Syahadah Orang Bisu: Bolehkah Syahadah Diucapkan Dengan Bahasa Isyarat?

Bagaimanakah orang yang bisu dan pekak mengucapkan syahadah jika ingin memeluk Islam? Adakah syahadah orang bisu dikira sah dan diterima jika hanya menggunakan bahasa isyarat?

Allah tidak membebankan seorang hamba dengan perkara di luar kemampuannya

Allah Taala adalah tuhan yang adil.

Allah tidak akan membebankan seseorang manusia dengan tanggungjawab dan perkara di luar kemampuannya.

Allah Taala telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-286 yang bermaksud:

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya…”

Adakah sah syahadah orang bisu melalui bahasa isyarat?

Syahadah Orang Bisu

Menurut pandangan yang dikemukakan oleh Imam Nawawi, keislaman orang bisu yang mengungkapkan pengakuan syahadahnya menggunakan bahasa isyarat adalah sah dan diterima.

Imam Syafie pula menyatakan dalam kitab Al-Umm bahawa orang bisu yang mengucapkan dua kalimah syahadah perlu bersolat selepas itu, barulah dikira sah keislamannya.

Namun, pendapat Imam Syafie ini diguna pakai dalam konteks di mana tiada orang yang memahami bahasa isyarat tersebut.

Pendapat yang diterima pakai oleh kebanyakan ulama’ ialah pandangan seperti yang dikemukakan oleh Imam Nawawi.

Satu kaedah ada menyatakan bahawa, sebarang isyarat yang digunakan oleh orang yang bisu dan pekak adalah sama sahaja seperti mereka yang bercakap secara lisan. 

Islam memudahkan umatnya dalam beragama

Syahadah Orang Bisu

Jika seseorang itu mempunyai keadaan seperti bisu dan pekak, maka diringankan kemampuan ke atasnya untuk mengucapkan syahadah secara lisan.

Allah tidak akan membebankan sesuatu perkara kepada umatnya melebihi daripada kemampuan diri mereka.

Begitu juga dalam soal mengucapkan syahadah dalam bahasa lain, ia juga boleh dilakukan dengan mengucapkan syahadah dalam bahasa selain bahasa Arab.

Ini kerana tidak semua orang mampu melafazkan perkataan-perkataan Arab.

Namun, adalah lebih baik diucapkan dalam bahasa Arab terlebih dahulu, kemudiannya barulah diterjemahkan dan diucapkan dalam bahasa yang difahami oleh individu tersebut. 

Kesimpulan

Secara umumnya, tiada masalah untuk seorang yang bisu atau pekak untuk mngucapkan kalimah syahadah melalui penggunaan bahasa isyarat. Syahadah mereka sah dan diterima. 

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/3873-al-afkar-69-status-syahadah-orang-bisu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *