian yang diwarisi oleh manusia daripada kebudayaannya.
Sebagai contoh, baju Melayu bagi orang Melayu, sari bagi orang India dan ceongsam bagi orang Cina.
Namun, pakaian tersebut mestilah disesuaikan dengan kehendak syarak agar ia menepati ajaran Islam.
Antara syarat utama pakaian mengikut syariat Islam ialah memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat hingga boleh menampakkan bentuk tubuh.
Selain itu, pakaian juga tidak boleh terlalu nipis dan perlu menutupi aurat.
Walaupun anda memakai jubah sekalipun, tetapi jubah tersebut nipis dan ketat, maka diharamkan untuk memakai jubah tersebut.
Inti patinya di sini, tidak kira jubah atau baju Melayu, semua pakaian mestilah mengikut dua syarat utama di atas.
Jaga hati ketika berpakaian

Selain daripada pakaian yang zahir atau fizikal, kita juga perlu menjaga pakaian hati kita.
Kita perlu berniat bahawa pakaian yang ingin dipakai itu bukan kerana ingin menyerupai golongan bukan Muslim yang lain (tasyabbuh).
Selain itu, kita juga tidak boleh berpakaian dengan niat untuk bermegah-megah.
Bermegah-megah adalah satu sifat sombong yang sangat dikeji dalam Islam.
Jangan menyusahkan diri
Bagi golongan yang baru memeluk Islam, anda perlu memahami bahawa anda tidak diwajibkan untuk memakai pakaian tertentu sebagai simbol bahawa anda seorang Islam.
Ini kerana Islam tidak mempunyai simbol atau pakaian tertentu yang menjadi identiti khusus umat Islam.
Pakailah sebarang pakaian yang anda inginkan selagi mana ia menutup aurat, tidak ketat atau terlalu nipis.
Bagi wanita mualaf, tidak perlu bersusah-susah untuk mencari jubah hitam bagi menunjukkan anda sudah memeluk Islam.
Namun, jika anda mahu, ia juga bukanlah satu kesalahan.
Namun ia juga bukan satu kewajipan.
Bagi lelaki mualaf pula, kopiah bukanlah satu kewajipan atau simbol bagi orang Islam.
Anda boleh memakai sebarang penutup kepala lain seperti serban, topi mahupun kopiah Cina.
Jika anda tidak mahu memakai apa-apa di kepala juga, ia tidak mengapa.
Kerana kepala bukanlah aurat bagi seorang lelaki Muslim.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd