fbpx

Bolehkah Umat Islam Ucapkan Gong Xi Fa Cai Kepada Rakan Bukan Islam Yang Berbangsa Cina?

Kongsi ilmu:

Sambutan Tahun Baru Cina adalah merupakan salah satu perayaan wajib bagi masyarakat Cina di seluruh dunia. Warna merah serta ucapan Gong Xi Fa Cai akan mendominasi suasana sewaktu perayaan ini berlangsung.

Adakah orang Islam juga dibenarkan untuk mengucapkan ucapan Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Cina?

Ini penjelasannya.

Maklumat ringkas sambutan Tahun Baru Cina

ucapan gong x fa cai

Setiap tahun, perayaan sambutan Tahun Baru Cina diadakan bagi menyambut tahun baru dalam kalendar masyarakat Cina.

Masyarakat Cina percaya bahawa setiap tahun baru itu mempunyai kelebihannya yang tersendiri berdasarkan zodiak haiwan pada tahun tersebut.

Masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina selama 15 hari, dan akan merayakan Pesta Tanglung pada hari ke-15.

Secara ringkasnya, ada beberapa aktiviti yang akan dilakukan oleh masyarakat Cina sewaktu sambutan tahun baru ini.

Antaranya ialah:

  • Ahli keluarga akan bersama-sama membersihkan rumah dengan kepercayaan untuk membuang hantu dan juga sial
  • Acara makan besar atau makan beramai-ramai bersama seluruh ahli keluarga pada malam tahun baru
  • Mereka yang sudah berkahwin akan memberikan sampul berwarna merah atau ang pao kepada mereka yang belum berkahwin atau yang tidak bekerja
  • Kediaman akan dihiasai dengan hiasan tahun baru berwarna merah. Merah merupakan lambang nasib yang baik dan membawa tuah dalam kepercayaan masyarakat Cina

Secara umumnya, sambutan Tahun Baru Cina bukanlah satu perayaan yang berkaitan dengan agama atau akidah lain.

Sambutan ini adalah sebahagian daripada adat dan budaya masyarakat Cina yang menyambut tahun baru berdasarkan kalendar lunar Cina. 

Bolehkah orang Islam mengucapkan ucapan Gong Xi Fa Cai kepada rakan non-Muslim yang berbangsa Cina?

ucapan gong x fa cai

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan mengenai Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam.

Muzakarah telah memutuskan bahawa:

  • Sebarang amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  • Namun, sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan dalam Islam.
  • Memberikan ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail, SMS dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus. Namun, ucapan itu mestilah tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

Maksud ucapan Gong Xi Fa Cai yang sebenar bukanlah bermaksud “Selamat Tahun Baru” seperti yang sering kita fikirkan.

Ucapan ini sebenarnya membawa maksud “tahniah atas rezeki yang lumayan”.

Berdasarkan maksud ucapan Gong Xi Fa Cai ini, ia tidak mempunyai sebarang unsur-unsur keagamaan dan kepercayaan lain yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Oleh itu, tiada masalah untuk umat Islam mengucapkan ucapan tersebut kepada orang Cina memandangkan ia tidak bertentangan dengan akidah Islam.

Malah, ucapan ini juga boleh menjadi alat perpaduan antara sesama ahli masyarakat terutamanya kepada masyarakat Cina yang menyambut Tahun Baru Cina.

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1829-bayan-linnas-siri-48-hukum-menyambut-tahun-baru-cina

Kongsi ilmu:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *