fbpx

Mengapa Ada Yang Digelar Sebagai Mualaf Walaupun Belum Lagi Memeluk Islam?

Kongsi ilmu:

Kita biasa mengenali mualaf sebagai golongan atau mereka yang baru sahaja memeluk Islam. Tetapi tahukah anda, mualaf juga boleh ditujukan kepada mereka yang belum memeluk Islam. Ini maksud mualaf yang sebenarnya.

Maksud mualaf menurut istilah

Perkataan mualaf sering dirujuk kepada lafaz atau kalimah “Muallafah Qulubuhum” yang terdapat dalam Al-Quran.

Lafaz tersebut membawa maksud golongan yang perlu dilembutkan hatinya kerana sifat mereka yang cenderung kepada agama Islam walaupun masih belum memeluk Islam.

Selain itu, lafaz tersebut juga membawa maksud golongan yang perlu dikuatkan keislaman mereka atau mereka yang baru sahaja memeluk Islam.

Ia juga membawa makna golongan yang perlu dijauhkan kejahatan mereka terhadap orang-orang Islam.

Daripada tiga pengertian yang diberikan ini, ia jelas menunjukkan bahawa maksud mualaf tidak hanya merujuk kepada mereka yang baru sahaja memeluk Islam.

Dalam istilah syarak, ia juga boleh merujuk kepada mereka yang masih belum memeluk Islam dalam beberapa keadaan tertentu

Maksud mualaf menurut pengertian mazhab-mazhab

Untuk memahami maksud mualaf serta pengkategorian mereka dengan lebih terpecrinci, kita boleh melihat maksud mualaf ini berdasarkan pendapat mazhab-mazhab. 

Mazhab Syafie

Maksud Mualaf

Menurut pandangan mazhab Syafie, mualaf bermaksud golongan yang dijinakkan atau dilembutkan hati mereka dan mereka telah memeluk agama Islam.

Mereka diberikan zakat untuk menguatkan lagi pegangan mereka dengan agama Islam yang baru dianuti.

Pendapat daripada Imam Syafie ini menjelaskan bahawa hanya mereka yang telah memeluk Islam sahaja yang berhk dibeikan zakat di bawah asnaf mualaf.

Manakala mereka yang masih belum memeluk Islam, tidak layak diberikan bantuan zakat. 

Mazhab Hanafi

Dalam pandangan mazhab Hanafi, tidak terdapat sebarang pengertian mualaf secara terperinci.

Namun, mazhab ini lebih cenderung untuk membahaskan soal pemberian zakat kepada golongan mualaf.

Majoriti ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa, hak golongan mualaf untuk mendapat zakat telah gugur sejak kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

Ulama’ fiq mazhab Hanafi berpndangan bahawa Allah telah memuliakan agama Islam dan Islam adalah sebuah agama yang kuat dan agung.

Mazhab Maliki

Maksud Mualaf

Dalam mazhab Maliki, golongan mualaf ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu mualaf daripada golongan kafir dan juga Muslim.

Bagi golongan kafir, ia bermaksud mereka yang diberikan bantuan zakat supaya dilembutkan hati mereka untuk memeluk Islam.

Bagi golongan Muslim pula, mualaf adalah mereka yang telah memeluk Islam dan diberikan zakat agar semakin teguh pegangan agama mereka.

Dalam pemberian zakat, ada pendapat dalam mazhab ini yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk diberikan zakat kepada golongan kafir.

Namun, pendapat yang paling masyhur mengenai hukum pemberian zakat kepada golongan kafir ini ialah ia telah dimansuhkan.

Memandangkan agama Islam telah kuat, maka pemberian zakat kepada golongan kafir untuk mendapatkan pertolongan mereka telah dihentikan. 

Mazhab Hanbali

Menurut pandangan mazhab Hanbali, mualaf dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan kafir dan juga Muslim.

Bagi golongan kafir, ia membawa maksud pemimpin satu kelompok yang diharapkan agar mereka memeluk Islam atau diharapkan untuk menghentikan kejahatan mereka ke atas orang Islam.

Ia juga membawa maksud pemimpin Muslim yang diharapkan agar pengikutnya yang bukan Islam akan memeluk Islam.

Bagi golongan yang telah memeluk Islam, pemberian zakat bertujuan untuk menguatkan akidah mereka dengan agama Islam. 

Rujukan:


Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *