Bolehkah Waris Bukan Islam Menerima Wasiat Orang Islam? Ini Jawapan Yang Anda Patut Baca

Seorang Muslim dan mualaf tidak boleh membahagikan harta pusakanya mengikut kaedah faraid kepada orang bukan Islam. Ini kerana, perbezaan agama menghalang pewarisan harta pusaka walaupun penerimanya itu adalah ahli keluarganya sendiri. Namun, ada satu kaedah lain yang boleh digunakan iaitu wasiat. Bagaimana kaedah wasiat dalam Islam?

Maksud wasiat dalam Islam

Wasiat boleh diertikan sebagai satu pengakuan, pesanan atau arahan daripada seseorang individu agar hartanya diberikan kepada pihak atau individu yang lain.

Harta wasiat itu mestilah dimaksudkan kepada tujuan-tujuan yang dibenarkan oleh syarak seperti untuk membuat kebajikan.

Apabila seseorang telah meninggal dunia, wasiat akan ditunaikan terlebih dahulu.

Kemudian, barulah baki hartanya akan dibahagikan mengikut sistem faraid.

Dalil pensyariatan wasiat dalam Islam

Kaedah pembahagian atau pemberian harta melalui wasiat ini sememangnya disyariatkan dalam Islam.

Allah telah berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat ke-11 yang bermaksud:

“…Pembahagian faraid itu ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya….”

Dalam ayat ini, Allah ada menjelaskan bahawa wasiat itu sememangnya dibenarkan dalam Islam.

Wasiat juga perlu dilaksanakan dan ditunaikan terlebih dahulu bersama penjelasan hutang-hutang, sebelum dibahagikan mengikut sistem faraid. 

Waris tidak boleh menerima wasiat

Wasiat dalam islam

Dalam sistem pusaka Islam, seseorang waris tidak boleh dan tidak berhak untuk menerima wasiat.

Ada satu riwayat yang berbunyi dengan maksud seperti berikut:

“Tiada sebarang wasiat bagi waris.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Waris tidak berhak menerima wasiat kerana waris sudah mempunyai hak atau bahagiannya dalam sistem faraid.

Jika masih terdapat wasiat si mati yang dinamakan atas nama warisnya, maka wasiat tersebut dianggap terbatal kecuali jika mendapat persetujuan kesemua waris-waris yang lain. 

Bolehkah seorang mualaf mewasiatkan hartanya kepada ahli keluarga bukan Islam?

Wasiat dalam islam

Dalam sistem pengurusan pusaka Islam, individu bukan Islam hanya tidak berhak keatas harta pusaka yang termasuk sebahagian daripada sistem faraid.

Namun, bagi wasiat, mereka boleh menerimanya sekiranya si mati ada mewasiatkan harta untuk mereka semasa dia masih hidup.

Tiada sebarang dalil yang menghalang orang bukan Islam untuk menerima wasiat daripada harta orang Islam.

Wasiat adalah satu kaedah untuk memberikan harta kepada ahli keluarga atau waris terdekat yang bukan beragama Islam.

Pemberian harta melalui kaedah wasiat ini adalah atas dasar kekeluargaan, bukan kerana redha dengan kekufuran mereka. 

Kesimpulan 

Jelas sekali, orang bukan Islam boleh menerima harta yang diwasiatkan oleh orang Islam.

Tiada halangan untuk mereka menerimanya, dan tiada juga halangan untuk orang Islam membuat wasiat kepada ahli keluarga yang bukan Islam.

Dengan kata yang lebih mudah, orang bukan Islam tidak boleh menerima harta pusaka, tetapi boleh menerima harta yang diwasiatkan.

Wallahu’alam. 

Rujukan: 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *