Ada sebahagian daripada kita yang sedikit runsing berkenaan soal memberi hadiah atau menerimanya daripada orang bukan Islam.
Kerunsingan ini timbul disebabkan oleh isu halal haram hadiah tersebut. Apakah jawapannya?
Harus hukumnya memberi hadiah kepada bukan Muslim
Sebenarnya, tidak timbul persoalan sama ada dibenarkan atau tidak untuk memberikan hadiah kepada mereka yang bukan Islam.
Ini kerana, Islam mengharuskan perbuatan ini kerana ia boleh menggalakkan kasih sayang antara sesama manusia.
Ada satu kisah di mana Nabi Muhammad menerima hadiah sehelai pakaian tetapi tidak memakainya dan memberikan pakaian tersebut kepada Saidina Umar Al-Khattab.
Saidina Umar Al-Khattab enggan memakainya kerana Nabi juga tidak memakainya.
Nabi kemudiannya menyatakan kepada Saidina Umar bahawa pakaian tersebut diberikan kepadanya bukan untuk dipakai.
Lalu, Saidina Umar pun mengambil keputusan dengan menghadiahkan pakaian tersebut kepada saudaranya yang bukan Muslim.
Contoh daripada kisah ini menunjukkan bahawa, kita tidak dilarang sama sekali untuk memberikan hadiah kepada mereka yang bukan Islam.
Bagaimana pula dengan hadiah daripada mereka yang bukan Islam? Adakah halal untuk kita menerimanya?

Sama sahaja hukumnya dengan memberi hadiah kepada mereka yang bukan Islam.
Hukum menerima hadiah daripada mereka juga adalah harus iaitu dibenarkan.
Tidak timbul persoalan daripada sumber manakah wang yang digunakan untuk membeli hadiah tersebut.
Ini kerana, soal mengenai sumber wang atau harta yang digunakan untuk membeli hadiah tersebut adalah di lapisan kedua.
Lapisan pertama yang kita perlu lihat hanyalah hukum pemberian hadiah itu sahaja.
Pemberian hadiah daripada golongan bukan Islam adalah halal dan kita diharuskan untuk menerimanya.
Nabi Muhammad sendiri pernah menerima beberapa hadiah daripada pemimpin bukan Islam.
Baginda pernah menerima hadiah dari pemimpin Kerajaan Parsi dan juga Rom walaupun mereka bukan Islam.
Baginda ada menerima hadiah seperti baju kulit dan juga sutera bukan asli daripada mereka.
Namun, baginda Nabi tidak pernah menolaknya apatah lagi mempersoalkan harta yang digunakan bagi membeli hadiah tersebut.
Nabi sendiri menggalakkan memberi hadiah
Nabi Muhammad pernah bersabda:
“Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”.
(Riwayat Al-Bukhari)
Daripada maksud hadis ini, ia jelas menerangkan bahawa Nabi Muhammad sendiri menggalakkan kita untuk saling memberi hadiah.
Ini kerana, pemberian hadiah itu boleh menggalakkan perasaan cinta dan sayang antara satu sama lain.
Jangan sesekali ‘buruk siku’

Apa yang paling penting, jangan sesekali meminta kembali hadiah yang telah diberikan kepada penerimanya.
Dalam istilah masyarakat kita, ia disebut sebagai buruk siku.
Islam melarang kita untuk meminta kembali hadiah yang telah kita berikan kepada seseorang.
Larangan ini hanya terkecuali bagi ibu bapa yang meminta kembali pemberian yang telah diberikan kepada anaknya.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
“Orang yang meminta semula hadiahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”.
(Riwayat Al-Bukhari)
Nabi menggambarkan mereka yang meminta kembali hadiah yang telah diberikan sama seperti mereka yang menjilat kembali muntahnya sendiri.
Kesimpulan
Hukum menerima hadiah atau memberikan hadiah kepada orang bukan Islam adalah harus dan dibenarkan.
Kita juga tidak perlu memikirkan sumber wang atau harta yang mereka gunakan untuk membelikan hadiah tersebut.
Apa yang lebih penting, kita menerima hadiah tersebut dengan hati yang terbuka.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2017). Fiqah Hubungan Etnik. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4200-al-kafi-1614-hukum-meminta-semula-hadiah