Kaum Cina di Malaysia amat sinonim dikaitkan dengan agama atau ajaran Buddha. Namun, tahukah anda sebenarnya terdapat beberapa lagi ajaran utama lain yang dianuti atau dipercayai oleh masyarakat Cina.
Berikut adalah 3 ajaran utama atau kepercayaan yang dipegang oleh masyarakat Cina.
#1. Ajaran Buddha

Walaupun ajaran Buddha sebenarnya lebih popular atau berkembang dengan pesat di China, ia sebenarnya diasaskan di India oleh seorang putera raja bernama Siddhartha Gautama.
Siddharta Gautama adalah individu yang kini dikenali dengan nama Buddha. Dalam ajaran Buddha, ia menekankan falsafah pembangunan diri selain mendapat keilmuan daripada ajaran spiritual dan amalan meditasi.
Terdapat dua mazhab utama yang wujud dalam agama Buddha iaitu Theravada dan juga Mahayana.
Ajaran Buddha mula menyebar dan terkenal di China disebabkan oleh konsep ajarannya yang hampir menyerupai ajaran Tao sehingga memudahkan masyarakat Cina menerima ajaran ini dengan mudah.
Pada ketika itu, majoriti masyarakat Cina berpegang kepada ajaran Tao sebagai pegangan hidup mereka.
Selain itu, pendeta agama Buddha juga menggunakan konesp-konsep yang ada dalam falsafah Tao untuk menjelaskan mengenai agama Buddha kepada orang-orang Cina pada suatu ketika dahulu.
#2. Konfusianisme

Pada zaman dahulu, Konfusianisme adalah salah satu falsafah yang menjadi panduan hidup utama bagi orang-orang Cina. Ia lebih kepada sistem falsafah dan etika yang perlu dipegang dalam kehidupan manusia.
Pengasas kepada falsafah Konfusianisme adalah Kong Hu Cu, yang lebih dikenali sebagai Konfusius. Beliau merupakan seorang ahli falsafah pada zaman Cina purba.
Ajaran Konfusianisme lebih menekankan kepada konsep kemanusiaan dimana setiap individu perlu melayan individu lain dengan cara yang sama seperti kita ingin dilayan.
Tidak seperti ajaran agama lain, falsafah Konfusianisme tidak menekankan ritual-ritual keagamaan seperti ketuhanan, kepercayaan kepada dewa-dewi dan kehidupan selepas kematian.
Disebabkan konsep seperti ini, Konfusianisme lebih dikategorikan sebagai satu pegangan falsafah berbanding ajaran agama.
#3. Tao

Tao atau juga disebut Dao, mempunyai sedikit perbezaan dengan ajaran Konfusianisme. Jika ajaran Konfusianisme tidak melibatkan ritual keagamaan, ajaran Tao pula lebih menekankan unsur kerohanian kepada penganutnya.
Dalam prinsip ajaran Tao, mereka menekankan keseimbangan antara manusia dan juga dunia. Manusia digalakkan untuk melakukan perkara yang hanya bersifat semula jadi sahaja agar keseimbangannya terjaga.
Melalui ajaran Tao inilah, konsep Yin dan Yang itu terbentuk, iaitu penekanan terhadap konsep keharmonian dan keseimbangan.
Ajaran Tao ini banyak mempengaruhi bidang sains, perubatan tradisional, kesusateraan dan juga kesenian masyarakat Cina.
Ini disebabkan oleh cara ajaran Tao melihat alam semula jadi tersebut yang mungkin berubah hasil daripada tindakan manusia.
Ajaran Buddha, Tao dan Konfusianisme diserap bersama
Disebabkan konsep ketiga-tiga ajaran atau falsafah ini tidak mempunyai banyak perbezaan, masyarakat Cina telah menyerap ketiga-ketiga elemen ajaran ini dalam kehidupan mereka.
Selain itu, disebabkan perkembangan ketiga-tiga ajaran ini telah lama berlaku dan berasimiliasi sejak daripada zaman Cina purba, maka ketiga-tiganya dilihat sebagai satu ajaran yang sama.
Nilai dan konsep tiga ajaran ini juga masih dipegang oleh masyarakat Cina sehingga kini walaupun ada sesetengahnya telah memeluk ajaran agama lain.
Rujukan:
https://www.nationalgeographic.org/article/chinese-religions-and-philosophies/