Diberikan satu situasi di mana ada satu pasangan suami dan isteri yang bukan Islam. Si suami kemudiannya mengambil keputusan memeluk agama Islam. Timbul satu persoalan di sini iaitu, adakah pernikahan mereka terbatal? Adakah pernikahan terbatal ini disebabkan oleh perbezaan agama?
Tidak boleh bernikah jika agama berbeza

Sebelum kita mengulas lanjut berkenaan situasi tersebut, adalah lebih elok kita memahami isu perkahwinan antara dua individu yang berlainan agama terlebih dahulu.
Dalam Islam, pernikahan antara seorang yang Islam dengan individu bukan Islam adalah tidak dibenarkan.
Tidak kira sama ada yang Muslim itu lelaki mahupun wanita, pernikahan berlainan agama tidak diiktiraf di sisi Islam.
Dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-221 ada menyebut, yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman; dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan-perempuan Islam dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran daripadanya.”
Bagaimana pula dengan pernikahan sedia ada? Adakah pernikahan terbatal secara automatik?

Namun, bagi pernikahan yang telah berlangsung sebelum memeluk Islam, ada beberapa perkara yang menentukan sama ada pernikahan itu masih berlangsung atau telah terbatal.
Kaedahnya adalah seperti berikut:
- Jika si suami mengambil keputusan memeluk agama Islam, maka pernikahan antara si suami dengan si isteri tersebut secara automatiknya terbatal. Namun, jika si isterinya mengambil keputusan memeluk Islam juga dalam tempoh tiga bulan selepas si suami memeluk Islam, maka mereka masih dianggap sebagai pasangan suami isteri. Pernikahan mereka masih lagi sah. Begitu juga keadaannya jika si isteri memeluk Islam terlebih dahulu, pernikahan mereka masih lagi tidak terbatal jika si suami memeluk Islam dalam tempoh tiga bulan selepas pengislaman isterinya. Tempoh tiga bulan ini adalah tempoh andaian kerana kita perlu mengikuti tempoh iddah.
- Jika si isteri memeluk Islam, tetapi si suami masih tetap tidak memeluk Islam, maka ada perkara yang perlu difahami di sini. Jika si suami pernah mengadakan hubungan kelamin bersama si isteri, dan si suami mengambil keputusan memeluk Islam dalam tempoh iddah, maka pernikahan antara keduanya masih lagi sah. Jika tidak berlaku hubungan kelamin antara si suami dan isteri, maka pernikahan terbatal sewaktu si isteri memeluk Islam.
Kesimpulan
Masalah seperti ini biasa akan timbul bagi golongan mualaf yang mempunyai pasangan yang masih tidak memeluk Islam.
Bagi golongan mualaf, cubalah menarik perhatian pasangan anda untuk memeluk Islam agar masalah seperti ini dapat dielakkan.
Rujukan:
- Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd
- https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3721-irsyad-al-fatwa-siri-ke-322-apakah-status-bagi-perkahwinan-suami-murtad-yang-menceraikan-isterinya