Bagi mualaf yang pertama kali berpuasa Ramadan, pastinya terdapat sedikit kesukaran untuk membiasakan diri pada permulaannya. Jika anda mengenali mana-mana individu mualaf yang akan atau sedang berpuasa pada tahun ini, kongsikan tips puasa ini kepada mereka.
Tips puasa 1: tidur awal dan kunci jam sebelum Subuh
Sahur merupakan satu sunnah bagi orang berpuasa. Sahur bertindak membekalkan tenaga kepada tubuh badan sebelum bermulanya ibadah puasa yang akan mengambil masa berjam-jam lamanya.
Untuk membiasakan anda bangun bersahur pada awal pagi, cuba tidur lebih awal dan kunci jam sebelum waktu Subuh.
Sebagai contoh, jika waktu Subuh bermula pada jam 5.45 pagi, tetapkan penggera jam anda pada jam 5 pagi.
Jika anda agak berasa malas untuk makan di dapur, bawa makanan yang agak ringan ke bilik tidur anda dan letakkan di sebelah katil.
Ini untuk memudahkan anda bersahur jika anda tidak begitu rajin untuk ke dapur.
Tips puasa 2: puasa sekadar yang termampu

Walaupun anda kini sudah bergelar Muslim, namun kemampuan anda untuk berpuasa penuh mungkin tidak sama dengan mereka yang sudah biasa berpuasa.
Oleh itu, jangan khuatir kerana anda boleh berpuasa setakat mana kemampuan anda pada hari tersebut. Jika anda hanya mampu berpuasa sehingga jam 3 petang, ia tidak mengapa.
Anggaplah ia sebagai satu latihan untuk anda berpuasa dengan lebih baik pada masa akan datang.
Apa yang paling penting adalah niat dan usaha anda untuk berpuasa kerana Allah melihat kepada kedua-dua faktor ini dalam memberikan ganjaran atas amalan puasa anda.
Tips puasa 3: lakukan aktiviti harian seperti biasa
Jangan terlalu memikirkan bahawa anda sedang berpuasa pada hari tersebut.
Jalani hari-hari anda seperti biasa seperti sebelum ini. Sibukkan diri anda dengan melakukan pelbagai perkara yang bermanfaat.
Dengan itu, anda akan kurang memikirkan soal makanan atau rasa lapar ketika berpuasa.
Tip puasa 4: berbuka dengan cara anda sendiri

Sekiranya anda belum biasa untuk berbuka dengan makan buah kurma, ia tidak mengapa.
Makan buah kurma ketika berbuka adalah satu sunnah sahaja, dan ia bukanlah satu kewajipan.
Begitu juga dengan bersahur, jika anda tidak biasa makan nasi pada waktu awal pagi, makanlah apa sahaja yang anda gemari.
Selagi mana ia makanan yang halal, maka makanlah sebagai hidangan berbuka puasa atau bersahur.
Tip puasa 5: beribadat sekadar kemampuan anda
Bulan puasa juga adalah bulan ibadat, dimana umat Islam berlumba-lumba melakukan pelbagai amal kebajikan dan juga ibadat.
Namun, jika anda tidak terbiasa melakukan banyak ibadat setiap hari, ia juga tidak mengapa.
Anda tidak perlu mengikuti gaya orang lain dengan bersolat Tarawih 20 rakaat sekiranya anda benar-benar tidak mampu untuk melakukannya.
Tetapkan satu matlamat yang realistik setiap hari sesuai dengan kemampuan anda.
Ini untuk mengelakkan anda menjadi kecewa yang akhirnya berputus asa untuk melakukan ibadat sepanjang Ramadan.
Kesimpulan
Golongan mualaf tidak sama dengan golongan mukallaf. Kemampuan mualaf agak berbeza dengan individu yang sedia beragama Islam dan kita tidak boleh menyamakan segala amalan mereka dengan kita.
Mereka memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan amalan berpuasa.
Oleh itu, berikan banyak galakan serta sokongan untuk mereka terus kuat melakukan ibadat puasa dan mendekatkan diri dengan Allah Taala.