Bolehkah Ahli Keluarga Yang Bukan Islam Terima Harta Pusaka Individu Mualaf Yang Telah Meninggal Dunia?

Bolehkah jika seseorang mualaf yang telah meninggal dunia mewariskan harta pusakanya kepada ahli keluarga yang bukan Islam? Bolehkah ahli keluarganya yang bukan Islam itu terlibat dengan pembahagian harta pusaka tersebut?

Maksud pembahagian harta pusaka

Harta pusaka bermaksud harta yang ditinggalkan oleh seseorang individu tersebut setelah dia meninggal dunia untuk diwariskan kepada waris terdekatnya.

Harta tersebut tidak semestinya berkaitan wang ringgit semata-mata, tetapi melibatkan segala harta miliknya termasuklah hartanah, wang simpanan, saham dan lain-lain lagi. 

Jenis-jenis harta pusaka

Berikut adalah beberapa jenis harta yang dikelaskan sebagai harta pusaka milik seseorang individu tersebut sekiranya dia telah meninggal dunia.

Harta-harta tersebut ialah seperti:

  • Segala harta si mati yang diperoleh dengan cara yang halal
  • Sewa miliknya yang belum dijelaskan pembayarannya
  • Segala hutang miliknya yang belum dijelaskan kepadanya
  • Dividen atau faedah yang diterima daripada hartanya
  • Simpanan KWSP
  • Penama takaful
  • Harta yang muncul hasil daripada usahanya sewaktu si mati masih hidup

Selain itu, harta-harta yang dinyatakan di bawah ini pula tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada harta pusaka milik si mati.

Harta-harta tersebut ialah:

  • Harta-harta miliknya yang telah dijual, diwakafkan, ditukar hak milik, dihibah atau dipegang amanah
  • Pemberian oleh orang-orang yang hadir menziarahi kematiannya
  • Imbuhan, pampasan dan juga wang sagu hati daripada mana-mana pihak
  • Pencen terbitan
  • Bayaran-bayaran di bawah Akta PERKESO 1969

Bolehkah ahli keluarga yang bukan Islam mewarisi dan terlibat dengan pembahagian harta pusaka milik mualaf?

Dalam Islam, ahli keluarga yang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta pusaka milik ahli keluarga lain yang merupakan seorang Muslim.

Rasulullah S.A.W telah bersabda, yang bermaksud:

“Orang Islam tidak mewarisi harta orang bukan Islam, dan orang bukan Islam tidak mewarisi harta milik orang Islam.”

Larangan ini sudah ditetapkan melalui ketetapan Al-Quran dan juga Sunnah.

Mualaf tidak boleh mewariskan hartanya kepada ahli keluarga yang bukan Islam meskipun dia mahu.

Ini kerana ia adalah ketetapan syarak dan juga telah ditetapkan dalam undang-undang pentadbiran harta pusaka di Malaysia. 

Namun, ada beberapa kaedah yang dibenarkan dalam Islam

Sekiranya golongan mualaf mahu memberikan hartanya kepada ahli keluarganya yang bukan Islam, ada beberapa kaedah yang boleh digunakan.

Kaedah-kaedah ini diharuskan di sisi Islam dan tidak melanggar hukum syarak.

Mualaf boleh memberikan hartanya kepada ahli keluarga yang bukan Islam dengan cara wasiat dan juga hibah

Rujukan: 

  • Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
  • https://www.mais.gov.my/harta-pusaka/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *