“Masuk Islam Sebab Nak Kahwin Lah Tu”. Ini Sebabnya Kita Tak Boleh Bercakap Sebegini

Mungkin kita pernah mendengar beberapa tanggapan yang negatif terhadap orang bukan Islam yang ingin memeluk Islam. Ada yang mengatakan, mereka ini memeluk Islam kerana berkahwin semata-mata.

Persoalannya, adakah kita perlu mempunyai perasaan sangsi dan curiga kepada niat golongan bukan Islam untuk memeluk Islam?

Beberapa tanggapan terhadap golongan bukan Islam

Terdapat sebahagian daripada umat Islam yang mempersoalkan niat orang bukan Islam untuk memeluk Islam.

Antara tanggapan yang sering dilemparkan kepada orang bukan Islam ini ialah memeluk Islam kerana berkahwin dengan pasangan mereka yang beragama Islam.

Selain itu, ada juga orang Islam yang menyatakan mereka ini hanya ingin mengaut keuntungan daripada zakat dan juga sedekah oleh orang Islam.

Ada juga yang menuduh niat orang bukan Islam ini sebagai cara untuk merosakkan Islam daripada dalam. 

Adakah kita perlu mencurigai hasrat orang bukan Islam untuk memeluk Islam

memeluk islam kerana berkahwin

Tanggapan negatif ini sangat tidak wajar. Pertama sekali, kita tidak perlu mempersoalkan hasrat dan niatnya untuk memeluk Islam.

Soal niatnya itu bukanlah tugas kita untuk menghakimi dan menentukannya.

Apa yang ada di dalam hati seseorang individu tersebut hanya diketahui oleh Allah Taala.

Jika kita terus mencurigai dan menuduh dengan tuduhan yang bukan-bukan, maka orang bukan Islam akan semakin menjauh daripada Islam.

Apa yang perlu kita lakukan ialah menyambut niat baik mereka dengan tangan terbuka.

Adalah lebih baik jika kita memandu mereka agar mereka dapat memeluk Islam dengan lebih mudah dan berkeyakinan.

Kita mungkin tidak mampu untuk berdakwah sepenuh masa, tetapi jangan pula menghalang niat baik mereka untuk memeluk Islam.

Tunjuk ajar adalah lebih diperlukan berbanding cemuhan dan tanggapan negatif. 

Ambil pengajaran kisah Nabi memarahi Usamah Bin Zaid

Terdapat satu riwayat hadis yang menceritakan mengenai tindakan Usamah Bin Zaid yang kemudiannya menyebabkan Nabi marah kepadanya.

Pada satu ketika, Nabi telah mengutuskan satu pasukan untuk melawan orang-orang kafir daripada Bani Huraqah.

Semasa dalam pertempuran tersebut, Usamah Bin Zaid telah mengejar seorang musuh yang sedang melarikan diri.

Usamah beserta seorang Ansar telah mengepung ahli Bani Huraqah tersebut.

Pada ketika Usamah mahu membunuh lelaki tersebut, secara tiba-tiba lelaki tersebut mengucapkan kalimah Laa Ilaaha Ila Allah.

Lelaki Ansar tersebut tidak jadi membunuhnya, tetapi Usamah terus membunuh lelaki tersebut.

Ketika pasukan Islam kembali ke Madinah, Nabi telah pun mendengar mengenai hal tersebut. Nabi terus bertanya kepada Usamah:

“Adakah engkau tetap membunuhnya walaupun di telah mengucapkan Laa Ilaaha Ila Allah?.

Lalu Usamah pun menjawab:

“Wahai Rasulullah, dia mengucapkan kalimah tersebut hanya kerana ingin menyelamatkan dirinya sahaja”.

Nabi kemudiannya bertanya lagi kepada Usamah:

“Adakah engkau boleh membelah dadanya sehingga engkau tahu sama ada dia ikhlas mengucapkan kalimah tersebut atau tidak?.

Usamah menyatakan bahawa Nabi terus mengulang-ngulang soalan tersebut kepadanya.

Kisah menunjukkan kepada kita bagaimana Nabi tidak menerima tindakan Usamah tersebut walaupun Usamah telah memberikan alasan kepada baginda.

Nabi begitu marah kepada Usamah sehingga Nabi berkali-kali bertanyakan soalan yang sama kepadanya.

Hadis ini juga telah menjadi satu kaedah fiqah iaitu hukum hanya ditentukan berdasarkan apa yang dilihat atau zahir sahaja.

Manakala urusan yang tidak tidak dapat dilihat atau urusan di dalam hati, ia adalah urusan Allah dan bukan urusan manusia lagi. 

Setiap amalan adalah bergantung kepada niat

memeluk islam kerana berkahwin

Terdapat sebuah hadis terkenal mengenai niat dan perbuatan. Maksud hadis tersebut adalah seperti berikut:

Daripada Abi Hafs, Umar bin al-Khattab R.A katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang itu adalah berdasarkan apa yang diniatkannya. Maka sesiapa yang hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kerana Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang diinginkannya atau perempuan yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.”

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa setiap perbuatan kita akan mendapat ganjaran berdasarkan apa yang kita niatkan.

Jika seseoran itu memeluk Islam benar-benar kerana Allah, maka dia akan mendapat apa yang diniatkannya.

Jika dia berniat sebaliknya, maka dia juga akan mendapat apa yang diinginkannya.

Namun, ia bukanlah urusan kita untuk menghakimi atau menjatuhkan hukuman kepada mereka.

Kerana hanya Allah yang mengetahui setiap apa di dalam hati manusia.

Kita hanya perlu menggalakkan mereka untuk mudah mengenali Islam dan mengalu-alukan penerimaan mereka ke dalam Islam.

Hanya itu tugas kita sebaga seorang Muslim yang baik dan beriman.

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *