Tugas sebagai pendakwah bukan hanya mementingkan mesej Islam yang ingin dibawa, tetapi juga berkenaan sensitiviti budaya golongan sasaran tersebut. Jika kita ingin mendekati kaum Cina, kita semestinya mestilah mengetahui berkenaan adat resam kaum Cina.
Tujuannya adalah supaya kita dapat menjalankan dakwah dengan lebih berkesan tanpa mencetuskan sebarang konflik atau menyentuh sensitiviti budaya mereka. Berikut disenaraikan beberapa perkara penting perlu kita ketahui berkenaan adat resam kaum Cina.
Ini yang perlu diketahui ketika hadir menziarahi kaum Cina
Salah satu perkara yang mungkin tidak diketahui ramai adalah berkenaan posisi kedudukan sewaktu hadir ke rumah orang-orang Cina.
Dalam budaya masyarakat Cina, kita sebagai tetamu digalakkan untuk duduk di sebelah kiri tuan rumah ketika hadir ke rumah mereka. Ia adalah sebagai satu tanda penghormatan kepada mereka sebagai tuan rumah.
Selain daripada itu, jika tuan rumah ada menghidangkan sebarang minuman kepada kita, janganlah kita terus meminumnya sebelum diajak oleh tuan rumah tersebut kerana ia dianggap sebagai perbuatan yang kurang sopan.
Salah satu perkara yang penting untuk diingatkan juga adalah berkenaan waktu berkunjung. Jika kita ingin menziarahi mereka, seeloknya elakkan daripada hadir ke rumah mereka pada waktu mereka sedang menikmati makan malam.
Ini kerana perbuatan seperti ini juga dianggap sebagai perbuatan yang tidak sopan melainkan ia adalah kunjungan dengan tujuan yang penting seperti hal kecemasan.
Jika anda dijemput oleh rakan berbangsa Cina untuk menghadiri jamuan atau rumah terbuka, jangan sesekali memacakkan kayu penyepit atau chopstick ke dalam makanan secara menegak. Ini kerana kayu penyepit yang menegak itu seolah-olah melambangkan kayu colok yang dibakar.
Perkara seperti ini amatlah tidak sopan dalam kalangan masyarakat Cina kerana ia seolah-olah kayu colok yang dibakar ketika upacara memberi makan ahli keluarga yang telah mati di pusara mereka.
Hadiri majlis perkahwinan, jangan abaikan adat resam kaum Cina ini
Majlis perkahwinan dianggap sebagai salah satu majlis yang amat penting bagi sesebuah keluarga masyarakat Cina.
Jika kita ada menerima jemputan daripada mana-mana rakan berbangsa Cina, kita disarankan untuk memakai pakaian yang elok dan berwarna merah kerana warna merah melambangkan tuah atau keuntungan kepada mereka.
Selain itu, elakkan juga pakaian yang berwarna suram seperti hitam atau kelabu kerana warna-warna tersebut melambangkan perasaan sedih dalam budaya mereka.
Sekiranya berpeluang untuk bertemu dengan pengantin, elakkan daripada berbual mengenai perkara-perkara yang kurang sopan seperti kematian, bencana atau perkara yang menyedihkan. Sebaliknya, kita digalakkan untuk mengucapkan tahniah kepada mereka atas perkahwinan tersebut.
Elakkan pakaian hitam sewaktu menziarahi si mati

Dalam budaya orang Cina, pelawat yang hadir ke sesuatu majlis kematian tersebut perlulah memakan pakaian yang berwarna suram seperti warna putih, hitam atau warna kelabu.
Kita tidak digalakkan untuk memakai pakaian yang berwarna-warni apatah lagi berwarna merah sewaktu menghadiri rumah si mati kerana dianggap mempersendakan keluarga si mati.
Baju yang mempunyai hiasan seperti sulaman bunga-bungaan juga tidak digalakkan untuk dipakai selain daripada pakaian yang plain sahaja.
Kesimpulan
Memandangkan kaum Cina merupakan antara kaum terbesar di negara ini, adalah lebih baik untuk kita mengetahui sedikit sebanyak berkenaan adat atau pantang larang masyarakat Cina.
Selain daripada sekadar menjaga sensitiviti sesama kita, ia juga secara tidak langsung akan lebih memudahkan proses dakwah yang ingin kita sampaikan. Ini kerana mereka akan melihat kita sebagai orang yang boleh dipercayai, sopan dan bertoleransi walaupun berbeza kepercayaan dan juga budaya.
Sikap seperti inilah yang akan melembutkan hati-hati golongan sasaran yang ingin kita dekati.
Foto 1: Gambar oleh Ngguls – Wikimedia (CC BY-SA 4.0)
Rujukan: