Kita sering mendengar isu pewarisan harta daripada si mati yang mualaf kepada ahli keluarganya yang bukan Islam.
Namun, pernahkah kita terfikir mengenai situasi yang sebaliknya.
Bagaimana pula dengan isu mualaf yang kematian ibu dan bapanya.
Bolehkah dia mewarisi harta pusaka peninggalan ibu dan bapanya?
Bolehkah mualaf mewarisi harta keluarganya yang bukan Islam?

Bagi kematian orang Islam, kita tidak begitu mempunyai banyak masalah kerana segala harta peninggalan akan diuruskan mengikut waris faraid.
Dalam isu kematian orang bukan Islam pula, waris kepada si mati adalah mengikut kepada Akta Pembahagian 1959 iaitu ibu, bapa, suami, isteri, anak dan juga zuriat atau keturunan yang ke bawah.
Namun, secara dasarnya, orang Islam termasuklah golongan mualaf tidak boleh mewarisi harta pusaka peninggalan ibu bapanya yang bukan Islam.
Dalam Mazhab Syafie, larangan ini adalah berdasarkan kepada hadis nabi yang bermaksud seperti berikut:
Daripada Usamah Bin Zaid R.A, bahawa Rasulullah S.A.W pernah bersabda: “Tidak mewarisi seseorang Muslim itu daripada seorang yang bukan Islam, dan tidak mewarisi seseorang yang bukan Islam itu daripada seorang Muslim.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Perbezaan pendapat mengenai hukum Muslim mewarisi harta bukan Muslim
Namun, terdapat perbezaan pendapat mengenai hukum seorang Muslim mewarisi harta ahli keluarganya seperti ibu bapanya yang bukan Islam.
Ada ulama’ yang membenarkannya, ada juga ulama’ yang melarangnya.
Antara ulama’ yang membenarkannya adalah seperti Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Menurut Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, orang Islam boleh mewarisi harta bukan Islam, namun orang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta orang Islam.
Harta diberikan dalam bentuk hibah atau wasiat

Dalam kes tuntutan atau pewarisan harta pusaka ibu atau bapa yang bukan beragama Islam, ia sebenarnya boleh juga dilakukan dalam bentuk hibah atau wasiat.
Sebagai contoh, jika si mati yang bukan Islam ada mewasiatkan pemberian harta tertentu kepada warisnya termasuk waris yang beragama Islam, maka waris yang beragama Islam itu boleh menerima harta tersebut.
Ini adalah penerimaan harta pusaka melalui jalan atau kaedah wasiat.
Selain itu, seseorang waris juga boleh menerima harta ibu dan bapanya dengan cara hibah.
Namun, kaedah hibah perlu dilaksanakan sewaktu pemilik harta masih hidup.
Hanya wasiat sahaja yang ditunaikan setelah pemilik harta meninggal dunia.
Kesimpulan
Secara umumnya, Islam tidak mengharuskan pewarisan harta antara kedua pihak yang berlainan agama walaupun mereka dalah ahli keluarga dan juga waris.
Namun, ada sebilangan ulama’ yang membenarkan pewarisan harta daripada ahli keluarga yang bukan Islam kepada waris yang beragama Islam.
Namun, pewarisan harta ini tidaklah hanya dilaksanakan melalui kaedah faraid semata-mata.
Pewaris Muslim juga boleh menerimanya menerusi kaedah wasiat dan juga hibah.
Rujukan: