HIKMAH Sarawak merupakan sebuah entiti dakwah utama yang diwujudkan khas di Negeri Sarawak.
Tujuannya adalah untuk berdakwah kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman negeri itu.
Berikut adalah sedikit sebanyak mengenai badan dakwah ulung di Sarawak ini.
Latar belakang ringkas penubuhan HIKMAH Sarawak

Sekitar tahun 60-an, didapati bahawa ada segelintir pelajar sekolah menengah di Sarawak yang mula berani mempersoalkan kewujudan Allah.
Bukan itu sahaja, ada juga yang mempertikaikan fungsi agama Islam dalam kehidupan selain mengatakan Islam sebagai kolot dan lapuk.
Kesemua kejadian ini adalah kesan daripada ajaran-ajaran pihak Barat yang meracuni pemikiran pelajar-pelajar sekolah yang menuntut di sekolah-sekolah mubaligh Kristian.
Disebabakan kejadian ini, Persatuan Kebajikan Islam (PKIS) telah menganjurkan satu kongres yang dinamakan sebagai Kongres Islam Malaysia Timur pada 3 hingga 5 Mei 1968.
Antara tujuan kongres ini diadakan adalah untuk mengumpulkan para ulama dan pemikir di Negeri Sarawak dan Sabah bagi memikirkan keadaan dan masa hadapan orang-orang Islam di kedua-dua buah negeri.
Hasil daripada kongres ini juga, maka lahirlah sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang dinamakan Angkatan Nahdatul Islam Bersatu atau ringkasnya BINA.
HIKMAH Sarawak pula merupakan ringkasan bagi Harakah Islamiah.
Ia merupakan sebuah pertubuhan yang ditubuhkan hasil daripada kesinambungan Angkatan Nahdatul Islam Bersatu atau BINA Sarawak.
Nama BINA ditukarkan kepada HIKMAH melalui satu resolusi yang dicapai antara para perwakilan BINA.
Pertubuhan ini diwujudkan secara rasmi pada 18 September 1993 dalam Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan BINA Ke-11.
HIKMAH Sarawak merupakan satu medium baharu atau medium lanjutan daripada BINA bagi meneruskan kerja-kerja dakwah Islam di Negeri Bumi Kenyalang ini.
Objektif penubuhan HIKMAH Sarawak
Berikut adalah objektif mengapa HIKMAH ditubuhkan:
- Memperkasakan tahap profesionalisme perkhidmatan dakwah Islam di Sarawak.
- Memperkemaskan bimbingan ke arah kefahaman sebenar mengenai Islam sebagai ‘Addin’ kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.
- Memantapkan penghayatan ‘Nilai-nilai Islam Sebagai Teras Kecemerlangan Ummah’.
Visi dan misi HIKMAH Sarawak

Visi utama gerakan dakwah ini adalah untuk menjadi sebuah gerakan dakwah yang unggul dan juga syumul.
Misinya pula adalah untuk memperkasakan program-program dakwah bagi melahirkan insan yang kamil.
Selain itu, segala sumber dan dana yang diterima akan ditadbir urus dengan cekap dan berkesan.
Pertubuhan ini juga akan melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan dakwah dan Islam.
Program-program dakwah anjuran HIKMAH
Terdapat pelbagai jenis program dan aktiviti yang telah dirangka dan dilaksanakan oleh HIKMAH Sarawak.
Ia menyasarkan kepada tiga kelompok utama iaitu kemasyarakatan, wanita dan juga belia.
Bagi program kemasyarakatan, antara program-program anjuran HIKMAH ialah seperti Ziarah Dakwah, Kursus Kefahaman Islam, Bicara Hikmah, Program Safari Ramadan, Ibadah Qurban HIKMAH, Program Penggerak Dakwah dan Klinik Bergerak Dakwah.
Untuk wanita pula, terdapat beberapa program khas yang dirangka iaitu Kem Wanita Solehah, Konvensyen Kepimpinan HELWA dan Konvensyen Majlis Ta’lim Wanita Saudara Kita.
Begitu juga dengan golongan remaja yang tidak dilupakan. Ada beberapa program khas untuk golongan belia dan remaja seperti Khemah Ibadah, Kursus Intensif Islam, Kursus Kepimpinan Islam, Kelab Remaja HIKMAH, dan Kem Anak Soleh.
Kesimpulan
Sesungguhnya, penubuhan HIKMAH Sarawak telah melalui satu perjalanan yang panjang.
Ia tidak mudah untuk diteruskan tanpa sokongan kita semua.
HIKMAH yang telah ditubuhkan sejak sekian lama adalah bukti bahawa kerja-kerja dakwah perlu diteruskan dari masa ke masa oleh generasi yang seterusnya.
Rujukan: