Idris Tawfiq, Bekas Paderi Yang Menangis Kerana Surah Al-Maaidah

Terdapat beberapa individu terkenal yang pada asalnya beragama Kristian, telah memeluk agama Islam. Pada kali ini, kami akan menceritakan mengenai seorang Muslim yang sebelum ini adalah merupakan seorang paderi Kristian. Ini kisah mengenai Idris Tawfiq.

Sedikit mengenai kehidupan Idris Tawfiq

Sebelum memeluk Islam, Idris Tawfiq adalah seorang paderi bagi agama Kristian.

Beliau mendapat pendidikan dalam ilmu teologi Kristian dari Pontifical University of Saint Thomas Aquinas di Rom, Itali.

Sebelum memeluk Islam, Idris Tawfiq adalah seorang paderi Katolik yang sangat taat dengan ajaran agamanya.

Beliau kemudiannya meninggalkan kerjayanya sebagai seorang paderi kerana berasa dirinya kekosongan dan kesunyian.

Dia meneruskan kerjaya hidupnya sebagai seorang guru pengajian agama.

Beliau mula jatuh cinta dengan agama Islam setelah melihat kanak-kanak Muslim dalam kelasnya selain terpaksa mengajar mengenai ajaran Islam dalam kelasnya. 

Pandangan pertama terhadap Islam di Mesir

idris tawfiq

Salah satu perkara yang mengubah pemikiran dan pandangannya terhadap Islam ialah saat dia ke Mesir untuk bercuti.

Dia menyedari bahawa orang Islam adalah sangat baik.

Sebelum beliau ke Mesir, beliau juga mempunyai fikiran yang sama seperti orang lain mengenai agama Islam.

Dia menganggap bahawa Islam adalah agama yang bermasalah dan mempunyai imej yang berkaitan keganasan seperti peperangan dan pengebom berani mati.

Namun, segalanya berubah sejak di melihat sendiri kehidupan orang-orang Islam di Mesir.

Beliau melihat bagaimana penjaja dan penjual meninggalkan barang jualan dan premis mereka dan terus ke masjid sejurus mendengar laungan azan.

Beliau melihat bagaimana kuatnya keyakinan dan keimanan orang Islam terhadap Allah.

Beliau melihat orang Islam tekun bersolat, berpuasa, bersedekah dan memasang impian untuk ke Mekah. 

Mengenal Islam dengan lebih mendalam dalam kelas

Beliau bekerja sebagai seorang guru yang mengajar subjek Pengajian Agama-agama.

Pengajian agama ini merupakan satu-satunya subjek wajib dalam sistem pendidikan di United Kingdom.

Beliau banyak mengajarkan agama-agama utama dunia seperti Kristian, Islam, Yahudi, Buddha dan lain-lain lagi.

Sebagai seorang guru, beliau banyak membaca mengenai agama-agama ini sebelum masuk ke kelas dan mula mengajar.

Kebanyakan murid yang diajarnya adalah pelarian Arab yang beragama Islam.

Beliau bukan hanya mengenali Islam daripada silibus pengajaran sahaja, tetapi juga daripada murid-murid di kelas beliau.

Beliau melihat, kanak-kanak Muslim ini tidak seperti kanak-kanak lain yang bermasalah.

Melalui pemerhatiannya, kanak-kanak Muslim adalah kanak-kanak yang sopan dan sangat baik.

Murid-muridnya juga pernah meminta kebenarannya untuk bersolat dalam kelasnya sewaktu bulan Ramadan.

Beliau membenarkannya dan sering melihat kanak-kanak ini bersolat dari belakang sepanjang bulan Ramadan.

Beliau juga sering berpuasa bersama murid-muridnya untuk menaikkan motivasi mereka berpuasa dan belajar dalam masa yang sama. 

Mengalirkan air mata disebabkan ayat daripada Surah Al-Maaidah

Pada satu hari, beliau ada membaca terjemahan ayat 83 daripada Surah Al-Maaidah yang berbunyi:

“Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui melalui Kitab mereka dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran, oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w.”

Sejurus selepas membaca terjemahan ayat tersebut, air matanya berguguran jatuh sehingga tidak dapat disorok daripada dilihat oleh muridnya di dalam kelas.

Keesokan harinya, beliau mula mempertikaikan banyak hal seperti sikap orang British terhadap orang Islam.

Ini termsuklah mengaitkan agama Islam dengan keganasan. 

Peluk Islam di hadapan Yusuf Islam 

idris tawfiq

Satu hari, Idris Tawfiq pergi ke masjid terbesar di London, London Central Mosque untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Islam.

Sewaktu beliau masuk ke masjid tersebut, beliau ternampak Yusof Islam (Cat Stevens) sedang bercakap dengan beberapa individu lain mengenai Islam.

Beliau ada bertanya kepada Yusof Islam, “Apa yang sebenarnya anda lakukan untuk menjadi seorang Muslim?”.

Yusof Islam menjawab, orang Islam perlu percaya kepada hanya satu Tuhan sahaja, sembahyang lima kali sehari dan berpuasa sewaktu bulan Ramadan.

Idris Tawfiq pun menyatakan bahawa dia percaya semua perkara tersebut dan pernah berpuasa Ramadan.

Kemudian, Yusuf Islam terus bertanya kepadanya, apa yang ditunggunya lagi? Idris menjawab bahawa dia tidak berniat untuk menukar agama.

Saat itu, azan mula berkumandang menandakan waktu solat.

Dia melihat semua orang bersedia untuk bersolat dan berdiri dalam saf masing-masing.

Idris kemudiannya berdiri di bahagian belakang dan menangis.

Dia mempersoalkan tindakan dirinya yang tidak selari dengan kemahuan semula jadi dirinya.

Selepas orang-orang siap bersolat, Idris kembali berjumpa dengan Yusof Islam dan memintanya mengajarkannya kalimah Syahadah.

Selepas Yusuf Islam menerangkan maksudnya dalam Bahasa Inggeris, Idris melafazkan Syahadahnya dan sekali lagi menangis selepas itu. 

Peranan Idris Tawfiq dalam dunia Islam

Selepas memeluk Islam, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting.

Antaranya sebagai Pengarah Pusat Kajian Pascasiswazah di Al-Fatih Islamic Institute, Syria.

Beliau juga pernah menjadi pensyarah di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Beliau juga banyak menghasilkan buku-buku dakwah.

Beliau meninggal dunia pada tahun 2016 akibat komplikasi penyakit.

Semoga Allah merahmati rohnya dan menempatkannya dalam golongan yang soleh. 

Rujukan:

https://www.humanappeal.org.uk/events/idris-tawfiq-the-road-to-makkah/

https://www.bbc.com/news/uk-england-cambridgeshire-12447396#:~:text=A%20Roman%20Catholic%20priest%20who,raise%20awareness%20and%20foster%20tolerance.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *