Apakah Status Agama Anak Jika Salah Seorang Ibu Atau Bapanya Memeluk Islam?

Bayangkan satu situasi di mana terdapat pasangan bukan Muslim yang telah berkahwin.

Kemudiannya, salah seorang daripada pasangan ini mengambil keputusan memeluk agama Islam.

Persoalannya, apakah status agama anak mereka?

Adakah anak mereka perlu mengikut agama bapa atau agama ibunya?

Isu status agama anak ini mendapat perbahasan yang pelbagai

Isu status agama anak ini sememangnya sering menjadi isu hangat dalam masyarakat kita.

Keputusan Kabinet Malaysia telah menyatakan bahawa seorang kanak-kanak itu perlulah dibesarkan mengikut agama asal ketika kedua ibu bapanya bernikah.

Sebagai contoh, jika ibu dan bapanya pada asalnya beragama Hindu ketika bernikah, maka anaknya perlu dibesarkan mengikut agama Hindu.

Namun, walaupun ada masyarakat yang bersetuju dengan keputusan ini, pasti ada juga yang menentangnya.

Mungkin kita perlu melihat kepada dua persoalan di bawah ini.

Persoalan 1: Adakah status agama anak diiktiraf keislamannya sekiranya dia mahu memeluk Islam?

Status agama anak

Dalam Islam, sekiranya seorang kanak-kanak itu memutuskan bahawa dia ingin memeluk Islam atau meneruskan pegangan agama Islamnya, maka ia diiktiraf oleh Islam.

Walaupun seorang kanak-kanak itu belum baligh dan juga tidak mempunyai tanggungjawab yang disyariatkan kepadanya, keislamannya tetap diterima.

Namun, kanak-kanak itu mestilah dalam usia mumayyiz mereka iaitu dapat membezakan apa yang baik dan juga buruk atau memahami perkara yang dilakukannya.

Nabi Muhammad pernah bertemu dengan Ibn Soyyad yang pada ketika itu masih kecil dan belum baligh.

Nabi ada meminta Ibn Soyyad untuk mengakui kerasulannya, lantas Ibn Soyyad menyatakan kesaksian sebagai orang Islam.

Perbuatan Nabi ini menunjukkan bahawa Nabi mengiktiraf pengislaman seorang kanak-kanak yang masih belum baligh.

Persoalan 2: Agama manakah yang perlu diiikuti oleh seorang kanak-kanak? Agama asalnya atau agama yang baru dianuti oleh salah seorang ibu bapanya?

Status agama anak

Imam Bukhari ada meriwayatkan bahawa Al-Hasan, Syuraih, Ibrahim dan Qatadah telah berkata:

“Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, maka anaknya itu perlulah mengikut ibu atau bapanya yang Muslim.”

Namun, ada juga pandangan yang menyatakan seperti berikut:

  • Jika bapanya memeluk agama Islam, maka anaknya juga diiktiraf sebagai seorang Islam
  • Jika ibunya memeluk Islam, maka anak tidak akan diiktiraf sebagai seorang Islam.

Pandangan ini melihat kepada nasab keturunan iaitu bapa kepada kanak-kanak tersebut.

Namun, ia adalah antara pendapat ulama’ terdahulu. 

Kesimpulan 

Kini, negara kita sudah mempunyai sistem undang-undang yang boleh menentukan status agama anak dengan lebih baik.

Kebanyakan isu status agama anak ditentukan mengikut semakan kehakiman di mahkamah yang menilai kedua-dua situasi di sebelah bapa dan juga ibu. 

Rujukan: 

  • Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, (2020). Fiqah Mualaf, Antara Tuntutan & Keutamaan. Telaga Biru Sdn. Bhd

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *