Selain daripada amalan berpuasa yang diamalkan oleh orang Islam, ada juga beberapa agama lain di dunia ini yang mengamalkan amalan berpuasa. Namun setiap agama ini mempunyai cara berpuasa mereka yang tersendiri.
Ini perbezaan cara berpuasa antara agama di dunia.
Cara berpuasa bagi agama Hindu
Amalan berpuasa adalah antara amalan yang sangat digalakkan dalam ajaran agama Hindu.
Namun, ajaran Hindu tidak menetapkan satu cara yang khusus untuk penganutnya berpuasa dan mereka diberikan kebebasan untuk berpuasa pada bila-bila masa.
Amalan berpuasa dalam agama Hindu dikenali sebagai Upavasa.
Perkataan ‘Upa’ membawa maksud dekat manakala perkataan ‘Vasa’ pula membawa makna dewa.
Jadi, secara umumnya, amalan berpuasa memberi makna satu amalan yang bertujuan mendekatkan diri mereka kepada dewa yang mereka sembah.
Kaedah berpuasa dalam ajaran Hindu berbeza mengikut hari tertentu.
Biasanya, mereka akan berpuasa penuh pada hari perayaan agama.
Adakalanya, mereka yang berpuasa makanan tetapi masih boleh meminum air.
Cara berpuasa bagi agama Buddha

Bagi penganut Buddha, puasa adalah salah satu cara yang berkesan untuk mengawal diri manusia daripada tuntutan nafsu.
Amalan puasa dalam ajaran Buddha juga mempunyai sedikit persamaan dengan ajaran Hindu, di mana mereka akan berpuasa pada hari bulan penuh yang dikenali sebagai Uposatha.
Cara berpuasa bagi cabang Thevarada dan Mahayana dalam ajaran Buddha juga berbeza antara satu sama lain.
Di Asia Tenggara, majoriti penganut ajaran Buddha berpegang kepada aliran Thevarada.
Mereka mengamalkan satu latihan yang disebut sebagai Dhutanga yang bermaksud melepaskan segala tuntutan dunia ke atas diri mereka termasuklah makanan.
Bagi pengikut aliran Mahayana pula, mereka masih boleh memakan sayur-sayuran ketika berpuasa kecuali jenis tumbuhan yang mempunyai bau yang kuat seperti bawang putih.
Selain itu, terdapat juga satu amalan berpuasa yang diamalkan oleh para sami Budhha di Tibet yang dikenali sebagai ‘Nyoong-Nay’. Bagi cara berpuasa ini, ia akan dilakukan selama dua hari.
Pada hari pertama, mereka masih makan dan minum tetapi perlu bertafakur. Manakala pada hari kedua, seseorang itu akan berpuasa sepanjang hari tanpa makan dan minum.
Kaedah berpuasa bagi agama Kristian
Dalam agama Kristian, salah satu kaedah berpuasa yang paling terkenal ialah kaedah puasa 40 hari sempena musim Lent.
Puasa musim Lent ini dilakukan bagi memperingati kesusahan Jesus Christ semasa perjalanannya di padang pasir.
Namun, seiring dengan peredaran zaman, puasa musim Lent yang diamalkan kini sudah mempunyai banyak kelonggaran dan kemudahan.
Mereka tidak lagi perlu berpuasa sepanjang hari tanpa makan dan minum.
Ada sesetengah gereja membenarkan pengikutnya untuk makan dan minum seperti biasa dan perlu mengelakkan pengambilan daging sahaja.
Kelonggaran ini ditetapkan bagi menggalakkan lebih ramai umat Kristian mengamalkan kaedah puasa 40 hari.
Namun, ada juga beberapa golongan dalam ajaran Kristian yang masih mengamalkan puasa sepanjang hari dengan tidak makan dan minum, merokok dan juga minum arak.
Kaedah berpuasa seperti ini dikenali sebagai ‘Black Fasting’.
Kaedah berpuasa bagi agama Yahudi

Bagi penganut agama Yahudi, mereka percaya bahawa amalan berpuasa dapat mengurangkan kemurkaan tuhan ke atas mereka.
Mereka juga berpuasa dengan tujuan mengenang peristiwa kemusnahan bandar Jerusalem yang diserang oleh Nebuchadnezar II.
Dalam kitab Taurat pula, ada dinyatakan kewajipan puasa keatas penganut agama Yahudi pada hari kesepuluh di bulan yang ketujuh yang disebut sebagai Asyura.
Pada hari tersebut, penganut Yahudi akan berpuasa daripada waktu siang sehingga malam.
Bagi golongan Yahudi Ortodoks, mereka mengamalkan puasa wajib satu hari pada hari Yom Kippur.
Ada juga sebilangan penganut Yahudi yang mengamalkan puasa mengikut Nabi Yahya, 40 hari berpuasa seperti amalan Nabi Musa dan 40 hari puasa mengikut Nabi Ilyas.
Selain itu, mereka juga berpuasa secara sukarela pada hari Isnin dan juga Khamis.
Rujukan: