Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) telah ditubuhkan pada tahun 1969 dengan tujuan khusus iaitu untuk menyebarluaskan dakwah Islam dengan lebih teratur dan drastik. USIA Sabah ini juga berperanan untuk menyatukan seluruh Muslim Sabah pada ketika itu di samping memperjuangkan kedudukan agama Islam di negeri itu.
Bermulanya kegiatan dakwah besar-besaran di Sabah
USIA Sabah telah ditubuhkan oleh Ketua Menteri Sabah Ketiga iaitu Tun Mustapha Datu Harun pada 16 Ogos 1969. Sewaktu upacara pembukaan kongres penubuhan USIA Sabah, Tun Mustapha menyatakan bahawa penubuhan USIA ini sebagai satu peristiwa yang bersejarah bagi rakyat di Negeri Sabah.
Ini kerana, susulan penubuhan USIA, pemimpin-pemimpin Islam Sabah dapat berkumpul buat pertama kali disamping sebagai satu tanda bermulanya proses dakwah atau Islamisasi besar-besaran secara rasmi di negeri tersebut.
USIA Sabah pada awal 70-an lebih menumpukan kepada kaedah ‘dakwah keluar’ yang mensasarkan bukan sahaja orang awam, malah dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin politik.
‘Dakwah keluar’ adalah satu cara atau pendekatan yang menyebarluaskan Islam terhadap komuniti luar yang bukan beragama Islam. Kaedah pengislaman secara beramai-ramai ini banyak melibatkan kaum daripada etnik Kadazandusun.
Ini disebabkan komposisi etnik Kadazandusun sebagai etnik pribumi dengan populasi terbesar di Negeri Sabah. Selain itu, sasaran oleh USIA Sabah terhadap etnik Kadazandusun ini juga adalah disebabkan faktor pegangan agama etniknya yang masih ramai tidak beragama atau disebut sebagai pagan.
Namun, kegiatan dakwah ini bukan hanya tertumpu kepada mereka yang berasal daripada etnik Kadazandusun sahaja. Etnik-etnik lain iaitu Murut dan Rungus turut sama didekati dalam proses Islamisasi besar-besaran ini.
Menariknya, kegiatan dakwah yang dijalankan oleh USIA Sabah ini mendapat sokongan kuat daripada pemimpin Sabah yang memberikan banyak bantuan dan sokongan, termasuklah sokongan material dan juga moral.
Disebabkan sokongan berterusan daripada pemimpin Negeri Sabah itu sendiri, gerakan dakwah di Sabah dapat dijalankan secara sistematik dan berterusan.
Saat bersejarah di kediaman Tun Mustapha!
Rumah kediaman Tun Mustapha Datu Harun telah menjadi saksi bersejarah proses pengislaman pertama secara besar-besaran ini. Sebaik sahaja USIA Sabah ini ditubuhkan secara rasmi, telah berlaku majlis pengislaman pertama yang dikendalikan oleh USIA Sabah dan ia dilakukan di kediaman Tun Mustapha sendiri.
Di majlis tersebut, beberapa saudagar berbangsa Cina telah mengisytiharkan keislaman mereka secara rasmi, termasuklah keluarga Tan Soe Tei yang menukarkan namanya kepada nama Islamnya yang baharu, Mohd Ali.
Majlis pengislaman kedua pula telah dilakukan sejurus seminggu selepas majlis pengislaman pertama diadakan. Di majlis tersebut, seramai 16 individu telah memeluk agama Islam dan kesemua mereka adalah penduduk dari Kampung Penampak, Pitas.
Bagi majlis pengislaman ketiga, ia sekali lagi telah dilaksanakan di kediaman Tun Mustapha sendiri. Pada kali yang ketiga ini, 11 orang hartawan berbangsa Cina telah menyatakan ucapan syahadah mereka. Salah seorang daripada hartawan tersebut bernama Tan Teck Bak yang kemudiannya menukar nama kepada Abu Bakar.
Gerakan dan gelombang Islamisasi semakin kuat
Bertitik tolak daripada 3 majlis pengislaman ini, USIA berpendapat berkemungkinan lebih ramai lagi masyarakat Sabah yang berminat terhadap ajaran agama Islam. Hasilnya, gerakan dakwah dan pengislaman terus dijalankan secara besar-besaran di seluruh Sabah pada ketika itu.
Ia dijalankan sama ada secara berkumpulan dan juga melalui pendekatan individu. Terdapat 2 kumpulan pendakwah pada ketika itu. Kumpulan pertama adalah mereka yang digajikan khusus oleh pihak USIA sendiri. Ia termasuklah pegawai gerakan, pegawai penerangan dan mubaligh dibawah pentadbiran USIA.
Kumpulan kedua pula adalah mereka yang berkhidmat secara sukarela dalam aktiviti dakwah di Sabah. Untuk menjadikan perjalanan dakwah ini lebih sistematik dan menyeluruh, dakwah Islam dijalankan di seluruh daerah di Sabah.
Bagi setiap daerah, terdapat 8 kumpulan yang akan ditugaskan di sana. Setiap kumpulan terdiri daripada 25 hingga 30 orang warga tempatan yang ditugaskan memperkenal dan menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk tempatan.
Foto 1: Gambar oleh Uwe Aranas – Wikimedia (CC BY-SA 3.0)
Foto 2: Gambar oleh Uwe Aranas – Wikimedia (CC BY-SA 3.0)
Foto 3: Gambar oleh Uwe Aranas – Wikimedia (CC BY-SA 3.0)
Rujukan:
Suraya Sintang. Sejarah Perkembangan Mualaf di Sabah: Peranan dan Sumbangan USIA (United Sabah Islamic Association). 2005. Jurnal Al-Tamaddun.