Jom Kenali Hidayah Centre Foundation, CEO-nya Ialah Tuan Nicholas Sylvester

Hidayah Centre Foundation (HCF) merupakan antara salah satu organisasi bukan kerajaan (NGO) yang banyak melakukan kerja-kerja dakwah di Malaysia.

Berikut adalah sedikit maklumat dan latar belakang Hidayah Centre Foundation.

Latar belakang penubuhan Hidayah Centre Foundation

hidayah centre foundation

Organisasi ini telah ditubuhkan secara rasminya pada tahun 2005 dan kekal aktif sehingga hari ini.

Ia ditubuhkan dengan tujuan mewujudkan hubungan yang baik antara pelbagai komuniti masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Selain itu, ia juga bertindak sebagai antara pusat sokongan utama bagi menyokong kehidupan saudara baru kita.

Pada tarikh 29 Februari 2012, Hidayah Centre Foundation telah diletakkan secara rasmi di bawah Biro Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Berikut adalah antara visi dan misi penubuhan organisasi ini:

  • Visi: menjadi sebuah badan bukan kerajaan yang unggul dalam outreach dan sokongan saudara baru
  • Misi: Hidayah Centre Foundation wujud untuk berkongsi mesej Islam yang sejagat kepada seluruh lapisan masyarakat, memperbetulkan salah faham terhadap Islam dan juga memberi sokongan kepada saudara baru sebagai tanggungjawab kemanusiaan. Hidayah Centre Foundation juga berjuang untuk mencapai misi ini dengan menjalinkan hubungan baik, memimpin dan membantu individu muslim dan organisasi Islam dalam usaha memperkasakan usaha yang sama di Malaysia dan rantau Asia Pasifik

Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre pada masa ini ialah Tuan  Nicholas Sylvester, yang juga adalah seorang mualaf.

Pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 2020, Tuan Nicholas Sylvester telah dipilih sebagai salah seorang tokoh penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul. 

Latihan dakwah oleh Hidayah Centre Foundation

Antara aktiviti yang sering mendapat sambutan yang dianjurkan oleh Hidayah Centre Foundation ialah Dakwah Masyarakat Majmuk (DMM).

Tujuannya adalah untuk melahirkan para pendakwah yang berkualiti daripada segi keilmuan dan kemahiran dakwah.

Dalam Modul Latihan DMM, terdapat tiga siri modul iaitu:

  • DMM 1.0: Dakwah Memang Mudah
  • DMM 2.0: Dakwah Makin Menarik
  • DMM 3.0: Dakwah Mesti Mantap

Selain itu, terdapat juga beberapa program latihan khusus lain yang dianjurkan oleh Hidayah Centre seperti Latihan Sokongan Mualaf, Dakwah Digital Training, Dakwah Master Training dan Mosque Tour Training. 

Aktiviti sokongan untuk saudara baru

hidayah centre foundation

Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti-aktiviti sokongan yang dianjurkan untuk menyokong kehidupan saudara baru.

Antara aktiviti sokongan untuk golongan mualaf ialah Kelas Bimbingan Mualaf, Mualaf Aid dan Program Kebudayaan.

Selain itu, terdapat juga pelbagai program yang bertujuan menarik minat orang bukan Islam untuk mengenali Islam dengan lebih baik.

Antara program tersebut ialah Masjid Open Day, Open Your Eyes Dinner, Street Dakwah dan juga Interfaith Dialogue. 

Rakan Hidayah: sukarelawan tetap HCF

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan bagi pihak HCF, anda boleh menyertai komuniti sukarelawan khas yang dikenali sebagai Rakan Hidayah.

Antara peranan sukarelawan Rakan Hidayah ialah membantu melaksanakan segala program dan aktiviti yang telah dirancang oleh pihak HCF.

Kebanyakan daripada Rakan Hidayah HCF adalah golongan belia dan remaja seperti penuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT). 

Cawangan di seluruh Malaysia

Bagi mendaftarkan diri dengan pelbagai aktiviti dan kursus di bawah HCF, anda bolehlah hadir dan mendapatkan maklumat lanjut di pejabat-pejabat HCF seluruh negara.

Kini, cawangan HCF telah ada di setiap negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. 

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *