Suatu ketika dahulu, nama Yusuf Estes amat dikenali ramai kerana kaedah dakwahnya yang menarik minat ramai orang termasuklah mereka yang bukan Muslim.
Tambahan pula, Yusuf Estes sendiri adalah seorang bekas penganut agama Kristian.
Apa kisah menarik disebalik pengislaman Yusuf Estes?
Kehidupan awal Yusuf Estes
Nama sebenar Yusuf Estes sewaktu dilahirkan ialah Joseph Edward Estes.
Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga beragama Kristian dan bermazhab Protestan di Ohio, Amerika Syarikat pada tahun 1944.
Dia kemudiannya dibaptiskan di Disciples of Christ Church di Texas pada tahun 1956.
Ketika dewasa, dia pernah mengusahakan kedai muzik bermula tahun 1970-an hinggalah awal tahun 1990-an.
Pada masa yang sama, beliau pernah menjadi pengarah (music minister) bagi kumpulan muzik gereja yang bertanggungjawab ke atas kumpulan koir, gubahan lagu dan juga bertindak sebagai pemain organ gereja.
Beliau juga pernah menjadi salah seorang mubaligh Kristian sebelum dia mula memeluk Islam.
Pertemuan Yusuf Estes dengan seorang lelaki

Seperti kebanyakan mualaf lain, Yusuf Estes juga mula mempersoalkan beberapa perkara berkenaan ajaran Kristian ketika dia telah dewasa.
Dia mengetahui bahawa orang-orang Islam juga percaya kepada kewujudan Nabi Isa atau Jesus.
Dia mengetahui bahawa orang Islam menganggap Jesus sebagai utusan dan nabi, bukannya sebagai Tuhan yang perlu disembah.
Satu hari pada tahun 1991, bapanya ingin menjalinkan kerjasama perniagaan dengan seorang lelaki Muslim dari Mesir. Bapanya meminta berjumpa dengan lelaki ini.
Pada awalnya, dia menolak cadangan bapanya untuk bekerjasama dengan orang Islam.
Dia mengatakan bahawa orang Islam adalah ganas, penjenayah, pengganas dan bermacam-macam lagi.
Namun, bapanya menggesanya untuk berjumpa dengan lelaki ini terlebih dahulu dan dia akhirnya akur.
Saat berjumpa lelaki ini kedai muzik bapanya, dia terkejut kerana lelaki yang ingin dijumpainya itu bukanlah seperti yang dibayangkannya.
Imej lelaki tersebut bukanlah seperti kebanyakan lelaki Islam lain seperti memakai serban atau mempunyai jambang.
Dia kemudiannya bertanya kepada lelaki tersebut berkenaan kepercayaannya terhadap Adam, Hawa, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, dan Nabi Isa.
Setelah dia berpuas hati, barulah dia bersetuju untuk lelaki Muslim ini bekerjasama dengan perniagaan bapanya. Lelaki tersebut dikenali dengan nama Mohamed.
Pengislaman paderi yang dikenali
Pernah satu ketika, Mohamed terpaksa keluar dari kediamannya dan tinggal di masjid.
Yusuf Estes menjemput lelaki tersebut untuk tinggal bersamanya di rumahnya kerana dia sudah mengenali lelaki tersebut.
Mereka tinggal bersama untuk jangka masa yang agak lama.
Satu hari, ada seorang rakan Yusuf Estes yang juga seorang paderi ingin mengajak Mohamed untuk menemaninya ke masjid bagi melihat rumah ibadat orang Islam.
Paderi tersebut dan Mohamed pergi ke masjid manakala Yusuf hanya menunggu di rumah sahaja.
Setelah mereka pulang, Yusuf bertanya kepada paderi mengenai keadaan di masjid.
Paderi tersebut hanya menyatakan bahawa orang Islam bersembahyang dan terus keluar dari masjid. Tidak seperti di gereja yang mempunyai ucapan dan juga nyanyian.
Pada hari berikutnya, paderi tersebut mengajak lagi Mohamed ke masjid tetapi pulang agak lewat sehingga merisaukan Yusuf.
Mereka pulang pada waktu lewat petang, tetapi dalam keadaan yang mengejutkan Yusuf.
Ini kerana paderi tersebut ternyata telah memeluk Islam. Dia terkejut mengenai hal tersebut dan berjumpa dengan isterinya di tingkat atas rumah.
Apa yang lebih mengejutkan, isterinya juga rupanya sudah lama ingin memeluk Islam kerana mengakui kebenarannya.
Satu keluarga memeluk Islam

Malam itu, Yusuf Estes menjadi keliru kerana orang di sekelilingnya sudah mula menemui kebenaran dalam Islam.
Dia mengejutkan Mohamed pada malam itu dan berbincang mengenai apa yang berlaku sehinggalah waktu Subuh.
Pagi itu, pada bulan Julai 1991, Yusuf Estes telah bersedia untuk mengucapkan syahadah.
Dia melafazkan syahadahnya di hadapan paderi yang telah memeluk Islam itu dan juga Mohamed.
Kemudian, isterinya juga mengucapkan syahadah selepasnya.
Ayahnya juga memeluk Islam selang beberapa bulan kemudian.
Anak-anaknya dikeluarkan dari sekolah mubaligh dan dihantar ke sekolah Islam.
Ibunya adalah individu terakhir yang memeluk Islam dalam keluarganya.
Penubuhan stesen TV dakwah
Dia amat terkenal dalam penerangannya mengenai Islam dan juga dakwah.
Dia berusaha memaparkan imej yang sebenar tentang Islam kepada masyarakat Barat.
Beliau mengembara ke pelusuk dunia seperti ke Mesir, Turki, Arab Saudi, Kuwait dan beberapa negara lain untuk mendalami Islam daripada ulama’-ulama’ di sana.
Dia juga menubuhkan stesen televisyennya sendiri dengan tujuan untuk berdakwah mengenai Islam.
Rujukan: