Satu pasangan bukan Islam iaitu suami dan isteri mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Namun, adakah mereka perlu bernikah semula mengikut ajaran agama Islam? Apakah status perkahwinan yang sebenar bagi golongan mualaf, sah atau tidak?
Sah perkahwinan sebelum memeluk Islam
Sebarang perkahwinan yang telah dilangsungkan sebelum memeluk Islam adalah sah statusnya di sisi Islam.
Dalam soal seperti ini, agama Islam tidak akan campur tangan berkenaan kaedah perkahwinan dalam agama lain.
Sejarah awal perkembangan Islam pada zaman Rasulullah mencatatkan ramai para sahabat yang memeluk Islam.
Ada antara mereka yang memeluk Islam bersama pasangan mereka yang telah dikahwini sebelum memeluk Islam.
Namun, isu perkahwinan sebelum memeluk Islam ini tidak pernah wujud pada ketika itu.
Tidak terdapat sebarang riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah menyuruh pasangan suami dan isteri yang baru memeluk Islam untuk melangsungkan pernikahan mereka semula.
Ulama’-ulama’ mazhab juga menyatakan bahawa perkahwinan orang bukan Islam adalah sah.
Imam Ibnu Qudamah ada menyatakan bahawa, Rasulullah memperakui status perkahwinan mereka yang baru memeluk Islam pada ketika itu.
Baginda juga tidak pula bertanya mengenai syarat dan kaedah mereka bernikah.
Bagaimana pula dengan status anak yang lahir daripada perkahwinan sebelum memeluk Islam?
Islam mengiktiraf perkahwinan orang bukan Islam dan menyatakan bahawa perkahwinan mereka adalah sah.
Oleh itu, status anak-anak yang lahir hasil daripada perkahwinan sebelum memeluk agama Islam juga adalah anak yang sah tarafnya, baik daripada segi undang-undang mahupun syarak.
Namun, terdapat juga keraguan dalam kalangan mualaf mengenai beberapa perkara iaitu:
- Status diri mereka sendiri yang lahir hasil daripada perkahwinan ibu bapa mereka yang bukan Islam
- Status anak-anak mereka yang dilahirkan sebelum mereka memeluk Islam
Sebenarnya, isu-isu berkenaan status seperti ini tidak perlu wujud dan dirisaukan.
Ini kerana agama Islam mengiktiraf perkahwinan yang telah dilangsungkan sebelum memeluk Islam.
Islam mengiktiraf perkahwinan ini demi kesejahteraan dan keamanan hidup masyarakat.
Kesimpulan
Islam menerima perkahwinan sebelum memeluk Islam, maka tiada isu berkenaan status anak yang dilahirkan sebelum memeluk Islam juga.
Perkahwinan mereka dianggap sah, maka anak mereka juga adalah sah tarafnya.
Oleh itu, golongan mualaf tidak perlu berasa bimbang berkenaan status perkahwinan dan status anak mereka.
Mereka tidak perlu bernikah semula mengikut ajaran Islam, dan anak mereka tidak pula dianggap sebagai anak yang tidak sah taraf di sisi Islam.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3323-al-kafi-1227-status-perkahwinan-pasangan-bukan-islam-apabila-telah-memeluk-islam